Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak CCA, aktiviti sekolah disambung semula mulai pertengahan Okt: MOE

Lebih banyak program di sekolah akan disambung semula bermula pertengahan bulan ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Oct 2020 06:34PM Dikemas Kini : 07 Oct 2020 09:13PM

SINGAPURA: Lebih banyak program di sekolah akan disambung semula bermula pertengahan bulan ini. Menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (7 Okt), langkah itu diambil kerana Singapura mempertingkatkan keupayaannya untuk mengesan dan menjejaki kes COVID-19.

Program yang boleh disambung semula termasuk kegiatan luar darjah (CCA) yang dikendalikan di luar sekolah seperti boling dan renang, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh ibu pejabat kumpulan seragam, kerjasama CCA dengan sekolah-sekolah lain dan Orkestra Belia Singapura.

Bagaimanapun, CCA dan kegiatan seperti menyanyi dan melibatkan kontak fisikal rapat seperti ragbi masih digantung.

"Kami sudah mempunyai keupayaan peringkat negeri yang dipertingkat untuk mengesan dan menjejaki kes, dan juga langkah-langkah pengurusan selamat yang berkesan di sekolah-sekolah kami. Oleh itu, MOE akan menyambung semula lebih banyak program secara selamat bagi semua peringkat di sekolah kami," menurut MOE.

(Gambar: MOE)

Lebih banyak CCA dan kegiatan di sekolah akan disambung semula bermula pertengahan Oktober, selepas peperiksaan akhir tahun, dengan peraturan-peraturan berikut dilaksanakan:

- Kumpulan maksimum ditambah dari 20 kepada 50 orang (termasuk pelajar dan orang dewasa yang menyokong mereka), kecuali bagi kegiatan berisiko tinggi di mana ia masih digantung atau dihadkan kepada kumpulan yang lebih kecil.

- Pelajar harus mengekalkan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter antara mereka, manakala kegiatan yang melibatkan gerakan lebih fisikal harus dilakukan pada jarak selamat sekurang-kurangnya 2 meter antara pelajar.

- Sekiranya jarak selamat 1 meter tidak dapat dilaksanakan, pelajar harus dibahagikan kepada kumpulan lima anggota dengan jarak selamat 1 meter antara kumpulan-kumpulan itu. Sementara itu, harus ada jarak selamat sekurang-kurangnya 3 meter bagi kegiatan yang melibatkan lebih banyak pergerakan fisikal di mana pelajar tidak memakai pelitup.

- Pelajar harus sentiasa berada dalam kumpulan masing-masing yang telah ditetapkan apabila mengambil bahagian dalam kegiatan yang melibatkan pergaulan dengan sekolah lain.

- Tempat-tempat yang sering disentuh dan kemudahan dikongsi akan dibersihkan selepas setiap aktiviti selesai atau berlaku pertukaran kumpulan.

- Sekolah akan terus memeriksa semua pengunjung, termasuk jurulatih dan instruktor, bagi gejala seperti demam dan batuk, dan memastikan mereka mematuhi semua langkah selamat.

Singapura melaksanakan tempoh "pemutus rantaian jangkitan" selama lapan minggu antara 7 Apr hingga 1 Jun dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan