Skip to main content

Singapura

Lebih banyak firma SG galak kesejahteraan pekerja di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat-syarikat di Singapura semakin mengutamakan kesejahteraan pekerja di tempat kerja, terutamanya selepas pandemik COVID-19.

Antaranya, dengan memperkenalkan minggu kerja yang lebih singkat dan hari tanpa mesyuarat hingga sesi yoga percuma dan retreat kesejahteraan, dalam usaha menggalak kesihatan mental pekerja mereka.

Kesihatan mental yang buruk menyebabkan ekonomi global kerugian hampir AS$1 trilion (S$1.31 trilion) setiap tahun dari segi merosotnya daya penghasilan, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lepas.

HARI TIADA MESYUARAT, KERJA FLEKSIBEL

Lebih banyak majikan sedang mencari cara untuk membantu pekerja mereka mencapai keseimbangan kerja dengan kehidupan keluarga.

Cik Donna Ho, misalnya, terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah, termasuk menjaga dua anak lelakinya yang masih kecil.

“Semasa tempoh pandemik, ia amat mencabar, menakutkan,” kata Cik Ho, pengurus operasi di syarikat pengurusan perkhidmatan dan kemudahan makanan berbilang negara, Sodexo.

“Saya masih ingat lagi, saya perlu bekerja hingga ke larut malam, dan saya fikir saya bersendirian untuk menangani cabaran ini. Namun, tidak.”

Beliau menghargai budaya kerja di firmanya, yang memberikan tumpuan kepada kebajikan pekerja.

“Sebagai ibu yang bekerja dengan dua anak lelaki, saya biasanya mengimbangi antara urusan kerja serta penjagaan keluarga peribadi. Sodexo memberikan saya aturan kerja yang fleksibel,” kata Cik Ho.

Namun, memastikan sokongan yang mencukupi untuk kakitangan mereka boleh menjadi sukar untuk Sodexo. Ia menggajikan kira-kira 1,000 orang di Singapura, dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja barisan hadapan seperti pembantu dapur, pekerja pembersihan dan tukang masak.

Untuk menangani cabaran itu, syarikat tersebut menawarkan pelbagai inisiatif, termasuk hari tanpa mesyuarat dan aturan kerja yang fleksibel kepada vendor mereka.

Pengarah urusan Sodexo untuk Malaysia dan Singapura, Abel Ariza berkata kerjasama itu membantu menyediakan pelbagai program kepada pekerja termasuk menyokong kesejahteraan mental mereka dan membangunkan kepimpinan empati.

TINGKATKAN PRODUKTIVITI, TARIK BAKAT

Walaupun syarikat besar seperti Sodexo menawarkan program kesejahteraan yang meluas, firma yang lebih kecil juga mengiktiraf kepentingan kesihatan kakitangan.

Cabaran bagi mereka ialah memikirkan sumber yang ada dan yang sesuai, kata pemerhati.

Encik Ang Yuit, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME), berkata SME biasanya mempertimbangkan sama ada sesuati inisiatif itu membantu dari segi produktiviti dan perniagaan.

Beliau menambah: “Kedua, adakah ia benar-benar membantu syarikat dari segi menarik dan mengekalkan bakat?

"Secara keseluruhannya, jika ia didapati benar-benar membantu dalam produktiviti keseluruhan yang lebih baik di tempat kerja, dan ia juga mengekalkan bakat - saya fikir perniagaan (akan) sangat proaktif menerokanya."

Bagi agensi komunikasi bersepadu Tate Anzur, ia telah memupuk persekitaran yang mengutamakan kesejahteraan kakitangan, dengan program seperti minggu bekerja empat setengah hari dan inisiatif bekerja dari mana-mana sahaja.

Kira-kira 10 peratus pekerjanya sudah berkhidmat lebih sedekad dengan syarikat itu. Kebanyakannya bermula sebagai pekerja peringkat permulaan dan kini dalam peranan pengurusan.

“Kami tidak membuat perbandingandengan syarikat lain atau organisasi yang lebih besar. Kami melihat pasukan kami, kami melihat kakitangan kami, (dan) apa yang paling berkesan untuk mereka dan apa yang paling menguntungkan,” kata Cik Yvonne Li, pengasas dan pengarah urusan Tate Anzur.

“Itulah yang mendorong kami mencipta inisiatif ini, dan ia telah berjaya dengan baik. Bagi kami, adalah penting bahawa pasukan kami gembira dan sihat, dan meraih manfaat daripada faedah yang kami sediakan ini, ia telah benar-benar membentuk budaya kerja di agensi kami.”

<<BACA: Semakin banyak klinik GP, poliklinik dilatih tawar khidmat kesihatan mental>>

KEMAJUAN BESAR SEJAK PANDEMIK

Pemerhati menyatakan keletihan mental boleh menyukarkan pekerja untuk menumpukan perhatian di tempat kerja.

Encik Theodoric Chew, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pemula kesihatan, Intellect, akur bahawa kemajuan besar telah dicapai dalam menyokong kesejahteraan mental sejak pandemik COVID-19.

“Kita tidak boleh abaikan tanggapan bahawa orang ramai bergelut dengan kesihatan mental,” katanya dalam wawancara dengan Mediacorp pada Khamis (10 Okt).

Encik Chew berkata pemimpin di tempat kerja perlu menetapkan nada dan rentak budaya kerja, dan membina persekitaran yang menyokong kesejahteraan pekerja.

Ini termasuk menangani stigma yang dipegang sesetengah orang, termasuk rasa ragu-ragu untuk mengambil pekerja yang mempunyai keperluan kesihatan mental, tambahnya.

"Saya fikir pendidikan tentang hal ini perlu," katanya.

“Bagaimanakah kita boleh mendapatkan pihak pengurusan untuk bukan sahaja bercakap tentangnya tetapi juga lakukan apa yang dijanjikan, berkongsi tentang perjuangan mereka (dan) memberikan penjagaan dengan cara yang membuat pekerja rasa selesa dengan mereka?”
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita