Skip to main content

Singapura

Lebih banyak daging korban diagihkan, masak semula untuk jamu para sukarelawan, penerima bantuan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jun 2026 07:06PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 10:51AM
SINGAPURA: Lebih ramai dapat dibantu tahun ini menerusi program korban Persatuan Muhammadiyah dengan jumlah penerima bantuan meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.

Tahun ini, lebih 600 kilogram daging dapat diagihkan kepada seramai 730 penerima bantuan sempena Hari Raya Aidiladha yang baru berlalu.

Peningkatan itu didorong oleh pertambahan jumlah haiwan korban yang ditempah daripada 130 kambing tahun lalu kepada 150 kambing tahun ini.

Selain mengagihkan daging-daging itu, sebahagiannya juga dimasak dan dihidangkan bagi meraikan para sukarelawan dan penerima bantuan yang menjayakan usaha tersebut.

Dalam Majlis Makan Malam Masyarakat Muhammadiyah yang dianjurkan pada Jumaat (12 Jun), sebanyak 40 kilogram daging korban yang didermakan dimasak dan disajikan.

Acara itu menghimpunkan lebih 200 tetamu yang terdiri daripada sukarelawan, penerima manfaat dan rakan kerjasama masyarakat.

Menurut Presiden Persatuan Muhammadiyah, Muhammad Azri Azman, manfaat ibadah korban tidak terhad kepada penerima bantuan sahaja, malah turut dikongsi bersama masyarakat yang terlibat.

"Daging korban sebenarnya diperuntukkan untuk mereka yang memerlukan tapi dalam masa yang sama juga semua lapisan masyarakat dapat merasai daging korban ini.

"Pada acara pada hari ini, semua dapat merasai daging korban yang telah dimasak dan dijamu bersama. Ini juga menunjukkan bahawa kita semua dapat menyantuni masyarakat di pelbagai peringkat, tidak kira mereka ini penerima manfaat atau tidak," kongsi Ustaz Azri.

Majlis itu sudah dianjurkan sejak 2023 bagi menghargai sumbangan para sukarelawan yang menjadi tulang belakang pelbagai program kemasyarakatan pertubuhan tersebut.

MASAK DAGING KORBAN, AGIHKAN KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN

Sebanyak 40 kilogram daging korban digunakan untuk menyediakan hidangan bagi para tetamu pada majlis makan malam tersebut menerusi kerjasama dengan Hamidah's Kitchen.

Menurut Pengasas Hamidah's Kitchen, Fadilah A. Majid, pihaknya bersyukur dapat bekerjasama dengan Muhammadiyah dalam menjayakan program yang memanfaatkan masyarakat.

"Kami amat bersyukur dapat bekerjasama dengan Muhammadiyah dalam menjayakan majlis makan malam masyarakat ini. Kolaborasi seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara organisasi, malah memberi peluang untuk sama-sama berkongsi rezeki dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

"Kami berharap kerjasama yang baik ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat lebih ramai pihak," kata Cik Fadilah.

Sepanjang tempoh Hari Raya Aidiladha sehingga penghujung bulan ini, Hamidah's Kitchen menganggarkan sekitar lebih 350 kilogram daging korban telah disumbangkan dan akan dimasak serta diagihkan melalui pelbagai program kebajikan mereka.

Dalam pada itu, Muhammadiyah akan meneruskan pengagihan daging korban menerusi beberapa program susulan yang telah dirancang.

Antaranya termasuk pengagihan 150 kilogram daging kepada penerima manfaat di Bukit Batok serta penganjuran program 'Briyani Barakah' yang bakal menggunakan daging korban untuk menyediakan 2,000 pek briyani.

Program yang dijadual berlangsung pada 5 Julai itu akan memberi manfaat kepada penerima bantuan Muhammadiyah dan pekerja hijrahan.

RAPATKAN UKHUWAH SESAMA SUKARELAWAN, PENERIMA BANTUAN

Beliau menambah bahawa acara seperti itu juga membantu mengukuhkan hubungan antara sukarelawan, kakitangan dan masyarakat yang sama-sama terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.

"Dengan kita kumpulkan mereka pada acara hari ini, kita dapat menghargai mereka dan juga mengeratkan silaturahim antara golongan sukarelawan dan juga Muhammadiyah serta mereka yang berkhidmat bersama," ujar beliau.

Majlis tersebut turut menjemput beberapa keluarga daripada kalangan penerima bantuan termasuk Mohd Noor Marusudin, 66 tahun.

Dia melahirkan rasa terharu kerana berpeluang menghadiri acara tersebut bersama para sukarelawan dan penyumbang yang banyak membantu keluarganya.

"Saya terharu diundang untuk menyertai makan malam ini. Saya pun terhutang budi untuk mewakili keluarga saya sekali. Saya berterima kasih pada Muhammadiyah, kakitangan dan sukarelawan Muhammadiyah yang membantu saya dan keluarga saya dalam mengatasi masalah masalah yang sukar," katanya.

150 RELAWAN JAYAKAN PROGRAM KORBAN

Tahun ini, seramai 150 sukarelawan terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban dan aktiviti berkaitan.

Antara mereka ialah Ketua Tukang Sembelih Muhammadiyah, Syed Al-Hafizh Shah, 46 tahun, yang meneruskan legasi keluarganya dalam kerja-kerja kesukarelawanan.

"Bapa saya juga seorang sukarelawan sejak Muhammadiyah ditubuhkan pada tahun 1950-an, jadi saya rasa terpanggil untuk mengikuti jejak langkahnya untuk meneruskan dan juga untuk mengajak anak anak muda seperti anak saya untuk meneruskan kegiatan kesukarelawan ini," katanya.

Beliau berkata penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan penting bagi memastikan budaya saling membantu terus subur dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

"Siapa lagi yang akan membantu masyarakat kita kalau bukan kita sendiri. Saya rasa terpanggil untuk sama-sama membantu antara satu sama lain," tambah beliau.

Bagi sukarelawan muda, Dhiyaa-ul-Insyirah, 20 tahun, pengalaman menyertai program-program Muhammadiyah memberi peluang untuk membina ukhuwah dan menyumbang kepada masyarakat.

"Saya rasa sangat puas hati apabila dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada satu tujuan yang baik," katanya.

Menurut beliau, pengalaman paling bermakna adalah apabila dapat bekerjasama dengan sukarelawan lain dalam suasana penuh semangat kebersamaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita