Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 98,000 majikan akan terima bantuan Skim Kredit Gaji bernilai S$940 juta hujung bulan ini

Lebih 98,000 majikan akan menerima bayaran S$940 juta dalam bentuk Skim Kredit Gaji (WCS) menjelang 31 Mac, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) hari ini (18 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Mar 2021 01:07PM Dikemas Kini : 18 Mar 2021 08:50PM

SINGAPURA: Lebih 98,000 majikan akan menerima bayaran S$940 juta dalam bentuk Skim Kredit Gaji (WCS) menjelang 31 Mac, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) hari ini (18 Mac).

Pemerintah akan membiayai secara bersama 15 peratus daripada kenaikan gaji yang layak diberikan pada 2017, 2018, 2019 dan 2020 kepada lebih 800,000 pekerja rakyat Singapura yang membawa pulang gaji bulanan kasar sehingga S$5,000, menurut pihak berkuasa dalam kenyataan medianya.

Para majikan tidak perlu membuat permohonan untuk mendapatkan bayaran itu. Para majikan yang layak akan menerima surat pemberitahuan daripada IRAS sebelum 31 Mac bagi memaklumkan mereka tentang jumlah bayaran, yang akan dimasukkan secara langsung ke dalam akaun bank yang didaftarkan menerusi PayNow Korporat atau GIRO.

Skim Kredit Gaji, yang diperkenalkan pada 2013, membiayai secara bersama kenaikan gaji bagi menyokong transformasi perniagaan dan menggalak para majikan supaya mengongsi keuntungan dengan para pekerja mereka. Pelanjutan tempoh skim bantuan itu diumumkan semasa Belanjawan 2021 dibentangkan.

LEBIH S$2 BILION DIAGIHKAN SEMASA PANDEMIK COVID-19

Termasuk pembayaran seterusnya, lebih S$2 bilion sudah diagihkan semasa pandemik COVID-19, menurut DPM Heng dalam catatan Facebooknya.

Tahun lalu, lebih S$1 bilion diagihkan kepada lebih 95,000 majikan untuk menampung kenaikan gaji pada 2019, menurut MOH dan IRAS. Satu pembayaran dibuat pada Jun 2020 selain bayaran tahunan pada Mac 2020.

Ini menyusuli peningkatan pada skim itu, yang diumumkan semasa membentangkan Belanjawan Perpaduan 2020. Pemerintah juga sudah meningkatkan pembiayaan bersama bagi gaji yang layak dinaikkan sebanyak 5 peratusan mata kepada 20 peratus pada 2019 dan 15 peratus pada 2020.

Had gaji bulanan kasar bagi para pekerja juga dinaikkan dari S$4,000 kepada S$5,000 sepanjang tempoh dua tahun itu.

"Sungguh memberangsangkan apabila banyak majikan, meskipun perlu menanggung beban kos dan tekanan dek pandemik COVID-19, terus memainkan peranan mereka untuk menaikkan semangat pekerja mereka," kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

"Ini adalah masa yang serba tidak menentu bagi ramai pekerja dan perniagaan. Saya menggalak para majikan supaya terus memanfaatkan skim ini dan skim-skim lain untuk mereka semula pekerjaan dan mengasah kemahiran pekerja mereka.

Dengan meneruskan sikap mengambil berat terhadap para pekerja, syarikat-syarikat perniagaan akan membina hubungan yang lebih kukuh dengan pekerja mereka dan bangkit lebih teguh bersama dalam dunia pasca pandemik COVID-19."

Sebarang rayuan berhubung bayaran Skim Kredit Gaji mesti diserahkan kepada IRAS sebelum 30 Jun dan akan dipertimbangkan berdasarkan kes yang dikemukakan, menurut pihak berkuasa.

Sumber : CNA/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan