Skip to main content

Singapura

Lebih banyak lori wajib pasang pengehad kelajuan mulai 1 Jan 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak lori wajib pasang pengehad kelajuan mulai 1 Jan 2024

(Gambar fail: CNA/Abigail Ng)

Diterbitkan : 03 Nov 2023 01:49PM Dikemas Kini : 03 Nov 2023 02:44PM
SINGAPURA: Polis trafik (TP) akan mewajibkan lori-lori dengan berat muatan maksimum antara 3,501kg dan 12,000kg (inklusif) dipasang pengehad kelajuan.

Ini untuk memastikan kenderaan sedemikian tidak dipandu melebihi had kelajuan 60km sejam.

Syarat itu akan dilaksanakan secara berperingkat, menurut polis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat (3 Nov), dengan pemasangan bermula pada 1 Januari 2024.

Ini sejajar dengan langkah-langkah untuk mempertingkat keselamatan para pekerja yang diangkut menaiki lori. Langkah itu diambil selepas semakan antara agensi yang melibatkan kumpulan-kumpulan industri, pakar keselamatan, pengendali pengangkutan, syarikat privet, pertubuhan bukan untuk keuntungan dan institusi akademik.

Pengehad kelajuan sudah diwajibkan bagi semua kenderaan barangan dengan berat muatan melebihi 12,000kg, sementara peranti amaran kelajuan diwajibkan bagi semua kenderaan barangan dengan berat muatan sehingga 3,500kg.

"Berdasarkan rundingan dengan industri, TP mengakui bahawa masa diperlukan untuk mencipta pengehad kelajuan itu untuk disesuaikan mengikut syarat-syarat tempatan, serta untuk membekalkan dan memasangnya," menurut polis.

"Oleh itu, sementara pemasangan bermula dari 1 Januari 2024, lori-lori akan diberikan dua atau tiga tahun untuk memasang dan memastuhi syarat pengehad kelajuan itu."

Pengehad kelajuan hanya boleh dipasang oleh syarikat-syarikat yang diluluskan oleh polis.

"Semua lori akan diperiksan semasa pemasangan oleh ejen sah, demi memastikan pengehad kelajuan yang dipasang berfungsi dengan betul," menurut polis.

Senarai ejen sah akan disediakan di laman Pasukan Polis Singapura mulai 1 Januari.

Pemilik lori harus menghubungi ejen sah awal untuk membuat aturan bagi pemasangan.

Selain itu, mulai 1 Januari 2024, lori-lori baharu yang diimport dengan berat muatan maksimum antara 3,501kg dengan 12,000kg (inklusif) mesti dilengkapi pengehad kelajuan sebelum diluluskan untuk digunakan di Singapura.

Dokumen relevan harus diserahkan kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) apabila mendapatkan kelulusan prapendaftaran, untuk menunjukkan bahawa lori itu memenuhi syarat pengehad kelajuan TP.

Pihak berkuasa juga sedang menyemak undang-undang untuk memperkukuh pencegahan kesalahan memandu melebihi had kelajuan, seperti mengubah dan menggunakan pengehad kelajuan yang tidak mematuhi undang-undang dan terhadap ejen pengehad kelajuan tidak sah.

Lebih banyak butiran akan diumumkan kelak.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita