Lebih 800,000 pekerja bergaji rendah dapat gaji lebih baik di bawah skim WIS
Lebih 800,000 pekerja bergaji rendah di bawah Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja Singapura (WIS) menerima gaji lebih baik dalam masa beberapa dekad lalu.

(Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Lebih 800,000 pekerja bergaji rendah di bawah Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja Singapura (WIS) menerima gaji lebih baik dalam masa beberapa dekad lalu.
Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata, skim-skim lain seperti Model Gaji Progresif juga membantu dalam mengecilkan jurang pendapatan.
WIS adalah tokokan gaji yang diberikan kepada para pekerja bergaji rendah untuk membantu mereka meningkatkan jumlah simpanan CPF bagi persaraan.
Model Gaji Progresif pula membantu golongan itu untuk meningkatkan gaji melalui peningkatan kemahiran dan daya penghasilan.
Menurut Encik Zaqy, sejak 10 tahun lalu sekitar 830,000 rakyat Singapura sudah memanfaatkan bayaran WIS bernilai S$5.5 bilion.
Menyentuh pula tentang sokongan bagi pekerja bergaji rendah untuk berpindah dari flat sewa dan memiliki rumah sendiri, Encik Zaqy berkata golongan tersebut boleh medapatkan bantuan khas daripada Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah.
Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara berkata, pasukan itu akan menyasarkan keluarga-keluarga yang berpotensi memiliki rumah sendiri.
Beliau berkata keluarga-keluarga tersebut akan dibantu oleh pasukan tersebut untuk meneliti perbelanjaan perumahan dan proses permohonan bagi membeli flat.
Pasukan itu yang akan dibentuk lewat tahun ini merancang untuk mendekati 1,000 keluarga melalui program sokongan yang dijalankan.
Encik Zaqy berkata demikian melalui rancangan 'Question Time' di stesen radio 938NOW yang disiarkan setiap Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.