Lebih banyak kedai kopi akan tawar menu jimat, terima baucar CDC
SINGAPURA: Lebih banyak kedai kopi di Singapura dijangka menawarkan menu jimat dan menerima penggunaan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di cawangan mereka mulai Isnin (1 Jul).
Sebanyak 330 kedai kopi secara keseluruhannya di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menyediakan pilihan makanan yang dimampui bagi para penduduk menjelang hujung bulan ini.
Perangkaan itu merangkumi 180 kedai kopi di bawah sembilan pengendali rangkaian privet, jelas HDB dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dalam satu kenyataan media bersama.
Tempat-tempat makanan tersebut akan menawarkan harga yang dimampui dan menerima baucar CDC secara bertahap-tahap mulai Isnin, yang merupakan sebahagian darupada usaha peluasan inisiatif menu jimat menjangkaui kedai kopi HDB sewa.
Rangkaian kedai kopi privet yang turut terlibat sama termasuk Badaling, Broadway, De Tian, Chang Cheng, FoodFare Kopitiam, Kimly, Kim San Leng, Koufu dan Select.
Daripada 180 kedai kopi itu, sebanyak 120 dimiliki secara privet, sekali gus membentuk hampir 30 peratus daripada kedai kopi yang dimiliki secara privet di estet-estet HDB.
Baki 60 lagi adalah kedai kopi sewa yang kini secara sukarela menawarkan menu jimat sebelum pembaharuan pajakan mereka.
PILIHAN YANG DIMAMPUI
Inisiatif menu jimat, yang diumumkan pada Mac 2023, bertujuan menyediakan rakyat Singapura dengan lebih banyak pilihan makanan yang dimampui.
Inisiatif tersebut memerlukan semua kedai kopi HDB sewa yang memperbaharui sewaan mereka dari Mei 2023 untuk menawarkan sekurang-kurangnya empat pilihan menu jimat dan dua pilihan minuman jimat.
Hidangan dengan menu jimat termasuk pilihan makanan tengah hari atau malam yang biasanya berharga S$3.50 dan ke bawah, serta minuman berharga S$1.20 dan ke bawah.
Buat masa ini, kira-kira 150 kedai kopi HDB sewa di merata negara menawarkan lebih 1,000 menu makanan dan minuman jimat, menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Terdapat sejumlah 776 kedai kopi HDB di Singapura, dengan HDB dijangka mempunyai semua 374 kedai kopi sewa yang menawarkan menu jimat menjelang 2026, tambah pihak berkuasa itu.
HDB dan EnterpriseSG menyatakan pihaknya akan terus mendampingi pengendali kedai kopi HDB yang dimiliki secara privet lain untuk menggalakkan mereka supaya menyediakan pilihan menu jimat, "sambil menimbangkan kesinambungan perniagaan mereka".
PORTAL MENU JIMAT
Orang ramai boleh mengenal pasti gerai yang menawarkan menu jimat dengan mencari pelekat bulat sahaja.
Gerai-gerai di kedai kopi HDB yang dimiliki secara privet dan komited untuk menyediakan menu jimat secara sukarela akan memaparkan pelekat menu jimat masyarakat berwarna merah dan biru, menurut kenyataan media itu.
Gerai-gerai itu juga disenaraikan di portal BudgetMealGoWhere - laman yang membolehkan orang ramai untuk mencari dan meninjau pilihan menu makanan dan minuman jimat yang tersedia di kedai kopi HDB yang berdekatan.
Dengan sekadar menyertakan poskod dalam kotak carian, anda sudah boleh meninjau senarai pilihan yang tersedia, bermula dengan gerai-gerai yang terletak dalam jarak 2 kilometer berdekatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.