Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak derma darah diperlukan; bekalan jatuh ke paras kritikal tatkala tempoh pemutus jangkitan

Pihak berkuasa membuat satu lagi rayuan kepada penderma darah yang sihat sedang pengumpulan darah pada minggu pertama tempoh pemutus rantaian jangkitan merosot hingga kurang 25 peratus daripada paras biasa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak derma darah diperlukan; bekalan jatuh ke paras kritikal tatkala tempoh pemutus jangkitan

(Gambar: Palang Merah Singapura/Facebook)

Diterbitkan : 19 Apr 2020 02:59PM Dikemas Kini : 19 Apr 2020 03:00PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa membuat satu lagi rayuan kepada penderma darah yang sihat sedang pengumpulan darah pada minggu pertama tempoh pemutus rantaian jangkitan merosot hingga kurang 25 peratus daripada paras biasa.

Kemerosotan itu akan menyebabkan stok darah jatuh jauh lebih rendah daripada jumlah harian yang diperlukan untuk menampung keperluan pemindahan darah bagi pembedahan, perubatan am serta kes kemalangan dan kecemasan. Ini menurut Palang Merah Singapura (SRC) iaitu badan yang dilantik untuk merekrut penderma darah.

Ia menggesa para penderma darah yang sihat untuk menjadikan pendermaan darah sebagai satu keutamaan kerana "pendermaan darah tetap penting sekalipun semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan".

Sepanjang beberapa minggu lalu, bank darah menyaksikan kemerosotan pada kadar bekalan dan pendermaan darah, dengan stok darah bagi jenis O-, A- dan AB+ kian kehabisan, menurut SRC.

Menurut kemas kini terkini di laman web SRC pada Jumaat (17 Apr), stok darah bagi ketiga-tiga jenis darah itu berada pada paras "kritikal" manakala jenis B- pula kini "rendah".

Bekalan bagi darah jenis AB- pula "sederhana" dan stok untuk jenis A+, B+ serta O+ adalah "baik".

SRC memberitahu Mediacorp: "Pada setiap hari, kami mengumpulkan sekitar 350 hingga 400 beg darah. Bagaimanapun, sepanjang beberapa minggu lalu, bekalan darah semakin susut."

Penguasa Sains Kesihatan (HSA), yang menguruskan bank darah Singapura, menyatakan ia perlu mengumpul 400 unit darah setiap hari untuk mengekalkan simpanan darah yang stabil bagi tempoh selama enam hari bagi menyokong keperluan pemindahan segera dan kecemasan pendarahan. Satu unit darah adalah sekitar 350 milileter (ml) hingga 450ml.

Stok darah tidak dapat disimpan selama-lamanya kerana jangka hayatnya yang pendek. Sel merah bertahan paling lama sehingga enam minggu sementara platelet dapat digunakan hanya lima hari setelah didermakan, jelas HSA.

HSA menyatakan ia sudahpun menjalankan pemeriksaan ke atas penderma yang berpotensi sebelum mereka memasuki bank darah atau tempat pengumpulan dan akan menolak penderma yang berasa tidak sihat, pernah ke luar negara sewaktu tempoh 14 hari sebelumnya atau terdedah kepada kes COVID-19.

Ia juga menguatkuasakan langkah jarak selamat dengan meletakkan katil-katil menderma darah sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain dan mengasingkan kerusi di kawasan menunggu atau selepas menderma darah. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan