Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak bantuan akan dihulurkan kepada keluarga bergaji rendah; antaranya pembimbing keluarga & pelan tindakan khusus

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak bantuan akan dihulurkan kepada keluarga bergaji rendah; antaranya pembimbing keluarga & pelan tindakan khusus

Blok rumah sewa HDB di Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di rumah sewa akan mendapat lebih banyak bantuan di bawah skim ComLink yang diperhalusi bagi mempertingkatkan lagi mobiliti sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (19 Okt).

Para pegawai ComLink akan dilatih oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk menjadi pembimbing yang dapat bekerja dengan lebih rapat dengan setiap keluarga untuk membantu serta mendorong mereka mencapai matlamat masing-masing, terang Encik Wong.

Ini bermakna, para pegawai ComLink akan melakukan sesuatu di luar skop kerja mereka sekarang, iaitu menyelaraskan khidmat-khidmat sosial sedia ada.

"Mereka akan... memainkan peranan lebih besar dan bekerjasama dengan setiap keluarga untuk menentukan sokongan yang diperlukan keluarga-keluarga itu," kata Encik Wong.

Terdapat sekitar 14,000 keluarga ComLink buat masa ini. Mereka akan mendapat sokongan tambahan di bawah pelan tindakan khas yang dilakarkan bersama para pembimbing keluarga, tambah beliau.

"Kita boleh menjangkakan kuantum sokongan lebih tinggi atau sokongan bagi jangka lebih panjang buat keluarga-keluarga yang mencatat kemajuan dalam perkara berkaitan keupayaan untuk terus bekerja, menabung untuk membeli rumah atau memasikan kanak-kanak mereka selalu menghadiri prasekolah," katanya lagi, tanpa memberikan lebih banyak butiran berhubung bantuan yang akan dihulurkan kepada keluarga ComLink.

"Pembimbing Keluarga akan dapat memanfaatkan sokongan tambahan ini untuk menggalak dan mendorong keluarga-keluarga untuk mengorak langkah mengecap kejayaan."

Terdapat juga pelan-pelan untuk meringankan tekanan kewangan para keluarga buat sementara waktu, sedang mereka mencatat kemajuan ke arah matlamat jangka panjang, jelas Encik Wong.

"Ini hanya sebilangan sahaja daripada idea-idea yang sudah kami fikirkan, dan akan terus bangunkan di bawah latihan Melakar Hala Tuju Singapura," kata Encik Wong.

"Kami akan mengeluarkan satu laporan tidak lama lagi dan anda boleh memahami lebih mendalam tentang pelbagai saranan tersebut.

"Pokoknya agenda kita bagi masa hadapan cukup jelas. Kita akan mengambil langkah-langkah berani demi meningkatkan kedudukan rakyat Singapura yang berpendapatan rendah, selain memastikan mobiliti sosial mekar di Singapura."

Encik Wong berkongsi perkembangan-perkembangan itu pada Khamis (19 Okt) di acara ulang tahun ke-10 Pejabat Khidmat Sosial (SSO) di Balai Rakyat Kreta Ayer.

Ia salah satu daripada dua tempat di mana dua SSO pertama dibangunkan 10 tahun lalu untuk menjadikan bantuan ComCare lebih mudah diakses. Sejak itu, 24 SSO ditubuhkan di merata bandar HDB.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan