Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak boleh dilakukan demi sokong golongan bapa galas peranan masa kini, gesa Presiden Halimah

Lebih banyak sokongan boleh dihulurkan kepada golongan bapa hari ini yang "menghadapi banyak tekanan" untuk memainkan peranan yang pelbagai, tekan Presiden Halimah Yacob pada Sabtu (19 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak boleh dilakukan demi sokong golongan bapa galas peranan masa kini, gesa Presiden Halimah

(Gambar fail: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 02:26PM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 03:35PM

SINGAPURA: Lebih banyak sokongan boleh dihulurkan kepada golongan bapa hari ini yang "menghadapi banyak tekanan" untuk memainkan peranan yang pelbagai, tekan Presiden Halimah Yacob pada Sabtu (19 Jun).

Dalam satu catatan di laman Facebook sempena Hari Bapa yang akan disambut esok, Puan Halimah menambah bagaimana peranan sokongan itu boleh dimainkan oleh segenap masyarakat, termasuk majikan, pasangan dan anggota keluarga, agar golongan bapa dapat menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

"Saya kehilangan ayah saya semasa berusia 8 tahun. Saya terlepas peluang berbual secara mendalam dan bermakna dengannya, andai umurnya panjang. Ibu saya menggalas tanggungjawab sebagai kedua-dua ibu dan bapa," tulis Presiden Halimah memulakan catatan.

Beliau menarik perhatian "tekanan hebat" yang dihadapi golongan bapa ekoran jangkaan berbeza-beza terhadap mereka.

"Masyarakat menjangkakan anda menjadi pencari nafkah utama keluarga, meskipun isteri juga bekerja. Tapi anda juga diharap dan anda sendiri ingin lebih terlibat dalam kehidupan anak-anak anda," kata Presiden Halimah.

"Anda tidak mahu menjadi seorang ayah yang tidak hadir dalam kehidupan anak anda, namun pada masa yang sama kadang-kalanya anda kurang bersedia memainkan peranan itu kerana bagaimana masyarakat meletakkan jangkaan peranan jantina, dan cara anda sendiri dibesarkan."

Puan Halimah menarik perhatian bahawa keadaan kini sedang berubah, namun lebih banyak masih boleh dilakukan untuk menyokong golongan bapa.

"Di tempat kerja, majikan boleh memberi bapa akses kepada skim mesra keluarga dengan lebih mudah, tanpa membuat mereka rasa serba salah menggunakannya.

"Si ayah boleh berbincang dengan pasangan mereka tentang bagaimana mereka boleh memberi lebih sokongan di rumah. Si ibu boleh memberi sedikit kelonggaran kepada ayah. Tidak semuanya harus dilakukan secara sempurna atau mengikut cara yang mereka sendiri lakukan," tekan Presiden Halimah.

Kepada golongan anak pula, beliau berpesan agar mereka lebih menghargai ayah mereka.

"Hargai dan hormati ayah anda. Mereka sedang melakukan yang terbaik, kadang kalanya dalam keadaan yang sangat mencabar," nasihat beliau.

"Mungkin satu titik permulaan adalah dengan berbual dengan ayah anda. Anda mungkin terkejut dengan apa yang dapat dipelajari daripada perbualan-perbualan itu."

"Saya ingin ucapkan kepada semua bapa di luar sana, Selamat Hari Bapa. Semoga kehidupan anda dipenuhi keceriaan, keamanan dan kebahagiaan."

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa