Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 99% kedai kopi, pusat makanan kini sediakan kemudahan pulangkan dulang

Persiapan itu dilakukan menjelang pelaksanaan undang-undang baru yang mewajibkan pelanggan memulangkan dulang dan pinggan mangkuk bermula 1 Januari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 99 peratus kedai kopi dan pusat makanan kini menyediakan kemudahan untuk para pelanggan memulangkan dulang dan pinggan mangkuk.

Ini berbanding hanya 20 peratus sahaja pada Julai lalu.

Persiapan itu dilakukan menjelang pelaksanaan undang-undang baru yang mewajibkan pelanggan memulangkan dulang dan pinggan mangkuk bermula 1 Januari ini.

Sekiranya para pelanggan gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan amaran bertulis bagi kesalahan pertama, denda $300 bagi kesalahan kedua dan denda yang dikeluarkan mahkamah bagi kesalahan berulang.

Lantaran itu, para pengendali kedai kopi dan pusat makanan sudah mula membuat persiapan awal bagi memudahkan para pelanggan mereka.

yusof erksan padi emas

Pemilik bersama Padi Emas, Encik Yusof Erksan berkata: "Sebelum ini tak ada stesen pemulangan dulang, sekarang kita dah ada. Jadi itu semua langkah-langkah yang kita tukar untuk menyenangkan pelanggan untuk tahu taruh di mana lepas makan. Ada jugalah kami kuat kuasakan macam pembersih kami untuk beranikan diri menegur pelanggan-pelanggan."

Pengarah Pemasaran Saffrons, Encik Ridjal Noor, juga berkongsi pendapat serupa: "Kami dah sediakan kaunter untuk memulangkan dulang dan sejak bulan Oktober juga, pelanggan kami dah mula gunakan kaunter ini dan pulangkan dulang sendiri, jadi kita dah mulakan beberapa bulan sebelum 1 Januari."

SEKITAR 400 PENGENDALI TERIMA SOKONGAN DANA

Di samping itu, sekitar 400 pengendali menerima sokongan dana bagi menanggung 50 peratus kos memasang kemudahan baru itu.

Ada pula yang membiayai sendiri kos itu seperti kedai kopi Saffrons yang sudah menyediakan kaunter pemulangan dulang sejak Ogos lagi.

Encik Ridjal Noor, yang mengendalikan tiga cawangan Saffrons, juga berkata mereka tidak mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah pekerja pembersihan walaupun setelah undang-undang baru itu dilaksanakan mulai Sabtu ini.

ridjal noor saffrons

"Pekerja kami yang tolong bersihkan meja semua, mereka masih diperlukan juga untuk lap meja, untuk angkat dulang semua ke tempat membasuh dan masih sangat diperlukan.

"Namun pada masa sama, pelanggan juga memainkan peranan mereka dan ini pun inisiatif pemerintah dan kami menghargainya. Saya rasa ia satu langkah baik ke arah yang betul."

KURANG PASTI BILA UNDANG-UNDANG BARU DILAKSANAKAN

Undang-undang itu akan hanya dikuatkuasakan menyusuli tempoh makluman dua bulan sejak 1 November lalu.

Dalam tempoh tersebut juga, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan, lebih 7,000 pelanggan diingatkan supaya memulangkan pinggan mangkuk dan dulang mereka.

Sebelum ini, undang-undang serupa dikuatkuasakan di pusat-pusat penjaja pada September lalu.

cleaner

Kini 84 peratus pelanggan memulangkan pinggan mangkuk dan dulang selepas makan, berbanding 33 peratus pada Februari lalu.

Bagi kedai kopi dan pusat makanan, duta-duta jarak selamat dan para pegawai penguatkuasaan SFA akan dikerahkan bagi menasihati pelanggan supaya membersihkan meja mereka.

Meskipun kebanyakan pelanggan kini sudah mula tabiat baik itu, sebilangan pelanggan yang ditemui kurang pasti akan tarikh kuat kuasa bagi pelaksanaan itu di kedai-kedai kopi.

Warga emas Encik Sukor Parik berkongsi: "Bila ia diimplementasikan, itu kurang pasti tapi saya rasa kebanyakan pelanggan yang saya lihat telah berbuat demikian.

"Mungkin ini salah satu daripada cara mereka meringankan beban para pekedai jadi dalam erti kata lain, kita pun pastikan tempat makan bersih."

Seorang lagi pelanggan, Encik Azmi Talib juga mempunyai sentimen serupa: "Saya sedar tentang ini, maknanya dulu undang-undang minta kita hantar dulang yang kita makan di pusat penjaja dan kemudian diikuti oleh kedai kopi tapi sekarang baru sedar bahawa 1 Januari ia akan dikuatkuasakan.

"Tapi saya dan keluarga saya dah amalkan dari pusat penjaja, harus pulangkan sendiri, mana yang kita makan itu memang tanggungjawab masing-masing."

TEMPAT MAKAN KINI LEBIH BERSIH

Bagi seorang lagi pelanggan, Encik Zahirudin Sulaiman, langkah berkenaan akan dapat meningkatkan lagi tahap kebersihan di tempat-tempat makan.

"Saya pernah dengar pengumumannya dibuat, cuma tak berapa jelas bila ia akan dilaksanakan, tapi saya dah amalkan dengan keluarga saya.

"Saya rasa ia akan memudahkan kerja para pekerja pembersihan. Daripada pemahaman saya, selain membersihkan meja, mereka malah boleh membasmi kuman di meja dan sebagainya," kata Encik Zahirudin.

Sehubungan dengan itu, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor turut menarik perhatian bahawa pelbagai pihak berkepentingan mendapati sekitaran tempat-tempat makan kini lebih bersih serta kurangnya kelihatan burung dan haiwan perosak.

amy khor

"Kebanyakan pengendali kedai kopi menyedari mereka dapat membersihkan meja dengan lebih cepat kerana para pekerja pembersihan kini boleh memberi tumpuan kepada mengelap dan membasmi kuman serta membersih dan menyusun pinggan mangkuk di tempat pemulangan dulang yang dikhususkan," kata beliau.

Menurut Dr Khor, penguatkuasaan undang-undang itu setakat ini diterima baik para pelanggan dan pihak berkepentingan termasuk para pegerai dan pengendali pusat makanan dan kedai kopi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa