Skip to main content

Singapura

Lebih banyak kawasan hijau dikekalkan di Maju Forest, Gillman Barracks; kurangnya rumah akan dibina susuli maklum balas awam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Aug 2026 03:50PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 08:04PM
  • Pemerintah Singapura menyesuaikan rancangan pembangunan di Sunset Way dan Gillman Barracks untuk mengekalkan lebih banyak kawasan hijau selepas menerima maklum balas orang ramai dan kumpulan pencinta alam.
  • Penyesuaian ini bermakna jumlah rumah yang dapat dibina di kedua-dua kawasan akan berkurang, namun kawasan hijau yang dikekalkan akan bertambah berbanding pelan asal.
  • Maklum balas diterima melalui sesi bersama penduduk, Anggota Parlimen, dan pelbagai pihak berkepentingan, dengan proses penyesuaian dijangka dimuktamadkan dalam sebulan akan datang.
  • Pemerintah menegaskan keperluan menyeimbangkan perlindungan alam sekitar dengan penyediaan perumahan awam yang mencukupi untuk rakyat Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pemerintah akan mengekalkan lebih banyak kawasan hijau daripada yang dirancangkan sebelum ini di Sunset Way dan Gillman Barracks menyusuli maklum balas orang ramai.

Namun, langkah itu bermakna kurangnya rumah dapat dibina di kedua-dua kawasan tersebut, kata Menteri Negara Pembangunan Negara Alvin Tan pada Jumaat (14 Ogos).

Bercakap kepada media berhampiran Blok 103 Clementi Street 14, di luar Maju Forest, Encik Tan berkata pemerintah sedang mempertimbangkan penyesuaian terhadap rancangan sedia ada bagi kedua-dua kawasan.

Rancangan tersebut sebelum ini dilakarkan dengan mengambil kira pandangan kumpulan-kumpulan pencinta alam semasa proses penilaian alam sekitar.

Walaupun tempoh rasmi mendapatkan maklum balas berakhir pada 6 Ogos, pemerintah terus mendampingi pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut Encik Tan, para penduduk dan orang awam juga meminta supaya lebih banyak kawasan hijau dikekalkan dan saranan itu akan dipertimbangkan dalam membuat penyesuaian.

Dengan perubahan tersebut, lebih banyak kawasan hijau akan dikekalkan di kedua-dua lokasi berbanding rancangan asal.

Namun, jumlah sebenar kawasan tambahan yang akan dikekalkan masih belum ditentukan.

"Tetapi kita perlu menerima ini bermakna kita boleh membina jumlah rumah yang lebih rendah di kedua-dua tapak bagi warga Singapura," tambah Encik Tan.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengumumkan pada 10 Julai lalu bahawa ia akan membina rumah-rumah baharu di Gillman Barracks dan Sunset Way selepas kajian sekitaran dan warisan selesai dijalankan.

Sekitar 15 hektar Maju Forest di Sunset Way dan sekurang-kurangnya 10 hektar kawasan hutan di Gillman Barracks mungkin dibersihkan bagi memberi laluan kepada pembangunan perumahan.

Cadangan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para penduduk dan kumpulan pencinta alam, yang menggesa perlindungan sekitaran dipertingkatkan.

Di satu sesi mendekati masyarakat bagi saranan pembangunan perumahan di Sunset Way pada 17 Julai, beberapa penduduk memberitahu Mediacorp, mereka bimbang tentang proses pembangunan berlebihan dan kesannya ke atas proses menghapuskan kawasan hutan dan mereka berasa tidak tenteram.

Encik Tan berkata pada hari Jumaat bahawa pemerintah telah pun mengenepikan beberapa kawasan hijau dan kawasan berhutan dalam pelan sedia ada.

"Tetapi pelan semasa tidak pernah muktamad. Kini, berdasarkan maklum balas yang kami terima setakat ini, kami merancang untuk membuat penyesuaian lanjut kepada pelan tersebut."

Bagi Gillman Barracks, pelan semasa termasuk ruang hijau bersamaan dengan 40 peratus daripada ruang-ruang ini.

Ini termasuk ciri-ciri penting seperti kebanyakan hutan sekunder yang didominasi spesies asli, keseluruhan aliran hutan, dan juga sambungan ekologi ke taman-taman yang berjiran dan Kawasan Simpanan Alam Semula Jadi Labrador Labrador.

Kumpulan-kumpulan pencinta alam meminta pemerintah menimbangkan agar memperluaskan koridor hijau di bahagian tengah kawasan itu bagi meningkatkan hubungan ekologi dengan kawasan berdekatan.

Bagi Maju Forest pula, sekitar 35 peratus kawasan hutan dirancang akan dikekalkan.

Ia termasuk hutan sekunder yang didominasi tumbuhan asli, aliran air semula jadi dan kawasan penampannya serta bekas landasan kereta api Jurong.

Encik Tan berkata pelebaran koridor hijau akan menyediakan kawasan tumbuh-tumbuhan yang lebih bersambung untuk haiwan mencari makan.

Pemerintah masih menerima maklum balas dan menyasarkan untuk memuktamadkan rancangan itu dalam tempoh sekitar sebulan akan datang.

Encik Tan menambah, pemerintah turut menghargai pandangan para Anggota Parlimen seperti Sim Ann, Christopher de Souza dan Rachel Ong, selain kumpulan pencinta alam serta orang ramai.

"Mereka semua memainkan peranan masing-masing untuk membantu kami memenuhi keperluan perumahan Rakyat Singapura dan mencapai visi kami sebagai Bandar dalam Alam Semula Jadi," katanya.

Awal bulan ini, Encik Tan memberitahu Parlimen bahawa rancangan bagi kedua-dua kawasan itu belum dimuktamadkan selepas para Anggota Parlimen mengemukakan 18 soalan berhubung isu tersebut.

Beliau berkata ketika itu bahawa kajian alam sekitar dan warisan yang sedang dijalankan untuk kedua-dua tapak tersebut "bukan bertujuan untuk mewajarkan pelan terperinci yang sudah ditetapkan".

Beliau menegaskan pemerintah menghargai warisan dan kawasan hijau, namun juga mahu memastikan rakyat Singapura dan generasi akan datang mempunyai akses kepada perumahan awam yang dimampui.

"Saya harap kita mempunyai tanah yang banyak, supaya kita boleh menyediakan semua ini tanpa perlu membuat pertukaran. Tetapi itu bukan realiti kita," katanya.

HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan maklum balas yang diterima sedang diteliti dan satu laporan yang merumuskan pandangan orang ramai serta respons agensi akan diterbitkan sebelum rancangan pembangunan terperinci dimuktamadkan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita