Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak kejadian tanah runtuh dilapor pada 2020, 2021 ekoran hujan lebih lebat dari biasa

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak kejadian tanah runtuh dilapor pada 2020, 2021 ekoran hujan lebih lebat dari biasa

Insiden tanah runtuh di tapak binaan Bina Ikut Tempahan NorthArc di Clementi pada 2 Sep. (Gambar fail: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Lebih banyak kejadian tanah runtuh dilaporkan sejak dua tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini mungkin disebabkan jumlah hujan yang lebih tinggi daripada biasa, menurut Menteri Pembangunan Negara (MND) Desmond Lee pada Isnin (3 OKt) sebagai menjawab soalan di parlimen.

Secara purata, sebanyak 21 kejadian tanah runtuh dilaporkan setiap tahun pada 2020 dan 2021.

Jumlah ini lebih tinggi berbanding empat insiden sedemikian yang dilaporkan kepada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) setiap tahun antara 2017 dengan 2019.

"Kesemuanya adalah kes kecil yang melibatkan pergerakan lapisan cetek tanah, dan tidak memberi kerosakan besar kepada prasarana," kata Encik Lee dalam jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen (AP) He Ting RU (WP-Sengkang).

"Jumlah hujan lebih tinggi daripada biasa dicatat pada 2020 dan 2021, yang boleh menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada lebih banyak kejadian tanah runtuh sejak dua tahun lalu."

Bagi tahun ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan kepada BCA setakat ini - insiden di tapak binaan Bina Ikut Tempahan NorthArc di Clementi pada 2 Sep.

Cik He bertanya tentang jumlah insiden tanah runtuh yang dilaporkan sejak lima tahun lalu, berapa sering ia berlaku dan keadaan di mana kestabilan tanah berhampiran tapak-tapak bangunan atau penebangan hutan disemak dan dinilai, dan sama ada sebarang kemas kini diperlukan bagi regim pemantauan dan pembaikan tanah runtuh.

Sambil menarik perhatian bahawa pergerakan tanah boleh berlaku disebabkan faktor-faktor seperti hujan lebat dan tempoh yang lama, beban tambahan pada cerun dan perubahan kepada jenis cerun disebabkan kerja-kerja binaan, Encik Lee menggariskan rangka kerja sedia ada yang dilaksanakan bagi mencegah kejadian tanah runtuh.

"Agensi-agensi yang menangani tanah awam menjalankan pemeriksaan kerap terhadap cerun-cerun yang mungkin memberi risiko kepada keselamatan orang ramai, dan melaksanakan langkah-langkah mengurangkan bahaya bagi menstabilkan cerun-cerun jika perlu," kata beliau.

"Agensi-agensi kami mungkin juga menjalankan pemeriksaan dengan lebih kerap, seperti secara mingguan atau bulanan, semasa musim hujan lebat."

BCA juga menghendaki semua cerun yang terbentuk atau diubah akibat kerja-kerja binaan untuk dinilai bagi risiko kegagalan oleh orang berkelayakan (QP) sebelum kerja-kerja binaan bermula," tambahnya.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan