Lebih banyak meja dengan lebih 2 orang banjiri pusat makanan Geylang Serai, Haig Road
Pada hari pertama kumpulan sehingga lima orang dibenarkan duduk makan hari ini, banyak meja-meja makan di Geylang Serai dan Haig Road menyaksikan lebih daripada dua pelanggan duduk semeja.
Banyak meja-meja makan di Geylang Serai dan Haig Road menyaksikan lebih daripada dua pelanggan duduk semeja.
SINGAPURA: Pada hari pertama kumpulan sehingga lima orang dibenarkan duduk makan hari ini, banyak meja-meja makan di Geylang Serai dan Haig Road menyaksikan lebih daripada dua pelanggan duduk semeja.
Semasa BERITAmediacorp mengunjungi kedua-dua tempat makan tersebut pada waktu makan tengah hari tadi (12 Jul) sebilangan meja diisi antara sehingga lima orang.
Ini menyusuli kelonggaran peraturan COVID-19 itu yang bermula hari ini (12 Jul).
Dengan kelonggaran ini, ramai pelanggan mahupun peniaga melahirkan rasa lega.
Antaranya merupakan Encik Sri Sudarso, yang sudah lama menantikan saat ini.
"Perasaannya betul-betul gembira kerana dapat keluar bersama kawan, bersama keluarga," ujar Encik Sri Sudarso, 78 tahun.
Ini juga turut dirasai oleh Cik Rima Melati, yang sudah lama tidak keluar makan bersama keluarga.
"Ini hari yang amat gembira buat saya kerana saya dapat membawa ibu saya yang duduk di atas kerusi roda, keluar makan bersama-sama," kata Cik Rima kepada BERITAmediacorp.
RAMAI DALAM KUMPULAN LEBIH DARIPADA DUA ORANG
Lebih ramai orang juga dilihat dalam kumpulan lebih daripada dua orang di pusat makanan Pasar Geylang Serai.
"Alhamdullilah, kita berasa gembira kerana boleh membawa orang tua kita dan pembantu keluar. Jika duduk di rumah sahaja, pasti bosan jugakan?" kata Cik Maimon Abdullah, yang datang bersama ibu, kakak dan pembantu rumahnya.
"Memang senang sedikit kerana dahulu semasa peraturan dua semeja dilaksanakan, saya dan suami terpaksa duduk berasingan meja kerana kami juga mempunyai seorang anak berusia 10 bulan," kongsi Cik Suhaida Ramli yang sedang duduk makan bersama anggota keluarganya.
Kini, Cik Suhaida boleh bernafas lega sedikit kerana tidak perlu duduk berasingan dengan anaknya lagi.
Dengan kelonggaran itu juga, para pelanggan dapat menikmati sajian yang masih lagi panas dan enak di luar, tidak seperti makan bungkus sahaja.
Namun, pelanggan seperti Cik Milah Tekka akur bahawa mematuhi peraturan serta mengambil langkah berjaga-jaga tetap menjadi keutamaan.
"Kalau dah boleh keluar ini, janganlah berkepit-kepit. Selepas makan kita haruslah menggunakan pelitup dan jaga jarak satu meter," ujar Cik Milah Tekka.
PERGERAI DAPATI PENINGKATAN PELANGGAN
Sebilangan pegerai juga melaporkan sentimen perniagaan lebih baik dan meramalkan jumlah pelanggan yang datang akan terus meningkat pada hujung minggu nanti.
Pada hari Isnin seperti hari ini, banyak kedai di Pasar Geylang Serai lazimnya tutup.
Namun dek ghairah dengan peraturan membenarkan lebih ramai orang duduk makan, pegerai di Pasar Geylang Serai seperti Encik Mohd Nurshad, memutuskan untuk membuka kedainya hari ini.
"Saya memilih untuk buka sahaja kedai saya hari ini untuk melihat respons dari orang ramai dan MasyaAllah pelanggan makan tengah hari memang ada," kata Encik Norshad, pemilik gerai Azizah.
Pada masa yang sama, Cik Mariamah Bedu, pemilik kedai minuman di Sang Nila, pula mendapati peningkatan dari segi perniagaannya.
"Nampaknya, hari ini lebih baik daripada minggu-minggu yang lepas. Hari ini, ramai yang sudah datang sejak awal pagi lagi," kata Cik Mariamah.
Bagi pemilik Kacang Pool Mustafa, Encik Nordin Mustafa, beliau menjangkakan satu peningkatan dalam penjualannya dengan kelonggaran ini.
Ini kerana menurutnya, kini lebih senang bagi keluarga yang besar untuk makan di luar, tanpa perlu bimbang tentang tempat duduk yang ada.
"Dahulu sedikit sukar untuk mereka duduk bersama dan terpaksa berpisah. Jadi kadangkala mereka terpaksa menunggu orang lain bangun dahulu, barulah mereka boleh mendapat tempat duduk itu," ujar Encik Nordin.
Dengan kelonggaran ini, beliau gembira kerana ia bermakna lebih ramai keluarga akan keluar untuk makan bersama.
Yang pasti, para pelanggan mahupun peniaga cukup berharap agar keadaan kembali seperti biasa, dan satu hari nanti lebih ramai orang dapat makan di luar bersama.
Itu jugalah harapan pelanggan seperti Cik Rahimah.
"Jadi sekarang pun, saya pun nak berkumpul dengan anak dengan cucu pun tidak boleh - hanya boleh lima orang. Tapi satu famili ada enam orang. Jadi tak boleh 'together gather' lah gitu," kata beliau sambil bergurau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.