Lebih banyak cuti jaga anak, kerja fleksibel antara saranan AP sokong keluarga SG
Anggota Parlimen (AP) pemerintah dan pembangkang mengemukakan pelbagai saranan semasa usul dibentangkan di Parlimen pada Rabu (5 Feb) bagi menyokong rakyat Singapura memulakan dan membina keluarga.

Gambar fail keluarga di Singapura. (Gambar: iStock)
Antara saranan utama yang diajukan termasuk menambah cuti menjaga anak, memastikan kos penjagaan anak lebih dimampui, meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi serta permudah akses pemilikan rumah.
Usul itu dibentangkan oleh AP Hany Soh (PAP-Marsiling-Yew Tee) dan Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang).
Menurutnya: "Dewan menyeru bagi semakan dan kemas kini berterusan dasar untuk menyokong keluarga dengan lebih baik serta perkahwinan dan aspirasi rakyat Singapura untuk membina keluarga, serta menyokong pendekatan seluruh masyarakat untuk membangunkan Singapura yang mesra keluarga (Singapore Made for Families).
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai minta ditukar frasa 'semakan dan kemas kini berterusan dasar' dengan frasa 'bayangkan semula' (reimagination), namun pindaan itu ditolak dan usul asal diluluskan.
Menjawab Encik Leong, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berkata pemerintah sudah mulakan 'proses imembayangkan semula' masa depan Singapura dalam bentuk Melakar Hala Tuju Singapura (Forward SG) - usaha yang dilancarkan pada 2022 untuk mengumpul maklum balas bagi menyuntik kesegaran dalam kompak sosial Singapura.
Beliau menekankan bahawa "keutamaan negara" ialah menyokong rakyat Singapura untuk memulakan dan membina keluarga.
"Keluarga adalah tonggak penting masyarakat kita. Mereka adalah kumpulan sokongan pertama dan tonggak utama kompak sosial kita," katanya.
TAMBAH CUTI JAGA ANAK
Para AP juga mengemukakn saranan yang pernah dibangkitkan sebelum ini di Parlimen, iaitu ibu bapa diberi lebih banyak cuti menjaga anak.
Encik Louis Ng (PAP-Nee Soon) mengulangi seruannya supaya cuti menjaga anak diberikan berdasarkan setiap anak, sambil menarik perhatian bahawa peruntukan enam hari cuti bagi ibu bapa dengan anak berusia sehingga tujuh tahun tidak mencukupi.
Beliau memberi contoh kes di mana seorang bapa perlu mengambil cuti 10 hari untuk menjaga anaknya yang dijangkiti penyakit HFMD.
"Saya perlu tekankan bahawa bapa ini mempunyai tiga orang anak, dan beliau tidak akan ada lagi cuti jika dua lagi anaknya dijangkiti HFMD, yang tidak mempunyai tempoh inkubasi," kata Encik Ng.
Beliau juga menyeru agar cuti penjagaan anak dilanjutkan kepada ibu bapa dengan anak yang berusia sehingga 12 tahun. Tekan Encik Ng, kanak-kanak yang menghadiri sekolah rendah masih belum dapat menjaga diri mereka sendiri.
Buat masa ini, ibu bapa dengan anak berusia tujuh hingga 12 tahun diberikan cuti penjagaan anak sebanyak dua hari setahun.
PASTIKAN KOS PENJAGAAN ANAK LEBIH DIMAMPUI
Beberapa AP juga mengusulkan langkah bagi mengurangkan beban kewangan menjaga anak.
AP Xie Yao Xuan (PAP-Jurong) mencadangkan subsidi asas bagi khidmat tajaka sepenuh hari dinaikkan sebanyak S$100 dan mengurangkan bayaran bersama minimum bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dengan jumlah yang sama.
"Dengan cara ini, ibu bapa muda, sama ada yang berpendapatan lebih tinggi atau rendah, dapat meraih manfaat daripada pengurangan S$100 dalam yuran tajaka setiap bulan," katanya.
Buat masa ini, kanak-kanak rakyat Singapura yang menghadiri tajaka kendalian Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) layak mendapat subsidi asas sehingga S$600 sebulan bagi khidmat penjagaan bayi sepenuh hari dan sehingga S$300 sebulan bagi tajaka sepenuh hari.
SOKONGAN MILIK RUMAH
Encik Leong menyeru tindakan diambil bagi menangani kos perumahan yang meningkat.
Menurutnya, PSP menyarankan golongan muda rakyat Singapura ditawarkan pilihan rumah sewa bermutu, sementara menantikan flat baharu. Satu lagi ialah Skim Rumah Lebih Dimampui - iaitu mengurangkan harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan tidak mengambil kira kos tanah bagi flat didiami pemilik.
"Kami yakin dengan kedua-dua skim ini, ia dapat mengurangkan kos perumahan bagi rakyat Singapura dan membolehkan warga muda Singapura untuk mendapatkan rumah mereka sendiri secepat mungkin sebaik sahaja mereka bersedia mempunyai keluarga sendiri," kata Encik Leong.
Menurut Cik Indranee, saranan PSP itu serupa dengan skim sewa prabayar yang akan menjadikan rakyat Singapura penyewa dan bukan rumah sendiri. Ia juga akan membebankan rizab negara,
KESEIMBANGAN KEHIDUPAN-PEKERJAAN
Para AP juga menekankan pentingnya aturan kerja fleksibel dan menjaga keseimbangan hidup, kerja dan keluarga.
AP Melvin Yong (PAP-Radin Mas) berkata beliau sering mendengar daripada pasangan muda dan sukarelawan akar umbi mengenai peri pentingnya mempunyai keseimbangan kehidupan kerja yang lebih baik bagi menyokong usaha membina keluarga.
Beliau juga menarik perhatian kepada kemas kini laporan Penasihat Tiga Pihak mengenai Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja oleh Kementerian Tenaga Manusia pada 2023, yang termasuk dasar mengenai komunikasi selepas waktu kerja.
"Saya ingin bertanya berapa ramai majikan hari ini telah mengamalkan dasar hak untuk tidak dihubungi (right to disconnect) di tempat kerja mereka," kata Encik Yong yang juga penolong setiausaha agung di NTUC.
"Majikan memainkan peranan penting untuk menyediakan keseimbangan hidup-kerja. Saya menggesa semua majikan di Singapura supaya melaksanakan dasar 'hak tidak dihubungi' di tempat kerja."
Menjawab, Menteri Negara bagi Kementerian Tenaga Manusia Gan Siow Huang berkata perkara itu pernah dibahaskan sebelum ini dan para AP sedia maklum ia "tidak semudah" untuk dilaksanakan bagi semua pekerjaan.
Sebaliknya, syarikat-syarikat harus menjelaskan mengenai komunikasi selepas waktu bekerja, seperti disarankan di bawah garis panduan tiga pihak.
"Ini termasuk peri pentingnya menyediakan masa rehat secukupnya di luar waktu bekerja dan menetapkan jangkaan jelas dan wajar mengenai komunikasi berkaitan pekerjaan di luar waktu bekerja," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.