Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak bantuan kewangan bagi keluarga bergaji rendah termasuk lunaskan hutang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Nov 2023 06:15PM Dikemas Kini : 20 Nov 2023 08:32PM
SINGAPURA: Lebih banyak bantuan kewangan akan diberikan kepada keluarga bergaji rendah yang menetap di rumah sewa bersama anak-anak mereka. Namun, mereka yang ingin menerima bantuan tersebut, perlu memenuhi beberapa syarat seperti mempunyai pekerjaan yang mantap.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli mengumumkan demikian pada Isnin (20 Nov).

Bantuan baharu itu, yang juga merangkumi pendidikan prasekolah, merupakan sebahagian daripada versi skim ComLink yang dipertingkatkan.

Sejauh ini, ia sudah membantu 14,000 keluarga bergaji rendah.

"Kita bekerja keras untuk memperbaiki asas-asas kita yang betul, untuk menawarkan pendidikan bermutu, mewujudkan pekerjaan yang baik, mencipta laluan berbeza untuk memenuhi kekuatan yang berlainan dan memastikan rumah yang mampu dimiliki," kata Encik Masagos.

"Langkah-langkah baharu ini bagi keluarga bergaji rendah mengukuhkan lagi asas yang kita sudah dibangunkan."

Program ComLink+ mempunyai dua perubahan utama, iaitu pakej kemajuan dibiayai pemerintah dan masyarakat, serta pembimbing khas keluarga.
Empat pakej kemajuan tersebut, yang akan diuji cuba selama tiga tahun, akan menawarkan tokokan kewangan kepada keluarga yang bekerjasama dengan pembimbing keluarga, serta mengambil "langkah aktif" untuk memperbaiki keadaan mereka, kata MSF.

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada separuh kedua 2024, tambah Encik Masagos.

Langkah-langkah tersebut termasuk mendaftarkan anak-anak mereka ke prasekolah, mendapatkan pekerjaan stabil, melunaskan hutang dan menabung untuk membeli rumah.

Keluarga yang mendaftarkan anak mereka di prasekolah menjelang usia tiga tahun akan diberikan tokokan S$500 ke Akaun Pembangunan Anak (CDA) oleh seorang penderma.

Mereka boleh menerima tambahan S$200 setiap tiga bulan jika mereka memastikan anak mereka selalu menghadiri sekolah.

MSF menyatakan langkah tersebut akan menggalakkan keluarga untuk mengutamakan pendidikan prasekolah anak-anak mereka, dan memperbaiki pendidikan anak-anak pada masa depan.

Kajian tempatan menunjukkan kanak-kanak yang menghadiri prasekolah dari usia tiga tahun kurang memerlukan sokonga pembelajaran di sekolah rendah, kata MSF.

INSENTIF BAGI PEKERJAAN STABIL, BANTUAN LUNASKAN HUTANG

Pakej kedua pula bertujuan untuk membantu keluarga ComLink+ membina kestabilan kewangan. Ia menggalakkan mereka untuk terus kekal dalam pekerjaan yang ada caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF), serta gaji sekurang-kurangnya S$1,400 sebulan.

Mereka yang melakukan demikian akan menerima S$400 hingga S$550 dalam bentuk wang tunai dan caruman CPF setiap tiga bulan, dedah MSF.

Tokokan lebih tinggi akan diberikan apabila dua orang dewasa dalam satu isi rumah bekerja, namun tokokan tersebut hanya dihadkan kepada dua orang dewasa yang bekerja.

Memandangkan keluarga sedemikian mempunyai wang perbelanjaan dan simpanan yang sedikit, mereka lebih mudah untuk berhutang ketika berdepan dengan kejadian yang tidak diduga, seperti dibuang kerja atau masalah kesihatan.

Hutang yang kecil juga dilihat sebagai kesan yang serius ke atas kewangan keluarga berpendapatan rendah selain terjejas dari segi psikologi dan emosi, kata MSF.

Untuk membantu keluarga sedemikian, MSF akan bekerjasama dengan penderma untuk membiayai sepenuhnya pakej kemajuan yang sepadan dengan jumlah yang harus dibayar keluarga terjejas kepada pemiutang, sehingga S$5,000.

Pakej itu hanya boleh digunakan sekali, termasuk "hutang yang dapat ditentukan". Ia merangkumi hutang kepada syarikat dan pertubuhan berlesen, yang dapat disahkan serta pembayaran semula yang dapat dikesan, dedah MSF.

Sebagai contoh, bil air api, bil hospital yang tertunggak atau hutang kad kredit.

Hutang tidak rasmi seperti hutang kepada anggota keluarga atau rakan, dan pemiutang tidak berlesen, tidak termasuk dalam pakej tersebut.

Keluarga di bawah ComLink+ juga akan dibantu menabung untuk membeli rumah. Satu pakej kemajuan yang dibiayai sebahagiannya oleh penderma dan pemerintah, akan menyumbang S$2 bagi setiap S$1 yang dimasukkan ke dalam akaun CPF secara sukarela.

Bagi pakej tersebut dan pakej pekerjaan, bayaran akan dihadkan kepada S$30,000 secara keseluruhannya.

Dengan langkah baharu itu, pihak keluarga boleh menerima sokongan ibu bapa dan menghantar anak-anak mereka ke prasekolah bermutu pada usia muda mereka, kata Encik Masagos.

Para individu yang bermotivasi untuk mendapatkan pekerjaan juga akan disokong untuk menimba kemahiran yang perlu, dipadankan dengan kerja yang sesuai dan meraih manfaat daripada sokongan gaji.

Menurut Menteri Masagos, ia mungkin mengambil masa satu generasi atau lebih tetapi dengan menekankan tentang keupayaan keluarga memberikan anak-anak dengan permulaan yang baik hari ini, kita memberikan mereka peluang yang lebih cerah bagi hari esok.

PEMBIMBANG KELAURGA, RAKAN MASYARAKAT

Meskipun terdapat pegawai ComLink yang bekerjasama dengan keluarga, peranan mereka akan diluaskan untuk menjadi pembimbing keluarga.

Para pembimbing tersebut akan bekerjasama dengan setiap keluarga, untuk menghasilkan rancangan bertindak yang khusus yang memenuhi keperluan setiap keluarga.

Mereka juga akan membimbing dan memberikan motivasi kepada keluarga tersebut untuk mencapai cita-cita mereka, serta berfungsi sebagai satu-satunya pihak yang boleh dihubungi untuk membantu mereka menggunakan khidmat bantuan sosial dengan lebih baik, tambah MSF.

Kata Encik Masagos, apabila keluarga memahami dan disokong, mereka akan lebih melibatkan diri secara aktif dalam proses membuat keputusan dan mengambil langkah ke atas mencapai matlamat mereka.

MSF menekankan bahawa program tersebut akan dilaksanakan bersama rakan-rakan masyarakat. Kira-kira 170 pertubuhan dan individu bergabung dengan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) untuk membantu keluarga ComLink+.

DBS misalnya ada pakej penaja yang akan menyumbang kepada akaun CDA dan CPF bagi pakej kemajuan pendidikan anak-anak dan simpanan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan