Skip to main content

Singapura

Lebih 85% flat Flexi dua bilik sudah ditempah

Lebih 85 peratus daripada flat Flexi dua bilik yang ditawarkan dalam 10 sesi penjualan sudahpun ditempah oleh para pembeli rumah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Feb 2018 03:53PM Dikemas Kini : 25 Feb 2018 10:00PM

SINGAPURA: Lebih 85 peratus daripada flat Flexi dua bilik yang ditawarkan dalam 10 sesi penjualan sudahpun ditempah oleh para pembeli rumah.

Daripada jumlah itu lebih separuh ditempah oleh para pembeli warga tua.

Demikian diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (25 Feb).

Lebih 10,000 flat Flexi dua bilik ditempah daripada hampir 12,000 unit yang ditawarkan dalam 10 sesi penjualan.

Flat-flat Flexi itu berada di bawah skim yang bertujuan memberikan sedikit kelonggaran pada tempoh sewa.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015, skim Flexi dua bilik itu menawarkan tempoh sewa lebih singkat bagi pembeli warga tua yang berusia 55 ke atas.

Selain itu ia juga membolehkan mereka memilih ciri yang diperlukan bagi rumah mereka.

Menurut para pakar yang ditemui Mediacorp faktor pelaris itu menggalak sebahagian pembeli untuk menjual rumah mereka yang lebih besar kepada flat yang lebih kecil.

"Ini adalah cara untuk warga tua mendapatkan wang hasil penjualan aset hartanah mereka sekaligus memperoleh wang yang mencukupi bagi persaraan mereka. Jika warga tua memilih tempoh sewa yang lebih singkat bagi flat Flexi dua bilik mereka, mereka hanya perlu membayar harga yang lebih rendah berbanding jika mereka membeli flat dengan tempoh sewa selama 99 tahun," kata Pengarah Eksekutif ZACD Group, Nicholas Mak.

Daripada semua flat Flexi dua bilik yang sudah ditempah, lebih separuh dibeli oleh warga tua, dengan hampir sembilan daripada 10 memilih tempoh sewa yang lebih singkat dari 15 hingga 45 tahun.

Sekalipun begitu, tidak semua orang bergegas untuk menempah flat-flat tersebut.

Encik Mak berkata: "Masih terdapat warga tua yang agak selesa menetap di flat HDB mereka yang sedia ada atau flat yang lebih besar, mungkin empat atau lima bilik atau yang lebih besar. Namun mungkin disebabkan nilai sentimental, sebahagian daripada mereka mungkin masih menetap bersama anak-anak yang sudah dewasa dan ini adalah sesuatu yang baik disebabkan jalinan hubungan kekeluargaan."

Skim tersebut juga amat popular bukan sahaja dalam kalangan warga tua.

"Berdasarkan kadar langganan, masih terdapat permintaan yang tinggi daripada golongan bujang yang mahukan lebih banyak peluang. Saya rasa ini sesuatu yang akan terus mendapat permintaan khususnya dengan jumlah meningkat penduduk yang semakin menua," menurut CEO ProNex, Ismail Gafoor.

Di bawah skim tersebut, pembeli kali pertama dari golongan bujang dan yang sudah berkeluarga serta pembeli kali kedua yang sudah berkeluarga ditawarkan flat dengan tempoh sewa 99 tahun.

Pada masa akan datang, para pakar menyatakan mereka menjangkakan flat-flat sedemikian akan terus popular.

Dalam sesi penjualan seterusnya pada bulan Mei, para pembeli rumah boleh menjangkakan flat-flat di kawasan Sengkang dan Yishun.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita