Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak kes COVID-19 & influenza sejak 1 Syawal; varian XBB & pelancongan juga antara punca

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Para doktor keluarga (GP) menyaksikan jumlah kes jangkitan saluran pernafasan meningkat sehingga tiga kali ganda selepas 1 Syawal berbanding waktu sebelumnya.

Kes-kes itu antaranya merangkumi jangkitan COVID-19, influenza dan demam selesema.

Bagi Pusat Perubatan MyHealth misalnya, mereka menerima sekitar lima hingga enam kes setiap hari berbanding satu hingga dua kes sahaja sebelum itu.
 
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Doktor keluarga dan pengarah Pusat Perubatan MyHealth, Dr. Saiful Nizam Subari berkata kenaikan itu bukan sahaja berpunca daripada amalan dan kegiatan sosial pada Hari Raya.

"Sebelum ini, kita sudah tahu suasana di Singapura ini sudah terbuka daripada tahun yang kelmarin dan orang akan pergi keluar masuk daripada negara kita dan saya rasa ini pun salah satu puncanya juga daripada yang dahulu," kongsi doktor keluarga dan pengarah Pusat Perubatan MyHealth, Dr. Saiful Nizam Subari.

"Juga sekarang kita lihat waktu lebaran ini, ramai orang pergi kunjung mengunjung, saya rasa itu juga memainkan peranan dalam masalah ini," tambah beliau.

PELBAGAI LINGKUNGAN USIA PESAKIT DITERIMA TETAPI YANG MUDA & PERTENGAHAN TAHUN LEBIH RAMAI
 
Gambar: BERITAmediacorp
Daripada bilangan pesakit yang diterima pula, Dr Saiful berkongsi bahawa mereka terdiri dari pelbagai lingkungan usia, baik yang muda mahupun warga emas tetapi lebih ramai merupakan mereka yang "lebih muda dan di usia pertengahan".

"Saya rasa ini mungkin disebabkan mereka lebih sedar untuk memeriksa diri sendiri mengenai COVID dan juga virus-virus yang lain," ujar Dr Saiful.

"Isu yang kita hadapi sekarang ini adalah ujian ini jarang dilakukan ataupun boleh buat dengan diri sendiri untuk COVID tetapi untuk pemeriksaan yang lain secara umum, kita jarang membuatnya kecuali kalau diminta oleh para pesakit," tambahnya.

VARIAN XBB JUGA ANTARA PUNCA KENAIKAN KES COVID-19
Gambar: BERITAmediacorp
Seperti Pusat Perubatan MyHealth, Klinik Perubatan Asia First juga menyaksikan peningkatan kes-kes COVID-19 dan influenza selepas Hari Raya.

Kes jangkitan saluran pernafasan yang mereka saksikan naik sehingga 15 peratus.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Asia First Medical Clinic, Dr. Mohamed Faizal Wahid, sukar untuk mengaitkan kenaikan kes-kes itu kepada musim perayaan sendiri memandangkan ada juga faktor-faktor lain seperti gelombang jangkitan varian XBB.

"Kenaikan itu mungkin daripada interaksi kita dengan kawan-kawan, saudara-mara kita, bersalam-salaman. Mungkin sudah kurang langkah-langkah selamat yang kita perlukan, seperti mencuci tangan atau memakai pelitup," kongsi Dr Faizal kepada BERITAmediacorp.


"Namun dalam masa sama juga, kita tahu ada juga peningkatan disebabkan varian terbaru XBB," tambah beliau.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada April lalu kepada Mediacorp, gelombang jangkitan COVID-19 kini didorong oleh gabungan subvarian XBB termasuk XBB.1.5, XBB.1.9 dan XBB.1.16.
VAKSINASI DAN MENGAMBIL LANGKAH SELAMAT PENTING

Selain menjaga kebersihan diri dan memakai pelitup, Dr Wahid juga menasihatkan masyarakat tentang pentingnya mendapatkan vaksin.

"Buat sementara ini yang paling penting ialah vaksinasi. (Vaksinasi) masih penting untuk menangani COVID ini. Jadi kalau mereka yang masih belum lagi divaksinasikan seharusnya cuba mendapatkan vaksinasi seterusnya," jelasnya.
Gambar: BERITAmediacorp
Bagi kes-kes influenza pula, orang ramai juga boleh ambil langkah-langkah pencegahan.

"Influenza pun ada juga vaksinasi sendiri jadi kalau mereka yang memerlukannya, harus mendapatkan vaksin influenza juga," ujar Dr Faizal.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihati untuk elak kunjung mengunjung jika mendapati diri mereka sakit dan berhati-hati di tempat yang sesak dengan orang ramai.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan