Lebih banyak dana bagi syarikat dengan kesatuan untuk latih, naikkan gaji pekerja
Mulai April 2020, syarikat-syarikat yang mempunyai kesatuan buruh dan rakan-rakan kerja e2i yang memohon untuk Geran Pembangunan Perusahaan (EDG) akan menerima tambahan 10% sokongan dana dari gerakan buruh, umum Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Rabu (1 Mei).
Para pekerja di sebuah kemudahan pengilangan Singapura. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Mulai April 2020, syarikat-syarikat yang mempunyai kesatuan buruh dan rakan-rakan kerja Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) yang memohon untuk Geran Pembangunan Perusahaan (EDG) akan menerima tambahan 10 peratus sokongan dana dari gerakan buruh, umum Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Rabu (1 Mei).
Bagaimanapun untuk layak bagi dana tambahan tersebut, mereka perlu menubuhkan jawatankuasa latihan syarikat dan "memberi komitmen terhadap hasil pekerja lebih positif lain" seperti menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah atau melengkapi mereka dengan kemahiran baru.
Encik Heng mengumumkan demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Rapat Hari Buruh tahun ini. Beliau berucap di hadapan 1,600 hadirin yang terdiri daripada para pemimpin kesatuan dan rakan perikatan tiga pihak. Ini adalah ucapan pertama Encik Heng sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dengan peningkatan dana ini, syarikat-syarikat akan menerima keseluruhannya 80 peratus sokongan pendanaan di bawah Geran Pembangunan Perusahaan.
Pertama kali diumumkan dalam perbahasan Belanjawan 2018, geran tersebut membolehkan perusahaan setempat yang ingin membina keupayaan lebih mendalam melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa.Geran itu kini menyediakan dana untuk sehingga 70 peratus daripada kos projek yang layak, seperti yuran runding cara, perisian dan peralatan serta kos tenaga kerja dalaman.
"Amat penting untuk syarikat melihat pekerja sebagai rakan kongsi utama dalam transformasi syarikat mereka, dan memastikan usaha transformasi syarikat memberi manfaat kepada pekerja," kata Encik Heng.
Bulan lalu, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng mengumumkan bahawa NTUC akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat untuk membentuk jawatankuasa latihan, yang akan merancang dan melaksanakan program-program untuk membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baru.
Ia berharap untuk membentuk jawatankuasa ini dalam 1,000 syarikat dalam tempoh tiga tahun akan datang agar 330,000 pekerja boleh meraih manfaat.
BACA: Menjamin prospek pekerjaan lebih baik keutamaan NTUC dalam Industri 4.0
Menyifatkan skim tersebut sebagai "berpandangan jauh" dan "perubahan besar", Encik Heng berkata pembelajaran sepanjang hayat dan kemahiran baru akan membawa makna baru.
Gerakan buruh, katanya, akan menjadi sebahagian penting daripada syarikat dengan tujuan membantu kedua-dua pekerja dan majikan. Latihan, katanya akan dilaksanakan secara meluas di peringkat syarikat melampaui strategi nasional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.