Skip to main content

Singapura

Lebih banyak dana untuk tenaga kerja, saluran aduan lebih mudah untuk tangani buli di sekolah

Sekolah-sekolah akan diberikan lebih banyak dana untuk menggajikan tenaga kerja tambahan dan wadah laporan akan dijadikan lebih mudah untuk diakses sebagai sebahagian daripada langkah dipertingkat dalam menangani isu buli, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (15 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak dana untuk tenaga kerja, saluran aduan lebih mudah untuk tangani buli di sekolah

Menteri Pendidikan Desmond Lee berinteraksi dengan murid Sekolah Rendah Teck Ghee pada 15 Apr 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 15 Apr 2026 06:30PM Dikemas Kini : 15 Apr 2026 06:33PM
SINGAPURA: Sekolah-sekolah akan diberikan lebih banyak dana untuk menggajikan tenaga kerja tambahan dan wadah laporan akan dijadikan lebih mudah untuk diakses sebagai sebahagian daripada langkah dipertingkat dalam menangani isu buli, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (15 Apr).

Langkah tersebut menyusuli semakan menyeluruh melibatkan lebih 2,000 pihak berkepentingan termasuk pendidik, pelajar dan ibu bapa, menyusuli jumlah kes buli yang meningkat pada 2025.

Di bawah pendekatan baharu, pihak sekolah akan menerima dana tambahan berdasarkan keperluan untuk menggajikan kakitangan seperti kakitangan belia, pegawai jagaan pastoral dan pegawai perhubungan ibu bapa.

Peranan tersebut bertujuan menyokong pengurusan pelajar dan mengurangkan beban guru.

MOE menambah, keputusan mengambil tenaga kerja bergantung kepada setiap sekolah.

Sesetengah sekolah mungkin lebih cenderung kepada guru memimpin siasatan manakala ada mungkin menggajikan kakitangan berdedikasi.

Para pendidik juga mungkin diberikan latihan dipertingkat dalam menguruskan pelajar dan mendampingi ibu bapa, termasuk kemahiran siasatan dan huraian konflik.

Saluran membuat laporan juga akan diperluaskan, dengan sebuah platform online baharu akan dilancarkan pada 2027.

Ini akan memberikan para pelajar lebih banyak wadah untuk mendapatkan bantuan di samping membenarkan pihak sekolah memberi respons secara lebih pantas.

Bercakap kepada wartawan di Sekolah Rendah Teck Ghee, Menteri Pendidikan Desmond Lim berkata matlamatnya adalah untuk menguruskan kes secara lebih cekap dan mengesan isu-isu lebih awal.

MOE akan memantau pelaksanaannya dengan teliti dan menyemak data bagi menilai perkembangan.

"Disiplin diperlukan, tetapi akhirnya, ia adalah proses pendidikan dan pemulihan yang kami mahu terapkan secara tegas ke dalam keseluruhan kitaran menangani tingkah laku menyakitkan dan perbuatan buli," katanya.

Dari 2021 hingga 2025, sekolah-sekolah mencatatkan purata tiga kes buli bagi setiap 1,000 murid sekolah rendah dan lapan kes bagi setiap 1,000 pelajar sekolah menengah, menurut MOE.

Ini berbanding tempoh selama lima tahun antara 2020 hingga 2024, di mana jumlahnya adalah sekitar dua kes bagi setiap 1,000 murid sekolah rendah dan enam bagi setiap 1,000 pelajar sekolah menengah.

LANGKAH-LANGKAH DISIPLIN

Di bawah rangka kerja disiplin yang baharu, pesalah kali pertama boleh ditahan selama tiga hari dan/atau digantung sekolah bagi kesalahan serius, serupa dengan hukuman bagi pelajar yang ditangkap menghisap vape yang diumumkan pada 2025.

Gred kelakuan juga akan diubah dengan pelajar dari tingkatan atas boleh disebat dalam kes-kes yang memburukkan keadaan.

Langkah yang dipertingkat itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini.

Pengurusan kes buli - termasuk insiden berkaitan siber - akan diperkukuhkan dengan garis panduan lebih jelas tentang bagaimana pihak sekolah perlu menangani setiap kes.

Ini termasuk jangkaan mengenai garis masa perhubungan dengan ibu bapa, rancangan keselamatan bagi pelajar, tindakan disiplin, kaunseling dan proses pemulihan untuk memastikan kes-kes ditangani tepat pada masanya dan secara konsisten.

MOE juga menarik perhatian kepada kerumitan yang dihadapi oleh pihak sekolah dalam menguruskan kes-kes yang melibatkan pelbagai perspektif.

Biasanya, reaksi pertama para ibu bapa apabila anak mereka dibuli adalah untuk melindungi anak mereka dan menghubungi ibu bapa pembuli tersebut, menurut MOE.

Namun para ibu bapa mungkin melihat satu sisi kejadian, manakala pihak sekolah perlukan masa untuk mengumpul keterangan dari setiap pihak untuk menentukan gambaran jelas sebelum mengambil tindakan.

Walaupun tiada garis panduan tentang seberapa cepat pihak sekolah harus menghubungi ibu bapa selepas berlaku kejadian, pihak sekolah akur komunikasi tepat pada masanya adalah penting, menurut kementerian tersebut.

Berhubung kes-kes yang tular di media sosial, MOE memberi amaran satu perspektif yang dimuat naik online mungkin tidak mewakili kebenaran tentang bagaimana pihak sekolah mengendalikan insiden tersebut.

"Kami bersedia untuk berkongsi apakah perkara yang dilakukan agar kami berlaku adil kepada para pendidik serta beberapa pihak lain yang mungkin mempunyai dakwaan terhadap mereka," menurut kementerian itu.

KUKUHKAN PENDIDIKAN NILAI

Melangkaui disiplin, sekolah-sekolah juga akan mempertingkatkan pendidikan nilai dalam kurikulum bagi mengukuhkan perwatakan dan kemahiran sosio-emosional pelajar.

Mereka juga akan memperkasakan para pelajar lebih lanjut untuk memimpin dan memupuk budaya rakan sebaya 'pro-sosial' di mana mereka menjaga satu sama lain, berdiri bersama menentang tingkah laku yang menyakitkan dan menyokong rakan-rakan sebaya yang terjejas.

Pada masa yang sama, MOE menekankan bahawa mewujudkan sekitaran selamat bagi kanak-kanak memerlukan usaha seluruh masyarakat melangkaui sekolah.

Ibu bapa dan keluarga boleh menerapkan nilai-nilai positif di rumah, manakala MOE akan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi masyarakat untuk menggalakkan nilai kebaikan dan saling menghormati.

Encik Lee juga menekankan peri penting perkongsian kukuh sekolah-rumah, sambil menarik perhatian situasi sedemikian boleh dijadikan sebagai detik pengajaran bagi para pelajar.

"Kami mahukan sekitaran sekolah kami, dan Singapura secara keseluruhan... sebuah sekitaran selamat untuk pembelajaran... walaupun sedang kita mahu membantu kanak-kanak kita menjadi lebih berdaya tahan dan belajar bagaimana menangani sesetengah tingkah laku itu dan mendapatkan bantuan sewajarnya."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita