Skip to main content

Singapura

Lebih banyak kebakaran melibatkan e-basikal, PMD pada separuh pertama 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak kebakaran melibatkan e-basikal, PMD pada separuh pertama 2023

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 22 Aug 2023 05:56PM
SINGAPURA: Lebih banyak kebakaran melibatkan Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMD) dan basikal berkuasa elektrik (PAB) atau e-basikal berlaku pada separuh pertama 2023 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menurut perangkaan pertengahan tahun yang dikeluarkan pada Selasa (22 Ogos), SCDF menyatakan terdapat 27 kebakaran pada separuh pertama tahun ini, berbanding 22 kebakaran pada separuh pertama 2022 iaitu peningkatan 22.7 peratus.

18 daripada kes tersebut melibatkan PAB, yang meningkat 28.5 peratus berbanding 14 kes pada separuh pertama 2022. Manakala sembilan lagi kes melibatkan PMD, yang meningkat 12.5 peratus, dari lapan kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

SCDF menasihatkan para pengguna untuk tidak meninggalkan bateri atau alat yang dicas tanpa pengawasan selama tempoh yang lama atau semalaman, serta tidak mengecasnya sejurus selepas ia digunakan.

Ia juga menggesa para pengguna agar tidak mengubah atau cuba membetulkan alat tersebut, serta elak daripada membeli PMD tanpa tanda pensijilan UL2272.

PAB juga harus mempunyai pensijilan EN15194 dan mempunyai pelekat pengesahan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berwarna jingga.

KEBAKARAN BERKAITAN MEMASAK

SCDF menyatakan bahawa ia memberi respons kepada 967 panggilan kebakaran pada separuh pertama 2023, iaitu peningkatan 5.3 peratus, dibandingkan tempoh yang sama tahun lalu.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan peningkatan kebakaran di kawasan bukan bangunan, terutamanya kes yang melibatkan barangan yang dibuang di kawasan terbuka," tambah SCDF.

Daripada kes-kes tersebut, 493 kes berlaku di kawasan perumahan awam dan privet, meningkat 2.7 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kebakaran melibatkan aktiviti memasak merupakan punca utama kebakaran di kawasan perumahan, iaitu 205 kes atau 41.6 peratus.

Ia diikuti dengan kebakaran berpunca dari sumber elektrik, atau kebakaran yang melibatkan wayar yang rosak dan peralatan elektrik yang membakar barang-barang mudah terbakar, dengan 131 kes sedemikian berlaku.

SCDF juga menyatakan bahawa ia memberi respons kepada 122,269 Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) pada separuh pertama 2023, yang turun 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Panggilan bukan kecemasan turun 9.8 peratus kepada 5,203 berbanding 5,769 pada tempoh yang sama tahun lalu. Manakala panggilan palsu naik 0.1 peratus.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita