Skip to main content

Singapura

Lebih banyak biasiswa MENDAKI untuk bantu penuntut ITE ke politeknik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Apr 2026 05:45PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 09:07PM
  • MENDAKI mengumumkan lebih banyak biasiswa dan sokongan kewangan untuk pelajar Melayu ITE yang ingin ke politeknik.
  • Pelan kerja 5 tahun MENDAKI termasuk peluasan skim subsidi yuran dan penambahan skim biasiswa sebanyak 25 peratus setiap tahun.
  • MENDAKI turut memperkenalkan inisiatif digital dan AI untuk memperkasa masyarakat Melayu agar dapat merebut peluang teknologi.
  • Majlis Hari Raya MENDAKI di Dusit Thani Laguna Singapura menghargai lebih 600 sukarelawan, termasuk Muhammad Arfa Danish yang aktif membimbing pelajar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan menawarkan lebih banyak biasiswa kepada penuntut Melayu di Institut Pendidikan Teknikal yang mahu melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Ini diumumkan Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad dalam ucapannya di Majlis Hari Raya badan itu bagi menghargai para sukarelawan dan rakan-rakan kerja siang tadi (12 Apr).

"Bagi pelajar ITE kita, kita akan menyediakan lebih banyak sokongan kewangan dan program, supaya kesusahan tidak menghalang mereka daripada menamatkan pengajian dan bagi mereka yang bersedia melangkah ke politeknik, kita akan sediakan lebih banyak biasiswa dan skim untuk membantu peralihan itu," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran.

Ini langkah tambahan MENDAKI dalam menyokong para penuntut Melayu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Baru-baru ini pada Jumaat (10 Apr), Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, mengumumkan peluasan skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS).
"Kelayakan akademik tidak seharusnya terhenti kerana had kewangan. Di luar TTFS, pelajar kita boleh mengakses kira-kira 30 skim biasiswa dan dermasiswa. Sebagai sebahagian daripada pelan kerja 5 tahun baharu kita, kita akan menambah skim-skim ini sebanyak 25 peratus setiap tahun untuk menyokong masyarakat kita dengan lebih baik," kata Encik Zaqy.

Menyentuh tentang isu Kecerdasan Buatan (AI), Encik Zaqy berkata MENDAKI akan terus memperkasa masyarakat untuk merebut peluang dengan AI.
Related article image
Encik Zaqy berucap dalam satu acara bagi menghargai usaha para sukarelawan Yayasan MENDAKI. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
"Tentang AI, ia bukan soal teknologi. Ini soal siapa yang mendapat akses. Bayangkan sekelas pelajar Program Pencapaian MENDAKI (MAP), masing-masing dengan alat AI yang boleh terangkan konsep dengan cara berbeza, jawab soalan selepas sekolah, bina keyakinan selangkah demi selangkah," kata Encik Zaqy.

Usaha itu juga akan didorong oleh inisiatif Langkah Digital MENDAKI.

RAIKAN SUMBANGAN PARA SUKARELAWAN

Bagi menjayakan usaha-usaha ini, sokongan para sukarelawan juga amat dihargai MENDAKI.

Encik Zaqy berkata sumbangan mereka telah membuat perubahan yang nyata dan bermakna.
Related article image
Sekitar 900 sukarelawan dan rakan kerja telah menghadiri Majlis Hari Raya MENDAKI - Sentiasa Bersamamu. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Lebih dari 600 sukarelawan dan rakan kerja diraikan dalam Majlis Hari Raya MENDAKI - Sentiasa Bersamamu di Dusit Thani Laguna Singapura pada Ahad (12 Apr).

Antara yang diraikan ialah Muhammad Arfa Danish, seorang pelajar tahun ketiga Politeknik Republik (RP).

Beliau yang merupakan mantan Presiden Rahmatullah Pillars Muslim Society (RPMS) di RP, telah memainkan peranan penting apabila RPMS dipadankan dengan Sekolah Menengah Admiralty bagi program bimbingan #amPowered.

Beliau menonjol sebagai seorang mentor yang berdedikasi dan memberi inspirasi kepada para pelajar.

Selain membimbing kumpulannya sendiri, beliau turut sering tampil ke hadapan untuk memimpin para tutor dan rakan mentor semasa sesi kelas, menunjukkan kematangan, inisiatif dan rasa tanggungjawab yang tinggi.
Related article image
Muhammad Arfa Danish merupakan seorang mentor dalam program #amPowered Skim Tuisyen MENDAKI. (Gambar: Hidir Ezat)
"Bagi saya, program seperti MENDAKI ini memberikan saya peluang untuk menyumbang kepada masyarakat. Sebagai seorang mentor di #amPowered Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) di Sekolah Menengah Admiralty, saya melihat sendiri bagaimana perbuatan yang kecil dapat memberi impak yang besar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam keyakinan diri pelajar," kata Danish.

Danish terus aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, meneruskan usahanya untuk menyumbang dan memberi inspirasi kepada orang lain melalui khidmatnya sambil melanjutkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Penerbangan.

"Acara seperti hari raya di MENDAKI ini dapat mengeratkan silaturahim antara badan-badan Islam di Singapura dan selain itu juga ia dapat menghargai sukarelawan yang telah menyumbang kepada MENDAKI," kongsi Danish.

Sokongan dan penglibatan masyarakat juga dialu-alukan untuk sama-sama memperkasa masyarakat Melayu ke arah tangga kejayaan yang lebih tinggi menerusi pelan kerja 5 tahun MENDAKI yang baharu yang dilancarkan pada awal tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita