Lebih 800 penduduk Brickland pelbagai kaum beraya bersama
SINGAPURA: Lebih 800 penduduk pelbagai bangsa dan agama beraya bersama di acara "Jom Raya!" karnival Hari Raya Brickland pada Sabtu (4 May).
Karnival yang diadakan di tanah lapang di Keat Hong itu adalah anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Brickland.
Ia adalah acara pendampingan masyarakat terbesar yang pernah dianjurkan di Brickland sejauh ini.
Pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur seperti pertunjukan fesyen, persembahan budaya dan kontemporari serta permainan interaktif diadakan.
Acara itu turut diserikan oleh kehadiran Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Chua Chua Kang (Brickland), Encik Don Wee Boon Hong dan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Encik Don Wee memberitahu BERITA Mediacorp, format karnival dipilih memandangkan Brickland adalah sebuah estet baharu dengan ramai keluarga muda.

Ia juga satu cara untuk menarik lebih ramai sukarelawan muda.
"Menerusi kerjasama dengan para relawan belia dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang berbeza, kami menyasar untuk membangunkan kumpulan relawan yang pelbagai, sekali gus boleh menyumbang bakat-bakat unik masing-masing kepada acara itu.
"Contohnya, segmen Joget Lambak diterajui oleh relawan masyarakat dan disokong oleh rakan-rakan belia. Kerjasama unik itu melibatkan lebih 400 penduduk berbilang bangsa dan tidak kira usia. Ia adalah gambaran baik masyarakat kita yang erat," ujar Encik Don Wee.
PELUANG KENALI BUDAYA MELAYU
Encik Zhulkarnain pula berkata karnival tersebut memberi peluang kepada para penduduk berlainan bangsa untuk lebih mengenali budaya Melayu.
"Dengan adanya temasya seperti ini, satu pesta kita meraikan Hari Raya dengan semua bangsa dan penduduk di Brickland dan Keat Hong Choa Chu Kang supaya mereka dapat lebih tahu tentang budaya Melayu. Dengan fesyen keluarga, tarian beramai-beramai dan ini semuanya untuk menonjolkan budaya Melayu kita yang sangat kaya dan untuk sama-sama mendalami dan mendapatkan satu keharmonian kaum dan penghayatan daripada bangsa-bangsa lain tentang budaya Melayu kita," kata Encik Zhulkarnain.
Antara penduduk yang menghadiri karnival tersebut ialah Encik Hairulnizam Sahamad.

"Perayaan Hari Raya untuk Brickland agak unik. Biasanya, acara Hari Raya disambut menggunakan konsep duduk makan berhidang atau bufet. Memandangkan penduduk- penduduk Brickland ada ramai keluarga generasi muda, kami rasa pendekatan ini lebih berkesan. Karnival Hari Raya diraikan oleh para selebriti tempatan dan penduduk Brickland, ada berbagai juadah makanan melayu dan aktiviti untuk semua," kata Encik Hairulnizam.
Seorang lagi penduduk, Encik Benjamin Chan berkata: "Pada pendapat saya, karnival Hari Raya ini adalah acara yang bermakna kerana terdapat aktiviti-aktiviti di mana para penduduk Brickland dapat ikut serta. Dengan itu, ia meningkatkan lagi pemahaman mengenai budaya Melayu semasa Hari Raya," kata Encik Benjamin.
Selain karnival, para penduduk turut dihiburkan dengnan persembahan para selebriti seperti Hady Mirza dan Syakirah Noble.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.