Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak hujan, angin monsun kencang dijangkakan di SG hingga April

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cuaca dingin dan hujan menjadi topik perbualan hangat sejak kebelakangan ini menyusuli lonjakan monsun pada Jumaat lalu(10 Jan) yang dijangka kembali hujung minggu ini.

Keadaan sejuk itu dijangka berterusan dalam beberapa bulan akan datang, dengan lebih banyak hari-hari hujan dan hujan lebih lebat diramalkan melanda Singapura.

Negara ini sedang mengalami keadaan monsun timur laut yang mungkin menjadi lebih buruk semasa fenomena La Nina, yang mungkin berlaku seawal bulan ini dan berlarutan sehingga April, menurut pakar kepada Mediacorp.

Corak cuaca La Nina, yang membawa lebih banyak hujan dan cuaca sejuk, melibatkan suhu permukaan laut Pasifik tropika yang biasanya bertahan selama berbulan-bulan hingga setahun.

Dunia kini "memantau keadaan La Nina", menurut laman Jabatan Kaji Cuaca Singapura.

KEADAAN MIRIP LA NINA BERTERUSAN

Seperti kebanyakan tempat di dunia, Singapura memulakan 2025 dengan keadaan yang menyerupai La Nina.

Ia berlaku apabila angin di Lautan Pasifik menjadi lebih kencang, mendorong air yang hangat bergerak suhu perairan yang ke arah lebih jauh ke barat menuju Asia Tenggara. Air itu kemudian menyejat (evaporate) dan membentuk awan yang membawa hujan lebat ke kawasan tersebut.

Kitaran pemanasan dan penyejukan Lautan Pasifik tropika ini dikenali sebagai Ayunan Selatan El Nino (ENSO) – satu corak iklim yang berulang.

Fasa pemanasan suhu permukaan laut semasa ENSO dikenali sebagai El Nino, yang membawa cuaca panas dan kering, manakala fasa penyejukan dikenali sebagai La Nina.

Antara kedua-dua fasa ini adalah fasa ketiga yang dipanggil ENSO-neutral.

Singapura terakhir kali mengalami El Nino dari 2023 hingga 2024, selepas fenomena La Nina yang terakhir yang berlaku antara 2020 dan awal 2023.

Kedua-dua fenomena cuaca ini berlaku secara bergilir-gilir setiap beberapa tahun.

“Kami mengalami keadaan yang seakan-akan La Nina. Kami melihat beberapa tanda La Nina tetapi ia bukan yang kuat,” kata Encik Tan Wee Leng, saintis penyelidikan kanan di ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) Pusat Khusus Kaji Cuaca.

“Kami meramalkan untuk beberapa bulan akan datang – menggunakan pelbagai model iklim musiman yang berbeza – bahawa keadaan seperti La Nina ini akan berterusan selama beberapa bulan. Namun ia dijangka kembali kepada keadaan neutral pada bulan April.”

Pertubuhan Meteorologi Dunia juga menyatakan dalam kemas kini terbaharunya bulan lalu bahawa sebarang fenomena La Nina yang akan datang kemungkinan akan lemah dan singkat.

RAMALAN SELEPAS JUN MASIH BELUM JELAS

Keadaan cuaca dijangka tidak kembali normal sehingga sekitar Jun.

Bagi keadaan cuaca selepas Jun, Encik Tan berkata ia “terlalu awal” untuk meramalkan apa yang akan berlaku dengan ENSO ketika itu.

Encik Tan menambah bahawa model cuaca semasa sebahagian besarnya tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai fenomena El Nino atau La Nina pada separuh kedua tahun ini, atau sama ada keadaan akan kekal neutral.

Situasi ini akan menjadi lebih jelas sekitar bulan Mei, katanya.

Namun, ada beberapa perkara yang pasti, seperti dua musim monsun yang dilalui Singapura setiap tahun – musim monsun barat daya yang bermula sekitar Mei, dan musim monsun timur laut yang biasanya berlangsung dari Disember hingga Mac.

ALAT SEDANG DIBANGUNKAN UNTUK KAJI IMPAK

Untuk mengkaji impak corak cuaca sebegini, sebuah pasukan penyelidikan dari Universiti Nasional Singapura (NUS) sedang membangunkan alat untuk mengenal pasti betapa terdedahnya kawasan Asia Tenggara terhadap kesan-kesan ini.

Sistem ini melihat kejadian seperti banjir, taufan dan gelombang panas.

Dengan menggunakan teknik pemprosesan bahasa semula jadi dan kecerdasan buatan, pasukan ini boleh menapis ribuan artikel dan memilih ayat serta data yang relevan dengan kejadian di kawasan-kawasan tertentu.

Ini membolehkan mereka mengenal pasti tema-tema umum seperti potensi kerosakan pada sesebuah bandar atau wilayah.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan