Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak bazar bertema akan dianjurkan di Wisma Geylang Serai

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak bazar di Wisma Geylang Serai dalam beberapa bulan akan datang.

Ini menyusuli sambutan memberangsangkan yang diterima sepanjang Bazar Hari Raya Geylang Serai tahun ini.

Demikian didedahkan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim kepada pihak media pada Jumaat (20 Mei).

Sekitar 800,000 individu mengunjungi Bazar Hari Raya Geylang Serai 2022 yang diadakan semula selepas dua tahun.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan itu, lebih banyak bazar sedang dirancangkan.

Menurut Dr Faishal, pihak WGS juga sedang meneroka bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk menawarkan pengalaman membeli belah yang lebih selesa dan menarik.

Bazar seterusnya akan dianjurkan seawal bulan Ogos nanti.

"Mungkin sempena sambutan Hari Kebangsaan, kita akan adakan bazar selama 10 hari di perkarangan WGS. Kita juga akan adakan bazar lambak sekali lagi, dan kita akan memikirkan lebih banyak ruang untuk mengadakan bazar ataupun suasana ala bazar di perkarangan WGS," kata Dr Faishal.

Ia akan menerapkan elemen-elemen moden dan tradisional untuk menepati citarasa semua segmen masyarakat

"Saya harap masyarakat kita akan turun padang sama-sama meraikan suasana, dapat merasakan pengalaman yang menarik bertemakan aspek-aspek perayaan kita di Singapura ini. Juga, ia peluang untuk mengimbas kembali tradisi, budaya dan bagaimana ciri-ciri kemelayuan kita di Singapura ini boleh dibangunkan dengan menggunakan wadah seperti bazar," tambahnya.

Dr Faishal turut ditanya tentang harga sewa gerai bazar-bazar akan datang.

Ini memandangkan ada sewa gerai di bazar WGS tahun ini yang dilaporkan mencecah sehingga S$21,000.

Beliau menjelaskan antara sebab bagi harga sewa yang tinggi itu adalah kerana jumlah gerai yang sedikit dan masa pemasaran yang singkat.

Dr Faishal berkata pihaknya akan memantau pasaran untuk pastikan harga sewa gerai bazar akan datang 'tidak terlampau tinggi'.

"Apabila saya berjumpa dengan para penyewa gerai, kebanyakan mereka yang memberitahu yang mereka sudah balik modal. Mungkin ada yang satu minggu lebih sudah balik modal," kongsi Dr Faishal.

Memandangkan ke hadapan, Dr Faishal yakin dengan persediaan awal untuk bazar-bazar akan datang, harga sewa yang lebih berpatutan dapat ditawarkan.

"Kita akan lihat bagaimana kita dapat memasarkan gerai-gerai bazar akan datang lebih awal. Juga dengan bilangan gerai yang lebih banyak, kita dapat menawarkannya pada harga sewa yang lebih rendah," ujar Dr Faishal.

KONSEP MODEN DAN TRADISIONAL DIGABUNG DALAM GUMBIRA RAYA

Sebagai penutup sajian Hari Raya WGS tahun ini, sebuah persembahan Raya bertajuk GUMBIRA RAYA akan disiarkan secara online.

Sesuai untuk ditonton semua golongan usia, acara tersebut akan menampilkan ciri-ciri moden dan tradisional Budaya Melayu.

"Kita juga adakan tema seperti 'balik ke kampung', di mana ia diibaratkan seperti di masa lampau, jadi ini selaras dengan apa yang kita mahu lakukan walaupun kita gunakan wadah – wadah moden seperti teknologi dalam bazar kita dan wadah – wadah yang lain, tetapi kita tidak boleh lari daripada aspek-aspek tradisional, budaya Melayu yang menunjukkan aspek-aspek yang mungkin mengimbas kembali nostalgia yang manis dan juga ciri – ciri yang murni bagi masyarakat kita," jelas Dr Faishal.

Anda boleh saksikan GUMBIRA RAYA menerusi laman Facebook dan saluran Youtube WGS pada Sabtu (21 Mei) mulai 8.30 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan