Skip to main content

Singapura

Lebih banyak bangunan milik negara dijadikan ruang tinggal bersama bagi penuhi permintaan meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak bangunan milik negara dijadikan ruang tinggal bersama bagi penuhi permintaan meningkat

(Gambar: Singapore Land Authority)

SINGAPURA: Lebih banyak bangunan milik negara di Singapura akan dijadikan ruang-ruang tinggal bersama, untuk memenuhi permintaan perumahan yang semakin meningkat di sini.

Pemberian tender sebuah rumah kedai warisan di sepanjang Hindoo Road merupakan yang pertama daripada beberapa bangunan yang dijangka dilancarkan sepanjang beberapa bulan akan datang, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Rabu (16 Ogos).

Ini sebagai tindak balas kepada trend gaya hidup yang semakin berubah-ubah dan permintaan bagi sektor perumahan di sini, katanya.

Pada hari yang sama, sebuah asrama dua tingkat milik negara di 26 Evans Road, berhampiran
Kebun Bunga Singapura, juga disenaraikan untuk tender. Seperti hartanah di Hindoo Road juga, tender ini menawarkan tempoh pemegangan selama lima tahun dan boleh dilanjutkan selama empat tahun lagi.

Menurut SLA, ia akan mempertimbangkan harga, mutu dan inisiatif hijau yang dicadangkan.

LEBIH BANYAK KEMUDAHAN SERUPA DIJANGKAKAN

Tender bagi kemudahan tempat tinggal bersama yang baru di Hindoo Road, yang terletak berdekatan Little India, dianugerahkan kepada syarikat pembangunan Eco Energy.

Para penyewa akan mendapat bilik tidur sendiri, di samping sebuah ruang umum untuk berehat dan dapur bersama.

Ruang tinggal bersama akan menyediakan ruang umum yang dikongsi para penyewa. (Gambar: SLA)

Pengurus besar Eco Energy David Tan memberitahu Mediacorp: "Kami mahu menggalak (dan) memberi mereka (penyewa) sokongan untuk bertani, kerana kami lihat bahawa ada halaman dalam kawasan bangunan dan ia mendapat cahaya matahari.

"Dengan profil pelanggan-pelanggan kami, kami percaya bahawa mungkin menanam herba dan mengadakan kelas-kelas memasak cukup menarik."

Firma itu menyasarkan pekerja-pekerja akademik serta pelajar-pelajar di institusi-institusi pendidikan yang berhampiran, tambah Encik Tan. Kos sewa adalah sekurang-kurangnya S$3,500 sebulan untuk satu unit dan kira-kira 54 unit akan disediakan.

SEWA DAN BUKAN BELI RUMAH

Ruang-ruang tinggal bersama menjadi semakin popular menyusuli trend menyewa rumah pertama, dan bukan membeli, yang semakin meningkat.

Profesor Sing Tien Foo, Pengerusi Provos di Jabatan Hartanah di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura, berkata konsep tinggal bersama ini masih agak baharu di Singapura.

Konsep tinggal bersama menarik minat pasangan muda yang ingin berdikari sebelum mendapat rumah sendiri. (Gambar: iStock)

Beliau menambah bahawa ia mungkin akan mengambil masa sebelum impaknya boleh memberikan kesan kepada landskap perumahan.

"Saya rasa masih ada ruang untuk pemain baharu dan juga yang sedia ada untuk meningkatkan bekalan pilihan perumahan tinggal bersama seperti ini," katanya.

Beliau menjangkakan permintaan jangka pendek dan sederhana akan berterusan dan menarik minat mereka yang ingin hidup berdikari, namun tetap mempunyai gaya hidup komunal.

"Ini akan menarik minat pengunjung dan golongan muda terutamanya, penduduk muda atau pasangan muda yang benar-benar ingin hidup berdikari dan sambil menunggu pilihan untuk membeli rumah sendiri," kata Profesor Sing.

KEMAMPUAN BERBANDING SEKTOR PRIVET

Satu daya tarikan ruang tinggal bersama ini adalah harganya yang boleh dimampui berbanding menyewa daripada tuan tanah rumah-rumah privet, Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan analisis data di Huttans Group, memberitahu CNA Singapore Tonight pada Rabu (18 Ogos).

"Selain itu, apabila anda melihat ruang tinggal bersama, ia menawarkan kemudahan seperti perkhidmatan mengemas rumah setiap minggu," katanya mengenai kemudahan tambahan yang disediakan bagi perumahan sedemikian.

Encik Lee turut menekankan elemen dan aktiviti-aktiviti bersama yang diadakan di ruang tinggal bersama, yang membolehkan penyewa "berkenalan dengan lebih ramai orang".

"Jadi untuk pengalaman sebegini dan nilai yang kami dapat, saya fikir harga yang dikenakan sebenarnya agak berdaya saing berbanding segmen pasaran privet." katanya.

Encik Lee berkata sebahagian permintaan bagi ruang tinggal bersama adalah disebabkan kelonggarannya bagi tempoh sewa yang lebih singkat, yang menarik minat mereka yang terjejas akibat penangguhan dalam pembinaan.

"Mereka tidak boleh menentukan bila rumah baru mereka akan siap, jadi pilihan ruang tinggal bersama ini memberikan kelonggaran untuk memanjangkan tempoh sewa untuk beberapa bulan, berbanding pilihan untuk mendapatkan kontrak tempoh sewa jangka panjang selama dua tahun," katanya.

Satu lagi sumber permintaan yang lebih tetap, datang daripada penduduk tempatan yang berminat untuk menimba pengalaman tinggal dalam suasana sedemikian. Kumpulan ini mungkin akan tetap membeli rumah sendiri pada masa hadapan, tambahnya.

Pekerja hijrahan di Singapura, terutamanya mereka yang terjejas oleh harga sewa yang semakin meningkat dalam pasaran rumah privet, mungkin juga berminat untuk melihat ruang-ruang tinggal bersama sebagai satu lagi pilihan.

CABARAN PERUMAHAN DI SINGAPURA

Cik Petrina Yuen, seorang pelajar possiswazah yang tinggal di ruang tinggal bersama, menekankan bahawa pilihan perumahan alternatif sedemikian adalah perlu untuk menangani cabaran unik perumahan di Singapura.

Pilihan perumahan alternatif adalah perlu untuk menangani cabaran unik perumahan Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Ini termasuk dasar, di mana orang yang berumur bawah 35 tahun tidak layak untuk membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan jualan semula, katanya kepada CNA Singapore Tonight pada Rabu.

“Saya bukan penuntut di Singapura, tetapi saya rasa ia sangat penting untuk ditangani, terutamanya, mereka yang dalam kumpulan umur saya yang mungkin baru pertama kali mendapat pekerjaan atau baru menamatkan pengajian. Pilihan dalam pasaran benar-benar agak terhad, malah menyewa HDB sekarang adalah pilihan yang agak mahal,” kata Cik Yuen.

Beliau berkata walaupun terdapat ramai orang yang memutuskan untuk terus tinggal bersama ibu bapa mereka, itu mungkin bukan pilihan untuk segmen yang mungkin mempunyai pelbagai sebab yang menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita