Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 950,000 isi rumah SG akan terima rebat U-Save, S&CC pada Okt 2024

Anggaran Waktu Membaca:
 Lebih 950,000 isi rumah SG akan terima rebat U-Save, S&CC pada Okt 2024

Flat HDB di Toa Payoh pada waktu malam. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Lebih 950,000 isi rumah warga Singapura di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Oktober 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Isnin (30 Sep) menyatakan bahawa rebat tersebut adalah pengagihan suku tahunan ketiga bagi tahun kewangan 2024, dan merupakan sebahagian daripada skim Baucar GST (GSTV) tetap dan Pakej Jaminan.

MOF menambah bahawa rebat itu bertujuan membantu warga Singapura berpendapatan rendah dan sederhana menampung perbelanjaan kos sara hidup mereka.

Dalam agihan kali ini, mereka yang tinggal di flat HDB satu dan dua bilik akan menerima sebanyak S$190 dalam rebat U-Save, dengan jumlah yang dikeluarkan berkurangan, bergantung kepada saiz flat HDB seseorang.

Mereka yang tinggal di flat HDB tiga bilik akan mendapat sebanyak S$170, manakala mereka yang tinggal di flat empat bilik akan menerima S$150. Penduduk yang tinggal di flat lima bilik akan menerima S$130.

Mereka yang tinggal di flat eksekutif atau berbilang generasi akan menerima jumlah paling rendah - S$110.

"Secara purata, ini akan menampung bil api air bagi mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik selama sekitar lapan bulan, empat bulan bagi mereka yang tinggal di flat tiga dan empat bilik," menurut MOF menerusi kenyataan tersebut.

Menurut MOF, isi rumah yang layak tidak perlu ambil sebarang tindakan untuk menuntut rebat itu, dengan rebat U-Save dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti isi rumah dengan SP Services.

Sementara itu, rebat S&CC akan dikreditkan terus oleh majlis bandaran.

MOF menambah bahawa sebahagian rebat adalah untuk "menangani kesan daripada bil api air yang meningkat akibat peningkatan bagi cukai karbon dan harga air."

Pada 30 September, pengendali grid SP Group menyatakan bahawa tarif bekalan elektrik akan menurun dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan kos bekalan tenaga yang lebih rendah.

Ini melibatkan penurunan 2.6 peratus dalam tarif bekalan elektrik berbanding suku sebelumnya.

City Energy, pengeluar dan peruncit gas paip, menyatakan dalam satu kenyataan lain pada Isnin bahawa tarif gas akan merosot 0.45 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWh) dalam tempoh yang sama, juga akibat kos lebih rendah.

Sumber : BERITA Mediacorp/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan