Skip to main content

Singapura

Lebih banyak khidmat bas, lanjutan laluan di timur laut SG, Tengah jelang akhir 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak khidmat bas, lanjutan laluan di timur laut SG, Tengah jelang akhir 2025

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow (tengah) dan AP GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bercakap kepada wartawan di pusat pertukaran bas Choa Chu Kang pada 12 Okt 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 12 Oct 2025 03:21PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 11:37PM

SINGAPURA: Penumpang di timur laut Singapura serta Tengah dan Brickland akan mempunyai 11 khidmat bas baharu dan dua lagi lanjutan laluan bas menjelang akhir 2025.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Ahad (12 Okt) juga menyatakan ia sedang mengenal pasti kawasan di mana lorong bas tambahan boleh disertakan untuk menjadikan perjalanan lebih lancar dan cepat.

Butiran akan diumumkan kelak.

Di timur laut, akan ada dua khidmat baharu dan dua lanjutan laluan:

  • Khidmat baharu 104 bermula 26 Oktober antara Punggol Coast dan Woodleigh, menghubungkan Sengkang, Buangkok dan Serangoon dalam perjalanannya
  • Khidmat baharu 44 bermula 10 November antara Punggol dan Lapangan Terbang Changi, beroperasi hanya pada waktu sibuk
  • Lanjutan khidmat 114 dari Buangkok ke perhentian bas dan Stesen MRT Yio Chu Kang
  • Lanjutan khidmat 146 dari Bartley ke Stesen MRT Kovan

Kawasan timur laut juga akan mendapat lima khidmat langsung ke kawasan bandar baharu, dengan butiran akan didedahkan nanti.

Ini adalah khidmat bas ekspres yang menghubungkan kawasan perumahan dengan daerah pusat bandar.

Bas-bas ini biasanya beroperasi pada waktu sibuk pada hari biasa.

Penduduk di Tengah dan Brickland akan mendapat empat khidmat baharu:

  • Khidmat baharu 984 bermula 26 Oktober, antara Bukit Panjang dan Jurong East, menghubungkan Teck Whye dan Brickland
  • Khidmat baharu 451 bermula 17 November, antara Brickland dan Stesen MRT Bukit Gombak
  • Khidmat baharu 452 bermula 17 November, antara Tengah dan Stesen MRT Beauty World
  • Khidmat baharu 453 bermula 17 Nov, antara Tengah dengan pusat pertukaran bas dan stesen MRT Bukit Batok
Related article image
Khidmat 451, 452 dan 453 adalah khidmat perhentian terhad yang menyediakan keterhubungan langsung ke stesen MRT bagi kawasan yang lebih jauh dari khidmat pengangkutan awam.

Khidmat sedia ada 298X, 979X dan 21X, yang mempunyai jenis laluan yang serupa, akan masing-masing digantikan kepada nombor 454, 455 dan 456.

Ini diumumkan di bawah Program Peningkatan Keterhubungan Bas, yang dilancarkan pada Julai 2024.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan hampir 200,000 penumpang pengangkutan awam meraih manfaat daripada program itu, yang dijangka akan menelan belanja sebanyak S$900 juta selama lapan tahun.

Sejak program itu bermula, 14 khidmat baharu mula beroperasi di jalan raya dan 52 khidmat sedia ada sudah dipertingkatkan dengan kapasiti tambahan atau kawasan perkhidmatan yang diperluaskan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Ahad berkata meningkatkan perkhidmatan bas membantu menyingkatkan masa perjalanan pengangkutan awam, yang merupakan salah satu keutamaannya sebagai menteri.

"Ini khusus bagi penduduk HDB yang tinggal lebih jauh dari bandar. Apabila anda menaiki kereta api, sebenarnya perjalanan itu agak cepat. Tetapi jika anda perlu menaiki khidmat bas, ia boleh mengambil sedikit masa," katanya.

Mengenai peningkatan bas di timur laut, Encik Siow menyatakan bahawa Laluan Timur Laut adalah salah satu laluan MRT yang paling banyak digunakan di Singapura.

Perkhidmatan bas baharu akan memberi pengguna pengangkutan awam dengan pilihan lain, kata menteri itu, yang bercakap kepada pada wartawan di pusat pertukaran bas Choa Chu Kang.

REKRUT PEMANDU BAS TEMPATAN LEBIH MUDA

Encik Siow, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan Brickland yang merupakan sebahagian daripada Tengah, berkata bahawa mengekalkan dan merekrut pemandu bas adalah bahagian yang paling sukar dalam meningkatkan keterhubungan bas.

Beliau berkata kurang daripada satu pertiga pemandu bas di negara ini adalah rakyat Singapura, menambah: "Tugas pemandu bas sangat, sangat sukar, dan ramai rakyat Singapura tidak mahu melakukan pekerjaan itu."

"Salah satu perkara yang telah kami lakukan adalah meningkatkan gaji pemandu bas dari masa ke masa. Namun, kami perlu melakukan ini dengan berhati-hati dan bijaksana, kerana kami tidak mahu meningkatkan kos operasi rangkaian bas terlalu cepat," jelasnya.

Encik Siow berkata kementerian itu juga bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk menjadikan pekerjaan itu lebih menarik.

Usaha tersebut termasuk mempunyai lebih banyak aturan kerja alternatif dan kerja syif, bagi membolehkan penjaga dan mereka yang ingin bekerja sambilan menyumbang kepada rangkaian bas itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita