Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak ayam beku dari Indonesia dijangka tiba bulan depan; bekalan pertama sudah dikirimkan

Bekalan pertama sebanyak 50 tan ayam beku sudah dihantar ke sini minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jul 2022 06:31PM Dikemas Kini : 21 Jul 2022 08:53PM
SINGAPURA: Lebih banyak ayam beku dari Indonesia dijangka tiba di Singapura bulan depan, selepas bekalan pertama sebanyak 50 tan ayam beku dihantar ke sini minggu lalu.

Penghantaran pertama produk itu - meliputi dua kontena ayam - dibekalkan oleh Charoen Pokphand Indonesia (CPI) di bawah aturan baru bagi syarikat-syarikat Indonedia untuk mengeksport ayam ke Singapura.

Kontena-kontena itu meninggalkan Jakarta pada 13 Julai dan tiba di Singapura pada 17 Julai.

Bekalan itu dihantar ke gedung berautomasi penuh Leong Hup Distribution di Fishery Port Road pada Khamis (21 Jul) dengan ayam-ayam beku tersebut dijadualkan dijual di pasaran dalam masa sehari dua, menurut pengarah perolehan Leong Hup, Encik Alfred Leek.

Beliau berkata syarikat itu sudahpun memesan lagi lima kontena ayam, dengan penghantaran dijangka tiba pada Ogos dan September. Setiap kontena mempunyai berat 25 tan.

Memandangkan ayam beku dari Indonesia lebih besar dan berat, pada sekitar 2.2 kilogram, berbanding ayam beku dari Brazil dan Argentina, Encik Leek berkata beliau menjangkakan untuk menjualnya kepada para penjaja nasi ayam serta perniagaan lain berbanding ke pasar-pasar raya.

CPI mempunyai kontrak bagi membekalkan 1,000 tan daging ayam ke Singapura sehingga hujung tahun ini. Kontrak itu bernilai antara 30 bilion rupiah (S$2.8 juta) dengan 40 bilion rupiah (S$3.7 juta), pengarah presiden CPI Thomas Effendi memberitahu Mediacorp minggu lalu.

Bekalan ayam dari Indonesia dihantar selepas Agensi Makanan Singapura (SFA) mengumumkan pada 30 Jun bahawa ia sudah meluluskan Indonesia sebagai sumber baru bagi import ayam. Ini menyediakan pasaran sumber tambahan selepas Malaysia melarang eksport ayam pada bulan Mei lalu bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk pasaran domestiknya.

Sebelum larangan eksport itu dikuatkuasakan, Singapura menerima sekitar 34 peratus import ayamnya dari Malaysia, dengan hampir kesemua yang dibawa masuk adalah ayam hidup yang kemudian disembelih dan disejukkan di sini.

Lebih 20 negara diluluskan untuk mengeksport ayam ke Singapura, termasuk Brazil, Thailand dan Australia.

Menurut SFA, Singapura mengimport 214,400 tan ayam pada 2021.

Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Koh Poh Koon, yang berada di gedung Leong Hup pada Khamis, menarik perhatian bahawa para penjaja dan restoran sudah menyesuaikan resipi masing-masing bagi mengambil kira tekstur ayam beku.

"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna Singapura serta industri atas sifat daya bingkas dan kelonggaran yang dipamerkan sepanjang tempoh ini, dengan menukar cara anda membeli ayam, cara anda menukar resipi supaya walaupun dengan gangguan bekalan ini, kami dapat memastikan keselamatan dan daya ketahanan makanan kami menjadi keutamaan kami," kata Dr Koh.

Apabila ditanya sama ada import ayam dari Indonesia akan diteruskan walaupun selepas larangan eksport Malaysia ditarik balik, Dr Koh berkata kepelbagaian sumber makanan adalah penting bagi Singapura memandangkan sebahagian besar makanannya datang dari luar negara.

Dr Koh menambah SFA juga sudah meluluskan sebilangan syarikat perniagaan di Indonesia untuk mengimport ayam yang diproses haba dan produk-produk ayam.

Menurut pengumuman SFA sebelum ini, tiga syarikat dari Indonesia diberi kelulusan untuk mengeksport ayam dan produk ayam ke Singapura. Dua daripadanya adalah anak syarikat Charoen Pokphand, manakala satu lagi adalah anak syarikat gergasi makanan sejuk beku, Japfa Comfeed.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan