Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak flat BTO diperuntuk untuk pemohon kali pertama mulai 30 Ogos

Bermula pelancaran selanjutnya BTO pada 30 Ogos, lebih banyak flat yang baru dibina akan diperuntukkan bagi keluarga dan golongan bujang yang memohon buat kali pertama, menyusuli permintaan tinggi daripada kumpulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Aug 2022 01:54PM Dikemas Kini : 27 Aug 2022 10:07PM
SINGAPURA: Bermula pelancaran selanjutnya Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 30 Ogos, lebih banyak flat yang baru dibina akan diperuntukkan bagi keluarga dan golongan bujang yang memohon buat kali pertama.

Ini memandangkan permintaan tinggi bagi perumahan daripada kumpulan tersebut dan bagi meningkatkan peluang mereka mendapatkan rumah pertama.

Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Sabtu (26 Ogos), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengumumkan bermula Ogos 2022, sekurang-kurangnya 95 peratus bekalan flat empat bilik dan flat lebih besar di estet belum matang akan diperuntukkan bagi pemohon keluarga kali pertama - naik daripada 85 peratus sekarang ini.

Bagi bekalan flat BTO tiga bilik, sekurang-kurangnya 85 peratus daripada kuota ini akan diperuntukkan bagi keluarga-keluarga tersebut, naik dari 70 peratus sekarang ini.

"Bagi estet-estet matang, kami akan terus memperuntukkan sekurang-kurangnya 95 peratus bekalan flat BTO bagi pemohon keluarga kali pertama," jelas MND dan HDB.

Bagi para pemohon bujang kali pertama, sehingga 65 peratus flat flexi dua bilik bagi bukan warga emas di estet belum matang akan dikhaskan untuk mereka, naik dari 50 peratus sekarang ini.

Agensi-agensi itu menarik perhatian bahawa para pemohon kali pertama terus membentuk sebahagian besar permohonan BTO, dengan jumlah keluarga sedemikian mencari flat baru meningkat dari lebih 19,000 pada 2018 kepada sekitar 34,000 pada 2021.

Terdapat 4.1 pemohon keluarga kali pertama bagi setiap flat BTO pada 2021, berbanding 2.2 pada 2018.

Pada 2021, terdapat 7.5 pemohon bujang kali pertama bagi flat flexi dua bilik di estet belum matang, naik dari 5.1 pada 2020.

"Kami juga sedar bahawa para pemohon kali pertama biasanya mempunyai keperluan lebih penting dan segera untuk memulakan rancangan kehidupan mereka," menurut MND dan HDB.

Kuota pembahagian BTO sebelum ini disemak berdasarkan permintaan daripada kedua-dua pemohon kali pertama dan pemohon kali kedua.

Pada 2012, kuota bagi semua flat BTO di estet belum matang bagi pemohon kali kedua meningkat; dan pada 2009, kuota BTO bagi pemohon keluarga kali pertama naik di tengah-tengah bekalan perumahan yang ketat.

Pengarah Kanan Kajian Huttons Asia Lee Sze Teck berkata kenaikan pemohon kali pertama bagi BTO adalah disebabkan kenaikan harga flat jualan semula, kenaikan kadar faedah dan tempoh BTO siap dibina yang kian pulih ke paras sebelum pandemik.

"Ini tentu sekali berita baik bagi pemohon kali pertama kerana sebilangan mereka mungkin tidak dapat menyertai pasaran jualan semula di tengah-tengah kadar faedah yang meningkat," jelasnya.

SOKONGAN BAGI PEMOHON KALI KEDUA

HDB menyatakan pada Sabtu bahawa ia akan terus memperuntukkan sebahagaian daripada bekalan BTO bagi pemohon keluarga kali kedua, sambil memastikan mereka dalam kumpulan tersebut yang memerlukan rumah bersubsidi akan terus menerima akses kepada flat BTO.

"Kami akan terus memperuntukkan lima peratus daripada flat flexi dua bilik dan flat BTO tiga bilik di estet belum matang bagi ibu bapa yang bercerai atau ibu bapa tunggal dengan anak, di bawah Skim Bantuan bagi Pemohon Kali Kedua (Ibu Bapa Bercerai/Tunggal)," dedah MND dan HDB dalam kenyataan medianya.

"Keluarga di rumah sewa awam yang dapat dan bersedia beralih untuk memiliki rumah akan terus menikmati keutamaan di bawah Skim Keutamaan Penyewa."

Keluarga-keluarga itu juga boleh mendapat akses kepada Geran Perumahan Permulaan Baru dan Geran Perumahan 'Step-Up' CPF, serta menerima panduan daripada Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah, bagi membantu mereka memiliki flat.

Encik Lee dari Huttons menyatakan berita hari ini "tidak baik" bagi para pemohon kali kedua BTO.

"Mereka diperuntukkan jumlah flat BTO yang lebih rendah untuk naik taraf, mendapatkan flat yang sesuai dengan saiz keluarga atau berpindah ke flat lain dengan saiz rumah serupa," jelasnya.

"Ini bermakna mereka mungkin harus mencari di pasaran jualan semula HDB, tidak berpindah, membeli kondominium eksekutif (EC) atau kondominium privet...Ia belum dapat dilihat sama ada peruntukan yang lebih kecil kepada pemohon kali kedua ini akan memburukkan lagi keadaan kekurangan bekalan dalam pasaran jualan semula HDB."

Tahun lalu, HDB mengumumkan ia akan melancarkan sehingga 23,000 flat BTO setiap tahun pada 2022 dan 2023, kenaikan 35 peratus dari 17,000 yang dilancarkan pada 2021.

Lembaga itu juga menyatakan pada ketika itu bahawa ia bersedia melancarkan sehingga 100,000 flat kesemuanya dari 2021 hingga 2025, jika perlu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan