Lebih banyak jalan raya diubah jadi laluan pejalan kaki, berbasikal; 60 projek dikenal pasti
Sekitar 60 projek di seluruh Singapura telah dikenal pasti untuk mengubah jalan raya menjadi laluan pejalan kaki, laluan berbasikal dan lorong bas, sebagai sebahagian daripada usaha menggalak penggunaan kaedah pengangkutan itu.
(Gambar: LTA/Facebook)
SINGAPURA: Sekitar 60 projek di seluruh Singapura telah dikenal pasti untuk mengubah jalan raya menjadi laluan pejalan kaki, laluan berbasikal dan lorong bas, sebagai sebahagian daripada usaha menggalak penggunaan kaedah pengangkutan itu.
Mengumumkannya di Parlimen pada Jumaat (5 Mac), Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor berkata bahawa pengumpulan maklum balas bagi lima projek tersebut sudah dimulakan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa akan mendapatkan pandangan penduduk, majlis bandaran dan perniagaan untuk mengenal pasti sebarang peningkatan terhadap projek berkenaan.
Usaha tersebut akan dimulakan dengan projek menggalak kegiatan berjalan kaki di kawasan-kawasan seperti Daerah Sivik.
"Kami telah bekerjasama dengan kumpulan seni dan sivik serta pemilik premis untuk memenuhi aspirasi mereka bagi menampung lebih ramai pejalan kaki di Daerah Sivik," kata Dr Khor.
"Satu bahagian di Jambatan Anderson dan sebahagian St Andrew's Road sudah dijadikan laluan pejalan kaki dan membataskan akses kenderaan ke kawasan Parlimen Place, Old Parliament Lane dan Connaught Drive. Dengan ini, pejalan kaki dapat berjalan tanpa gangguan dari Old Parliament House ke Esplanade Park. "
Ramai pihak yang meminta agar rangkaian laluan pejalan kaki diperluaskan di Daerah Sivik, tambah Dr Khor.
KAKI LIMA DIPERLUAS DI HAVELOCK ROAD
"Kami juga akan bekerjasama dengan masyarakat untuk secara beransur-ansur membentuk semula landskap jalan raya di kawasan seperti Sembawang, Bishan-Toa Payoh, Tanjong Pagar dan Jalan Besar," kata Dr Khor.
Usaha ini akan bermula dengan laluan di Havelock Road, diperluaskan untuk menampung lebih ramai pejalan kaki semasa waktu sibuk.
Ini akan dilakukan dengan meletakkan penghadang berisi air untuk beberapa bulan - sambil mengumpulkan maklum balas awam bagi penyesuaian lanjut - sebelum laluan pejalan diperluas secara kekal, jelas Dr Khor.
Dalam satu kenyataan media, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan bahawa kawasan yang terjejas terletak antara 715 hingga 745 Havelock Road, di mana laluan kaki lima di sepanjang rumah kedai itu sempit dan tidak dapat menampung lalu lintas pejalan kaki.
"Di bawah Fasa 1, yang akan bermula dari Mac 2021, LTA akan mengubah susun atur jalan, seperti dengan menutup tempat letak kereta di tepi jalan, untuk mewujudkan lebih banyak ruang untuk berjalan di kaki lima," jelas LTA.
Para pemandu perlu meletak kenderaan mereka di kawasan letak kereta berdekatan di Blok 51, 44A dan 28A, sementara pemandu penghantaran boleh menggunakan kawasan memunggah berdekatan di Beo Crescent Market dan juga di Blok 50 dan 53.
LALUAN BERBASIKAL JUGA DIPERTINGKAT
"Selain keupayaan menampung pejalan kaki, kami juga akan mula mengubah sebahagian jalan raya menjadi laluan berbasikal, bermula di lokasi seperti Ang Mo Kio Street 22, untuk memperluas rangkaian laluan berbasikal kita," kata Dr Khor.
Beliau menarik perhatian bahawa Singapura akan meneruskan rancangan untuk memperluas rangkaian laluan berbasikal daripada 460 kilometer kepada 1,300kilometer menjelang 2030.
"Menjelang hujung tahun ini, kami akan menambah lagi 28 km laluan berbasikal, di Bukit Panjang, Sembawang, Taman Jurong dan Yishun, serta di estet-estet matang seperti Ang Mo Kio, Bishan, Tampines, Taman Jurong dan Toa Payoh," katanya, sambil menambah bahawa kerja-kerja binaan akan diutamakan di bandar tanpa laluan berbasikal.
Dr Khor berkata bahawa sejak larangan penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) di laluan jalan kaki dikuatkuasakan, tahap keselamatan telah "bertambah baik", dengan kemalangan yang melibatkan PMD bermotor di laluan sebegitu menjunam 79 peratus antara 2019 hingga 2020 kepada 30 kes.
"Untuk meningkatkan lagi keselamatan, kami akan melancarkan rejim kawalan import baru bagi alat mobiliti peribadi dan basikal berkuasa elektrik pada separuh pertama 2021," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.