Lebih 950,000 isi rumah SG akan terima rebat U-Save, S&CC pada Jan 2025
Lebih 950,000 isi rumah di Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Januari 2025.
Blok HDB di Toa Payoh Lorong 2. (Gambar: Google Street View)
Rebat-rebat itu - yang diagihkan pada April, Julai, Oktober dan Januari setiap tahun - adalah sebahagian daripada Skim Baucar GST (GSTV) untuk menyediakan sokongan bagi GST dan perbelanjaan kos sara hidup untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Rebat pada Januari akan menjadi agihan suku tahunan keempat untuk Tahun Kewangan 2024, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin (30 Dis).
Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, U-Save tambahan akan disediakan untuk membantu isi rumah yang menetap di flat HDB menampung kenaikan bil api air mereka.
Pada Januari tahun depan, isi rumah yang layak akan menerima U-Save sehingga S$285, bergantung kepada jenis flat HDB mereka.
Secara keseluruhannya, isi rumah yang layak akan menerima 2.5 kali ganda jumlah U-Save biasa, atau sehingga S$950 pada tahun kewangan ini, menurut MOF.
“Secara purata, ini akan meliputi kira-kira lapan bulan bil api air mereka yang tinggal di flat 1 dan 2 bilik, dan kira-kira 4 bulan bil api air bagi mereka yang menetap di flat 3 dan 4 bilik.”
REBAT S&CC
Isi rumah yang layak juga akan menerima sehingga satu bulan rebat S&CC, bergantung kepada jenis flat HDB mereka.
Secara keseluruhannya, isi rumah yang layak akan menerima sehingga empat bulan rebat S&CC pada tahun kewangan ini.
MOF mengumumkan demikian sedang tarif elektrik dan gas isi rumah dijangka turun bagi tempoh Januari hingga Mac tahun depan berikutan kos tenaga dan bahan api yang lebih rendah.
Isi rumah yang layak tidak perlu mengambil sebarang tindakan untuk mendapat manfaat daripada rebat U-Save dan S&CC.
Rebat U-Save akan dikreditkan terus ke dalam akaun api air isi rumah dengan SP Services, manakala rebat S&CC akan dikreditkan terus ke dalam akaun S&CC isi rumah dengan Majlis Bandaran masing-masing.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.