Lebih 850 vape dirampas di sempadan SG dalam tempoh lima hari
Lebih 850 vape dan komponen berkaitan diserahkan kepada pegawai Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam tempoh lima hari di mana pemeriksaan diperketat oleh agensi tersebut.
Antara Isnin (18 Ogos) hingga Jumaat, ICA meningkatkan usaha untuk mengesan dan menghalang cubaan menyeludup vape ke Singapura melalui laluan udara, darat dan laut, menurut pihak berkuasa itu pada Sabtu.
Langkah tersebut termasuk meletakkan tong berwarna merah terang khusus untuk vape di tempat yang lebih mudah dilihat oleh pelancong, serta menugaskan lebih ramai pegawai untuk melakukan pemeriksaan. ICA bagaimanapun tidak menyatakan jumlah penambahan anggotanya.
Sebanyak 184 kes melibatkan vape dikesan dalam tempoh tersebut.
Peningkatan langkah keselamatan ICA itu dibuat sedang pihak berkuasa Singapura memperketat tindakan terhadap penggunaan vape.
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad lalu bahawa negara akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan menganggap vape sebagai “isu dadah”, dengan hukuman lebih berat terhadap penjual vape yang mengandungi bahan berbahaya.
Pada masa ini, mereka yang didapati membeli, menggunakan atau memiliki vape akan dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan boleh dikenakan denda sehingga S$2,000.
Tindakan mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan untuk menjual vape dan komponennya juga merupakan satu kesalahan.
Kpods, iaitu vape yang dicampur dengan etomidate, turut menjadi tumpuan baru-baru ini. Etomidate merupakan ubat bius bertindak pantas yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan di luar sekitaran perubatan yang terkawal.
Singapura sedang berusaha untuk menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
TINJAUAN DI SEBALIK TABIR
Wakil media diberi peluang untuk meninjau secara langsung pemeriksaan yang diperketatkan bagi vape di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Lapangan Terbang Changi pada Jumaat.
Di dewan bas pusat pemeriksaan darat itu, pegawai ICA kedengaran meminta para pelancong untuk mengisytiharkan sebarang vape atau barangan larangan seperti rokok.
Para pelancong yang membawa barangan tersebut menyerahkan barangan tersebut kepada pegawai, yang kemudian melupuskannya ke dalam tong khas berhampiran mesin pengimbas X-ray bagasi.
Tiada denda dikenakan terhadap pelancong yang mengisytiharkan vape mereka. Namun, perkara itu bergantung pada penilaian pegawai terhadap jumlah yang diisytiharkan dan niat membawa masuk vape tersebut ke Singapura — sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual.
Proses yang sama turut dijalankan di zon pemeriksaan kereta dan motosikal. Para pegawai menghentikan kenderaan dan meminta pemandu untuk membuka but mereka.
Sesetengah pelancong turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut hasil daripada penilaian profil para pegawai di lapangan, yang meneliti tingkah laku mencurigakan.
Langkah itu turut disokong teknologi seperti pengimbas radiografi dan X-ray, serta peranti pengesan mudah alih.
Menurut ICA, langkah-langkah tersebut membolehkan para pegawai mengesan barangan larangan dalam kenderaan, barangan pelancong dan juga pakaian mereka.
Selain itu, Pusat Sasaran Bersepadu ICA yang beroperasi sepanjang masa menggunakan analisis data untuk menjalankan penilaian risiko praketibaan terhadap individu yang memasuki Singapura, termasuk kenderaan dan kargo.
“Mereka yang dinilai berisiko tinggi akan ditandakan untuk pemeriksaan sebaik tiba di pusat pemeriksaan, sebelum memasuki Singapura,” menurut ICA.
Di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi, pegawai ICA turut menilai profil pelancong yang tiba di Singapura.
Beberapa individu ditahan dan ditanya sama ada mereka membawa barang larangan. Mediacorp menyaksikan ada yang mengisytiharkan vape mereka, manakala segelintir lain menyerahkan bungkusan rokok.
Para pelancong diingatkan oleh pegawai bahawa barangan sedemikian adalah dilarang dan mereka boleh didenda jika membawanya lagi ke Singapura pada kunjungan seterusnya.
Para pegawai memeriksa dengan teliti beg dan barangan pelancong sebelum mengarahkan mereka untuk membuang barangan yang dirampas ke dalam tong merah terang yang disediakan.
Secara keseluruhan, Mediacorp menyaksikan lapan vape diserahkan dan dilupuskan di kedua-dua pusat pemeriksaan itu.
Pelancong yang gagal mengisytiharkan dan didapati memiliki vape oleh pegawai ICA boleh dikenakan denda atau dirujuk kepada HSA untuk siasatan lanjut.
Dalam helaian fakta media pada Sabtu, ICA menyatakan pegawainya turut mengesan beberapa cubaan penyeludupan yang “ketara” melibatkan rokok yang tidak dibayar cukai dan tembakau kunyah di seluruh pusat pemeriksaan Singapura sepanjang lima hari pemeriksaan diperketatkan itu.
Dalam kes tersebut, para penyeludup cuba mengelak daripada dikesan dengan menyembunyikan barang larangan di dalam lori, kereta, kargo dan kiriman udara, menurut ICA.
Para pegawai berjaya merampas lebih 2,400 paket tembakau kunyah, serta lebih 53,000 karton dan 3,900 paket rokok yang tidak dibayar cukai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.