Skip to main content

Singapura

Lebih banyak keluarga SG 'berdaya tahan' tangani cabaran bersama: MSF

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak keluarga SG 'berdaya tahan' tangani cabaran bersama: MSF

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 15 Jul 2024 07:06PM Dikemas Kini : 15 Jul 2024 11:54PM
SINGAPURA: Ramai rakyat Singapura merasakan bahawa keluarga mereka kukuh dan berdaya tahan, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tahun lalu.

Dapatan daripada tinjauan itu, yang dikeluarkan dalam Laporan Trend Keluarga tahunan MSF pada Isnin (15 Jul) menunjukkan bahawa 85.9 peratus responden melaporkan markah "daya tahan keluarga antara sederhana hingga tinggi". Ini bermakna bahawa keluarga-keluarga ini secara purata boleh mengatasi cabaran bersama sebagai satu keluarga.

Sementara itu, 25.1 peratus daripada kesemua keluarga melaporkan markah "daya tahan keluarga yang tinggi", yang bermakna mereka berkemungkinan lebih bijak bekerjasama untuk pulih daripada cabaran, menurut laporan itu.

Tahap daya tahan keluarga diukur menggunakan tinjauan 32 soalan dengan rangka jawapan antara 1 (jarang sekali/tidak pernah) hingga 5 (hampir selalu).

Markah keseluruhan buat daya tahan keluarga setiap responden diperoleh daripada purata jawapan mereka bagi 32 soalan itu, dengan markah yang lebih tinggi menandakan daya tahan keluarga yang lebih tinggi.

"Daya tahan keluarga yang sederhana hingga tinggi" merujuk kepada markah sekurang-kurangnya tiga daripada lima mata, sementara markah 'tinggi' memerlukan sekurang-kurangnya empat mata.

Dibangunkan oleh ahli psikologi klinikal Amerika Syarikat, Froma Walsh, tinjauan itu digunakan untuk menilai bagaimana keluarga peserta menghadapi krisis dan cabaran berterusan dengan meneliti sistem kepercayaan keluarga mereka, proses aturan serta keupayaan keluarga mereka untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.

Tinjauan keluarga MSF disertai 2,000 responden, berusia 15 tahun ke atas. Kementerian itu menyatakan bahawa sampel itu mewakili bilangan penduduk Singapura secara amnya berdasarkan umur, jantina, bangsa dan status kediaman HDB/bukan HDB.

Tinjauan itu dijalankan secara bersemuka dan dari pintu ke pintu, dengan kerja lapangan dijalankan antara suku keempat tahun lalu dan suku pertama tahun ini.

Peserta dipilih secara rambang daripada pangkalan data pentadbiran pemerintah di mana hanya seorang responden bagi setiap isi rumah dipilih, menurut seorang jurucakap MSF.

Laporan MSF turut menunjukkan peningkatan dalam jumlah warga tua yang tinggal sendirian. Memetik kiraan daripada tinjauan Tenaga Buruh Menyeluruh tahunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), ia menyatakan bahawa jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas yang tinggal bersendirian naik lebih seganda daripada 35,160 pada 2013 kepada 78,135 pada tahun lalu.

Namun, berdasarkan tinjauan mengenai keluarga yang dijalankan tahun lalu, MSF menyatakan bahawa majoriti keluarga, sekitar 86 peratus, melaporkan bahawa mereka mempunyai keluarga yang erat.

Daripada responden tinjauan yang berusia 65 tahun ke atas, 82.5 peratus melaporkan bahawa mereka akan meminta bantuan keluarga apabila memerlukan bantuan fizikal seperti jagaan atau bantuan menjalankan tugas.

Dapatan turut menunjukkan bahawa majoriti responden yang berusia 15 hingga 64 tahun, sekitar 93.1 peratus, bersetuju bahawa ia merupakan tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa.

KESTABILAN PERKAHWINAN DAN ANAK-ANAK

Laporan sepanjang 37 muka surat itu, yang bertujuan memberikan kemas kini mengenai trend keluarga di Singapura, menyatakan peningkatan dalam kestabilan perkahwinan dalam kohort baru-baru ini.

Jumlah keseluruhan pasangan yang bercerai sebelum 10 tahun berkahwin lebih rendah bagi mereka yang berkahwin antara 2006 (16 peratus) hingga 2012 (15.3 peratus) berbanding mereka yang berkahwin pada 2005 (17 peratus).

Peningkatan paling ketara disaksikan pada kadar perceraian yang merosot bagi perkahwinan Muslim, menurut laporan itu.

"Walaupun kadar bagi perkahwinan Muslim kekal lebih tinggi berbanding perkawinan sivil bagi kesemua kohort, jurangnya semakin rapat bagi kohort perkahwinan baru-baru ini," tambahnya.

Dalam satu lagi bahagian laporan itu, yang melihat pada skim cuti ibu bapa dan aturan pekerjaan fleksibel, MSF menekankan jumlah bapa yang mengambil cuti ibu bapa yang dibiayai pemerintah meningkat daripada 47 peratus bagi anak-anak yang dilahirkan pada 2016, kepada 53 peratus bagi anak-anak yang dilahirkan pada 2021.

Ia turut menunjukkan bahawa rakyat serta penduduk tetap wanita Singapura yang berusia antara 40 hingga 49 tahun, yang sudahpun berkahwin sekurang-kurangnya sekali, yang mempunyai dua orang anak terus membentuk kumpulan terbesar.

Jumlah mereka yang tidak mempunyai anak meningkat daripada 10 peratus pada 203 kepada 13.9 peratus tahun lalu, sementara jumlah mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya satu anak meningkat daripada 20.8 peratus kepada 23.8 peratus, menurut laporan itu.

Laporan MSF itu turut mendapati bahawa pusat jagaan bayi sepenuh hari meningkat hampir tiga kali lebih tinggi dalam tempoh 10 tahun lalu, manakala yuran median dan perbelanjaan wang tunai merosot.

Terdapat 14,580 pusat jagaan bayi tahun lalu, berbanding 5,257 pada 2013. Sementara itu, pusat jagaan kanak-kanak sepenuh hari meningkat lebih seganda dalam tempoh yang sama.

Dengan lebih banyak keluarga dwipendapatan dan pengiktirafan terhadap kepentingan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, MSF menyatakan kadar pendaftaran kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun meningkat daripada 75 peratus pada 2013 kepada 90 peratus tahun lalu.

Ia menambah bahawa kadar pendaftaran kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun juga meningkat dalam tempoh 10 tahun lalu dan kekal tinggi pada 95 peratus tahun lalu.

Menurut MSF, ia akan memanfaatkan dapatan daripada laporan itu dan meneruskan usahanya untuk membantu rakyat Singapura merealisasikan aspirasi perkahwinan dan keibubapaan mereka.

Ini termasuk menggalakkan perkahwinan yang stabil, menjadikan prasekolah lebih berpatutan, mengukuhkan sokongan untuk kanak-kanak dengan keperluan pembangunan, dan menjaga warga emas, tambah kementerian itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita