Lebih 950,000 isi rumah SG akan dapat rebat U-Save, S&CC pada Apr
Lebih 950,000 isi rumah yang menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima Rebat U-Save dan Rebat-Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada April.
Rebat-rebat itu akan membantu mengimbangi bil api air dan S&CC untuk isi rumah HDB berpendapatan rendah hingga sederhana, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat (28 Mac).
Ia adalah agihan suku tahunan pertama untuk Tahun Kewangan 2025.
Seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2025, U-Save tambahan akan disediakan untuk membantu isi rumah menangani bil api air bagi bulan April dan Oktober. Ini tambahan daripada Baucar GST – rebat U-Save.
Pada bulan April, isi rumah yang layak akan menerima sehingga S$190 rebat U-Save, bergantung kepada jenis flat HDB mereka.
Secara keseluruhan, isi rumah HDB Singapura yang layak akan menerima sehingga S$760 rebat U-Save pada tahun kewangan 2025.
Pada bulan April, isi rumah yang layak juga akan menerima sehingga satu bulan rebat S&CC, bergantung pada jenis flat HDB mereka.
Secara keseluruhannya, isi rumah yang layak akan menerima sehingga tiga setengah bulan rebat S&CC pada Tahun Kewangan 2025.
Pengumuman MOF dibuat sedang tarif elektrik dan gas isi rumah dijangka kekal tidak berubah bagi tempoh April hingga Jun.
Isi rumah yang layak tidak perlu mengambil sebarang tindakan untuk meraih manfaat daripada rebat U-Save dan S&CC.
Rebat U-Save akan dikreditkan terus ke dalam akaun isi rumah dengan SP Services, manakala rebat S&CC akan dikreditkan terus ke dalam akaun S&CC isi rumah dengan majlis bandaran masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.