Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak laluan masuk, sukarelawan masjid bantu permudahkan dan lancarkan solat tarawih pertama Ramadan ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemeriahan menunaikan solat tarawih di masjid jelas terasa di Masjid An-Nahdhah pada malam pertama Ramadan pada Sabtu (2 Apr).

Seawal jam 7.30 malam lagi, para jemaah sudah mula masuk ke ruang masjid yang terletak di Bishan itu.

Sekitar 800 jemaah lelaki dan wanita menjadi antara yang pertama menunaikan solat tarawih di situ.

Pihak masjid juga membuka tiga laluan masuk bagi membolehkan para jemaah solat tarawih untuk langsung ke zon solat masing-masing dan ini memudahkan serta mempercepatkan proses tersebut.

Untuk masuk pula, prosesnya tidak berbeza seperti sebelum ini di mana para jemaah hanya perlu menunjukkan salinan tempahan slot mereka terlebih dahulu sebelum mengimbas kod QR SafeEntry.

Jemaah lelaki rata-rata kelihatan lebih maklum tentang proses tersebut dengan pengalaman menunaikan solat Jumaat di masjid manakala bagi para jemaah Muslimah pula, terdapat beberapa pegawai dan sukarelawan wanita yang kelihatan membantu mereka bagi melicinkan lagi proses masuk ke masjid tersebut.

Secara keseluruhan, keadaan dan proses di Masjid An-Nahdhah berjalan dengan lancar dan amat teratur pada malam pertama itu.

Semasa kunjungan BERITAmediacorp, beberapa jemaah yang ditemui meluahkan rasa gembira menjadi antara yang pertama dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan boleh merapatkan saf di masjid pada Ramadan kali ini.

"Saya berasa amat terharulah kerana kita dapat bersama untuk datang ke masjid untuk menunaikan solat dan tak seperti tahun-tahun yang lepas. Alhamdulillah tahun ini kita sudah mula rapat dan merasakan keseronokan beribadah di rumah Allah," kata Encik Sulaiman Yusop.

Perasaan serupa turut dirasakan jemaah wanita, Cik Kartini Amin.

"Perasaan itu macam gembira sangat bila dapat merapatkan saf dan ramai jemaah dapat berkumpul dan solat bersama-sama. Memang sangat teruja sangat."

Tahun ini juga, solat tarawih di Masjid An-Nahdhah akan hanya dilakukan sepanjang lapan rakaat bersama dengan tiga rakaat witir, sepanjang Ramadan ini.

Ini bagi memberi laluan bagi pihak masjid melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum masjid ditutup pada jam 11 malam.

Masjid tersebut menyediakan ruang bagi 1,200 jemaah untuk solat tarawih sepanjang Ramadan.

Ini adalah satu peningkatan amat ketara berbanding hanya 150 jemaah untuk Ramadan tahun lalu.

Seramai 60,000 jemaah Islam memenuhi masjid-masjid merata negara untuk menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan