Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak langkah diambil susuli kes COVID-19 di Terminal Pasir Panjang

Pihak berkuasa akan memperketatkan langkah berjaga-jaga di pelabuhan Singapura setelah beberapa pekerja diuji positif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak langkah diambil susuli kes COVID-19 di Terminal Pasir Panjang

Gambar Terminal Pasir Panjang di Singapura. (Gambar: Mubin Saadat)

Diterbitkan : 10 May 2021 07:17AM Dikemas Kini : 10 May 2021 07:19AM

SINGAPURA: Pihak berkuasa akan memperketatkan langkah berjaga-jaga di pelabuhan Singapura setelah beberapa pekerja diuji positif COVID-19.

Demikian menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) pada Ahad (9 Mei).

MPA sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan pengendali pelabuhan PSA Singapore untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut, menurutnya dalam satu kenyataan.

Ia adalah tambahan kepada langkah-langkah sedia ada, yang termasuk vaksinasi, ujian rutin berjadual (RRT) dan langkah-langkah pengurusan selamat seperti yang ditetapkan oleh MPA dalam surat pekelilingnya, tambah kenyataan itu lagi.

Langkah-langkah baru itu diambil selepas empat pekerja di kemudahan-kemudahan pelabuhan didapati dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 10 hari lalu, menurut MPA.

MPA, MOH dan PSA sudahpun memulakan operasi ujian khas bagi hampir 4,000 pekerja pelabuhan.

Daripada jumlah itu, 2,700 diuji negatif setakat pukul 3.00 petang semalam.

Operasi itu sudahpun selesai dijalankan.

Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah baru itu, ujian rutin berjadual akan dijalankan dengan lebih kerap ke atas para pekerja barisan hadapan dormitori daripada setiap 14 hari kepada setiap tujuh hari. Ini untuk mengesan lebih awal kes-kes COVID-19, menurut MPA.

Ia akan dijalankan ke atas semua pekerja tanpa mengira status vaksinasi mereka di tengah-tengah risiko penularan lebih tinggi," tambah MPA.

Langkah-langkah pengasingan juga sudah dipertingkatkan di terminal-terminal dengan zon-zon berasingan serta langkah-langkah untuk mengurangkan pergaulan.

"Selain itu, kantin-kantin terminal hanya membenarkan makanan dibungkus bagi kakitangan pejabat; ia akan dihantar kepada kakitangan barisan hadapan," menurut MPA.

"PSA sudah memperhebatkan kerja-kerja pembersihan di kemudahan-kemudahan yang dikongsi bersama seperti kantin, laluan keluar masuk, lobi-lobi lif dan tandas-tandas di semua terminal PSA serta kerja-kerja pembersihan lebih teliti di kantin yang menjadi keprihatinan (penularan COVID-19) sudahpun dijalankan pada 5 Mei."

Tandas-tandas dan kemudahan-kemudahan berasingan bagi kumpulan-kumpulan pekerja berbeza juga sudah diaturkan.

"PSA akan terus menekankan kepada para pekerja supaya mengelakkan daripada mengadakan kontak dengan anak kapal semasa bertugas dan supaya terus mengamalkan kebersihan yang baik," menurut MPA.

MPA menambah ia akan mempercepatkan vaksinasi bagi para pegawai maritim. Lebih 32,800 kakitangan, termasuk para pekerja pelabuhan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, dengan sekitar 25,500 sudah menerima kedua-dua dos vaksin.

Ini termasuk lebih 18,700 pekerja atau 97 peratus petugas barisan hadapan yang terdedah kepada risiko lebih tinggi.

Lagi 6,000 akan divaksin dalam masa beberapa minggu mendatang, menurut MPA.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan