Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 99,000 majikan bakal terima agihan Skim Kredit Gaji jelang hujung Mac

Anggaran Waktu Membaca:
00:51 Min
Menjelang hujung Mac ini, sebanyak S$840 bilion akan diagihkan kepada lebih 99,000 majikan di Singapura.
Diterbitkan : 22 Mar 2022 01:49PM Dikemas Kini : 22 Mar 2022 09:57PM

SINGAPURA: Menjelang hujung Mac ini, sebanyak S$840 bilion akan diagihkan kepada lebih 99,000 majikan di Singapura. 

Ini sebagai sebahagian daripada agihan terakhir di bawah Skim Kredit Gaji (WCS), menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) hari ini (22 Mac). 

Dalam satu kenyataan media, MOF dan IRAS menyatakan agihan seterusnya akan menyaksikan Pemerintah membiayai bersama 15 peratus daripada kenaikan gaji yang layak, yang diberikan pada 2021, 2020 dan 2019 bagi lebih 780,000 pekerja Singapura dengan gaji kasar bulanan sehingga S$5,000. 

Ini akan memanfaatkan lebih 99,000 majikan, menurut MOF dan IRAS. 

Diperkenalkan pada 2013, WCS pada awalnya merupakan inisiatif selama tiga tahun untuk menyokong perniagaan dalam transformasi mereka dan berkongsi pendapatan produktiviti dengan pekerja. 

Ia kemudian dilanjutkan, akhir sekali semasa Belanjawan 2021, dengan tujuan untuk menyokong tokokan agar dapat "membantu perniagaan menambah tenaga kerja tempatan dan pulih daripada COVID-19". 

Untuk melayakkan diri bagi agihan akan datang, para majikan mesti menaikkan gaji pekerja mereka sekurang-kurangnya S$50 atau mengekalkan kenaikan gaji sekurang-kurangnya S$50 yang diberikan kepada para pekerja pada 2019 dan 2020. 

Lebih S$2 bilion kredit gaji sudah diagihkan pada 2020 dan 2021 untuk membantu para majikan sewaktu pandemik, menurut MOF dan IRAS lagi. 

"Para majikan tidak perlu membuat permohonan bagi agihan tersebut. Para majikan yang layak akan dimaklumkan sebelum 31 Mac 2022, termasuk jumlah agihan," menurut MOF dan IRAS lagi. 

Agihan akan dimasukkan ke dalam akaun bank majikan melalui PayNow Corporate atau Giro. 

"Sebarang rayuan berhubung kait agihan WCS harus dihantar kepada IRAS sebelum 30 Jun 2022 dan akan dipertimbangkan mengikut kes," tambah mereka. 

Bayaran kepada majikan yang tidak mempunyai akaun GIRO atau PayNow Corporate akan ditahan sehingga mereka sudah berjaya memohon bagi skim tersebut. 

Agihan yang tidak dituntut akan kekal dalam akaun WCS majikan sehingga 30 September 2022 dan para majikan tidak layak untuk membuat tuntutan selepas tarikh tersebut, menurut MOF dan IRAS. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan