Lebih banyak insentif untuk galak isi rumah lebih mesra alam
Lebih banyak insentif akan diberikan kepada isi rumah untuk lebih mesra alam.
SINGAPURA: Lebih banyak insentif akan diberikan kepada isi rumah untuk lebih mesra alam.
Mereka yang tinggal di flat HDB akan menerima baucar elektronik untuk membeli peralatan yang menjimatkan tenaga dan air.
Program Isi Rumah Mesra Iklim menggalak keluarga-keluarga di sini untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan air di samping menjimatkan bil api air mereka.
Mereka yang tinggal di flat satu, dua dan tiga bilik yang layak boleh mendaftar secara online untuk mendapatkan baucar elektronik menggunakan akaun SingPass.
Mereka akan menerima tiga baucar bernilai S$225 secara keseluruhan.
Ia boleh digunakan untuk membeli peti sejuk jimat tenaga, set mandi jimat air dan lampu-lampu LED.
Dengan melakukan perubahan sedemikian, mereka boleh menjimatkan S$70 setahun.
Baucar boleh digunakan di lapan kedai runcit termasuk NTUC Fairprice, Sheng Siong dan Courts. Ia boleh diguna pakai sehingga 31 Dis 2023.
Program itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat di kempen "Bersih Dan Menghijau Singapura".
Encik Heng turut menanam tiga pokok Cempaka Magnolia di Kolej Timur ITE bagi menyokong usaha untuk menerapkan alam semula jadi ke dalam bandar.
Beliau turut menyampaikan 16 anugerah kepada badan-badan akar umbi kerana mencapai piawai tinggi dalam kebersihan awam dan penjimatan tenaga.
Encik Heng mengulas mengenai pentingnya menjaga kebersihan Singapura.
"Menjaga kebersihan Singapura adalah sangat penting kerana kebersihan diri dan awam adalah kunci dalam pencegahan pandemik COVID-19.
"Usaha kami untuk membina masa depan yang lebih mesra alam dan mampan tidak sahaja akan menambah baik persekitaran, ia akan membantu pertumbuhan ekonomi, menjana lebih perniagaan dan mencipta pekerja mesra alam yang baik," ujar Encik Heng.
Keluarga yang layak boleh membuat permohonan di sini https://www.climate-friendly-.households.gov.sg/.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.