Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak kes kayap ular sejak 2 tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak kes kayap ular sejak 2 tahun lalu

(Gambar: iStock/PongWang)

Diterbitkan : 17 Dec 2024 08:42PM Dikemas Kini : 17 Dec 2024 10:40PM
SINGAPURA: Beberapa doktor keluarga menyaksikan lebih banyak kes kayap ular dalam tempoh dua tahun lalu, dengan pakar menganggarkan sehingga 30,000 orang di Singapura bergelut dengan penyakit itu setiap tahun.

Doktor mengaitkan peningkatan dalam penyakit gatal-gatal itu dengan penduduk yang semakin menua, serta sistem imun yang lemah akibat wabak COVID-19.

Sebagai contoh, Dr Kelvin Goh, ketua perubatan di United Primary Care Network, memerhatikan bahawa semasa pandemik, ramai pesakit yang dijangkiti COVID-19 terus menghidap kayap.

Dr Adrian Poh, yang menyelia 38 klinik sebagai pengarah perubatan Klinik HMI OneCare, turut berkata bahawa beliau menyaksikan pesakit kayap ular meningkat sekitar 10 peratus sejak wabak itu.

“Risiko untuk kayap ular mungkin kekal tinggi sehingga enam bulan selepas jangkitan COVID. Namun saya rasa masih belum dapat putuskan mekanisme dan kaitan yang tepat antara jangkitan COVID dan pengaktifan semula kayap,” tambahnya.

Menurut kajian yang dijalankan oleh gergasi farmaseutikal GSK yang dikeluarkan pada 2022, orang yang berumur 50 tahun ke atas yang dijangkiti COVID-19 adalah 15 peratus kemungkinan lebih tinggi untuk menghidap kayap ular berbanding mereka yang tidak pernah dijangkiti COVID-19.

Pesakit kayap ular sering dirawat dengan ubat penahan sakit atau ubat antivirus.

Walaupun jarang mengancam nyawa, beberapa doktor berkata penyakit itu boleh menyebabkan kesakitan yang teruk selama beberapa minggu dan, dalam kes yang paling teruk, selama bertahun-tahun. Penyakit ini boleh menyebabkan kelemahan kepada individu kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan saraf, tambah mereka.

KAITAN ANTARA PENYAKIT KAYAP ULAR DENGAN USIA

Setiap penyakit yang boleh melemahkan sistem imun boleh membolehkan virus cacar air yang tidak aktif di dalam badan untuk diaktifkan semula, kata Dr Shawn Vasoo, pengarah klinikal Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Beliau menambah bahawa kejadian kayap ular semakin meningkat dengan usia yang lanjut akibat sistem imun yang semakin lemah.

Beliau berkata walaupun tiada data tempatan yang tersedia, statistik antarabangsa menunjukkan bahawa sekitar 20 peratus kes kayap ular menjejas mereka yang berumur antara 50 dengan 59. Sekitar 40 peratus kes jangkitan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"Mereka yang hidup sehingga sekitar 85 tahun - kira-kira separuh daripada mereka akan mengalami kayap ular dalam hidup mereka," katanya.

PENCEGAHAN DARIPADA KAYAP ULAR

Walaupun vaksin kayap ular tersedia di pasaran, ia boleh menelan kos hampir S$1,000.

Menurut Kementerian Kesihatan, yang menjawab soalan di parlimen November lalu, ia tidak diberikan subsidi di Singapura kerana kebimbangan keberkesanan kos, dan kementerian itu masih berbincang dengan pengeluar vaksin mengenai harga.

"Kita tidak boleh mengharapkan pemerintah untuk memberi subsidi bagi segala-galanya. Jadi jika anda berumur 50 tahun ke atas, saya fikir untuk keperluan peribadi anda, anda mungkin ingin menimbangkan untuk mendapatkan vaksinasi," kata Dr Goh.

Ini berlaku terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau mereka yang mempunyai imuniti lemah, tambahnya.

Sementara itu, doktor berkata cara pencegahan yang lebih berdaya maju adalah untuk mendapatkan vaksin cacar air, yang percuma untuk semua kanak-kanak Singapura. Ini kerana kayap hanya boleh berlaku pada seseorang yang pernah menghidap cacar air sebelum ini.

Mereka juga menasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, dengan senaman yang kerap dan pemakanan yang baik, untuk menguatkan sistem imun dan mencegah penyakit kayap ular.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan