Skip to main content

Singapura

Lebih banyak bantuan selain kredit gaji, geran penukaran kerjaya perlu untuk ubah tenaga kerja: Firma SG

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak bantuan selain kredit gaji, geran penukaran kerjaya perlu untuk ubah tenaga kerja: Firma SG

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 24 Feb 2025 03:07PM Dikemas Kini : 24 Feb 2025 03:10PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat tempatan menggesa supaya dimudahkan proses untuk mengakses geran dan lebih banyak latihan untuk pekerja. Pada masa yang sama mereka mengalu-alukan langkah melanjutkan tempoh skim kredit gaji sedia ada dan geran untuk membantu membiayai aktiviti bagi syarikat menjalani transformasi.

Beberapa langkah untuk membantu perniagaan menyusun semula, menaik taraf tenaga kerja mereka dan meningkatkan daya penghasilan diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawan beliau pada Selasa (18 Feb).

Ini termasuk peningkatan kepada Skim Kredit Gaji Progresif, yang membiayai bersama kenaikan gaji yang layak untuk pekerja bergaji rendah semasa mereka mengikuti program meningkatkan kemahiran.
 
KEKAL KOMPETITIF

Untuk membantu perniagaan meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya, Geran Pembangunan Tenaga Kerja SkillsFuture akan mengukuhkan skim-skim sedia ada yang dikendalikan oleh Workforce Singapore dan SkillsFuture Singapore.

Selain daripada memudahkan proses permohonan bagi syarikat-syarikat, geran itu akan menyediakan sokongan pembiayaan lebih tinggi sehingga 70 peratus, kepada syarikat dalam menyusun semula pekerjaan mereka.

Bagi syarikat penghantar barang Union Air Freight, peralihan daripada operasi manual kepada digital membantunya kekal berdaya saing.

"Sektor penghantaran barang adalah industri yang sangat kompetitif, dan teknologi sentiasa berubah, jadi kami juga perlu mengikuti perubahan tersebut," kata Encik Tan Liang Jian, pengarah urusan di Union Air Freight.

Meskipun demikian, bagi sesetengah pekerja seperti Richard Lee, 62 tahun, perubahan itu merupakan sesuatu yang amat mencabar.

"Kami perlu pergi latihan jika perlu, jika dimusahkan prosesnya, lebih baik,” kata pengurus operasi itu.

Tambah beliau usaha reka bentuk semula pekerjaan boleh membantunya menggunakan masa di tempat kerja dengan lebih baik, supaya dia boleh memberi tumpuan kepada tugas-tugas lain dan mencari cara baharu untuk membaiki lagi operasi.

Untuk membantu lebih ramai warga emas terus bekerja, Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC), yang menyediakan pengimbangan gaji untuk majikan yang menggajikan warga emas Singapura, berumur 60 tahun dan ke atas, yang berpendapatan kurang daripada $4,000 sebulan, juga akan dilanjutkan sehingga akhir 2026.

KEPERLUAN BAGI PROSES LEBIH MUDAH

Satu lagi skim untuk meningkatkan pengambilan pekerja kumpulan rentan tertentu, seperti orang kurang upaya, akan dilanjutkan sehingga akhir 2028.

Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya (EEC) menyediakan bantuan gaji sehingga 20 peratus bagi pekerja kurang upaya yang memperoleh pendapatan kurang S$4,000 sebulan, dengan had S$400 bagi setiap pekerja.

Encik Kung Teong Wah, pengurus besar Parkroyal Collection Pickering berkata, skim tersebut boleh membantu menggalakkan pertubuhan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan bagi kumpulan itu.

Hotel tersebut menggajikan orang kurang upaya bagi operasi di barisan hadapan dan belakang tabir.

Meskipun dengan langkah-langkah bantuan sedia ada, Persatuan Syarikat-syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) memberitahu Mediacorp bahawa terdapat keperluan untuk memastikan syarikat-syarikat lebih kecil tahu bagaimana untuk mengakses kepada bantuan.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita