Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 850 penerima bantuan digajikan menerusi keusahawanan sosial dalam tempoh 3 tahun

Keusahawanan sosial yang disokong oleh Pusat Keusahawanan Sosial Singapura, raiSE, secara keseluruhannya sudah menggajikan lebih 850 penerima bantuan dan berkhidmat kepada sekitar 150,000 yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keusahawanan sosial yang disokong oleh Pusat Keusahawanan Sosial Singapura (raiSE) secara keseluruhannya sudah menggajikan lebih 850 penerima bantuan dan berkhidmat kepada sekitar 150,000 yang lain.

Ini didedahkan oleh Presiden Halimah Yacob semasa menyampaikan ucapannya di acara membina rangkaian kerja keusahawanan sosial Cabaran Presiden, anjuran Pusat Keusahawanan Sosial Singapura (raiSE) pada Khamis (18 Okt).

Beliau menambah, kejayaan itu berupaya dicapai melalui intervensi-intervensi seperti Peruntukan Pendidikan, Pembangunan Kemahiran serta Produk Jagaan Kesihatan dan Sosial.

Presiden Halimah turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat berbilang negara (MNC) dan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk menyumbang kepada pembangunan sektor keusahawanan sosial.

Ini termasuk segera mengubah amalan-amalan perniagaan atau menyesuaikan diri dengan teknologi-teknologi baru. Ini sebagai langkah bagi menyahut cabaran perubahan dinamik perniagaan hari ini.

“Saya berharap contoh yang anda tunjukkan ini akan menggalak lebih banyak syarikat SME dan MNC untuk meneroka cara-cara baru dan inovatif untuk menyumbang kepada pembangunan sektor keusahawanan sosial,” ujar beliau.

Acara itu diadakan sebagai sebahagian daripada Minggu Keusahawanan Sosial yang dianjurkan buat pertama kali tahun ini.

BERITAmediacorp berpeluang bertemu dengan dua syarikat perusahaan sosial Melayu/Islam yang berkongsi tentang prinsip di sebalik perniagaan mereka serta golongan masyarakat yang dibantu.

BERSENAM DEMI SELAMATKAN BELIA BERISIKO

Pengalaman membantu golongan belia di Kemboja mendorong Pengasas Bersama PushPullGive, Mohamed Razif Mohamed Yusoff, dan rakan-rakan kongsinya, Herzy Hosini serta Konrad Haedicke, untuk memulakan sebuah syarikat yang membantu golongan anak-anak muda.

Ditubuhkan pada tahun 2016, perniagaan keusahawanan sosial itu menggajikan anak-anak muda dari keluarga-keluarga yang memerlukan untuk berkecimpung dalam bidang senaman dan kecergasaan fizikal.

(Gambar: PushPullGive/Instagram)

(Gambar: PushPullGive/Instagram)

PushPullGive juga mewujudkan dana biasiswa bagi para belia yang ingin mendalami kerjaya dalam industri tersebut. Mereka akan dibantu dari segi kewangan untuk meraih sijil-sijil pentauliahan yang diperlukan.

Selain itu, syarikat kecil dan sederhana itu juga sering mengadakan sesi-sesi bersenam bersama kumpulan-kumpulan belia berisiko termasuk mereka daripada Rumah Kebajikan Muhammadiyah.

“Sejauh ini, sambutan dari para belia sangat positif. Saya dapat lihat yang mereka lebih berkeyakinan diri. Saya percaya bahawa ‘fitness’ ini sebenarnya boleh membantu belia dari segi fizikal, mental dan emosi, terutama sekali mereka yang berisiko,” Encik Razif memberitahu BERITAmediacorp.

Tambah beliau: “Dari asasnya, kami semua hidup bermasyarakat and saya rasa penting bagi seorang individu ataupun peniagaan untuk menyumbang semula kepada masyarakat dalam segi apa-apa sahaja.”

PERKASA GOLONGAN IBU MEMERLUKAN DENGAN KEMAHIRAN BISNES

Satu lagi keusahawanan sosial ialah Enterprising Mums United (EMU), yang diasaskan oleh Norfazilah Abdul Rashid dan Norma Wong pada tahun 2016.

Berkonsepkan perniagaan yang bersifat sementara atau pun ‘pop-up retail’, syarikat itu bertujuan untuk menawarkan platform perniagaan kepada para ibu tunggal dan suri rumah dari keluarga yang memerlukan.

Dengan pengalaman pemasaran dan pengurusan acara, kedua-dua pengasas EMU juga memperkasakan golongan ibu tersebut dengan kemahiran bisnes.

(Gambar: Enterprising Mums United/Instagram)

(Gambar: Enterprising Mums United/Instagram)

“Di acara-acara kami, apabila ibu-ibu ini berjumpa dan bertemu, mereka bertukar-tukar pandangan dan berkongsi kemahiran. Jadi daripada situ, mereka dapat mempelajari perkara-perkara baru.

“Kami juga akan membimbing mereka dari segi ‘branding’ atau penjenamaan barangan mereka dan sasaran pelanggan. Jadi kalau di masa hadapan kelak ketika mereka ingin membuka kedai mereka sendiri, sasarannya sudah ada di situ dan lebih tepat dan lebih fokus,” kata Cik Norfazilah.

Sejauh ini, EMU mempunyai 20 anggota tetap, manakala lebih 50 lagi menyertai acara-acara mereka secara ‘ad hoc’ atau dari semasa ke semasa. Selain membantu kaum ibu, EMU juga sudah mula mendampingi golongan-golongan memerlukan yang lain, seperti mereka yang mempunyai keperluan istimewa.

Mereka adalah antara lebih 80 keusahawanan sosial yang mengadakan pameran di FestivalForGood (FFG), yang berlangsung di One Marina dari 20 hingga 21 Oktober. Festival itu juga adalah salah satu acara bagi Minggu Keusahawan Sosial. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ZZ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan