Lebih 97 peratus jemaah Haji SG sudah kembali ke tanah air
Lebih 97 peratus jemaah Haji Singapura sudah selamat kembali ke tanah air setakat ini selepas selesai menjalani ibadah haji di Tanah Suci.

(Gambar: Nurhelmy Hakim)
SINGAPURA: Lebih 97 peratus jemaah Haji Singapura sudah selamat kembali ke tanah air setakat ini selepas selesai menjalani ibadah haji di Tanah Suci.
Ini selepas lagi 272 jemaah Singapura tiba ke Singapura pada Jumaat (5 Jul).
170 daripada mereka merupakan para jemaah TM Fouzy Travel & Tours dan baki 48 pula daripada Jalaluddin Travel & Services.
Pesawat Malaysia Airlines MH619 dari Kuala Lumpur, Malaysia, yang dinaiki mereka mendarat di Lapangan Terbang Changi Terminal 2 sekitar 3.45 petang tadi.
Lagi 54 jemaah daripada Hagel Travel & Tours pula menaiki penerbangan lain dan selamat kembali ke Singapura hari ini pada sekitar 5.30 petang tadi.
Kepulangan mereka disambut oleh Ketua Delegasi Haji Singapura tahun ini, Dr Mohamad Maliki Osman yang juga merupakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Dalam mengulas proses haji tahun ini, Dr Maliki sangat berbesar hati atas kerjasama dan pelaksanaan khidmat dan kemudahan yang teratur di Tanah Suci.
Beliau berkata, “Pihak penguasa Arab Saudi yang telah menjayakan sistem-sistem yang teratur sekali dan kemudahan yang memberi kesenangan kepada jemaah kita. Ini walaupun cuaca panas yang tidak dapat dielakkan. Namun jemaah memberi maklum balas baik bahawa kemudahan menyenangkan lagi ibadah mereka.”
Khususnya di Arafah, Dr Maliki mengatakan bahawa khidmat dan kemudahan bagi kemuncak ibadah haji itu sangat memuaskan hati.
“Kami mengambil pakej berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Selalunya kami mengambil pakej D di mana keadaan kurang memuaskan dan keadaan sesak. Tahun ini kami ambil pakej A. Ada kemudahan seperti hawa dingin, tandas lebih banyak dan keadaan yang sesuai," tambah beliau.
Beliau juga memuji perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan pihak Arab Saudi.
Dr Maliki berkata: “Maklum balas positif tentang khidmat kesihatan juga. Kami menggunakan sistem baharu di mana kami mengambil dari luar khidmat-khidmat kesihatan. Mereka merupakan para doktor dan kakitangan dari Arab Saudi. Mereka mengetahui sistem di sana dan ini melancarkan lagi sistem di sana.”
TINGGAL LAGI 46 JEMAAH BELUM PULANG KE SG
Tinggal satu lagi kumpulan seramai 46 jemaah daripada Thoha Travels & Tours yang belum pulang ke Singapura.
Mereka kini masih lagi berada di kota Madinah.
Kumpulan terakhir jemaah itu dijadual akan tiba ke tanah air pada Isnin depan (8 Jul) .
Tahun ini, seramai 1,407 jemaah Singapura dapat menunaikan ibadah haji.
Kumpulan pertama jemaah Haji Singapura kembali ke tanah air pada 24 Jun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.