Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 80% pelajar tahun akhir madrasah sudah daftar bagi vaksinasi COVID-19

Dr Maliki menggesa lebih ramai pelajar yang dipelawa untuk vaksinasi supaya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dengan segera.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 80% pelajar tahun akhir madrasah sudah daftar bagi vaksinasi COVID-19

(Petikan video: Facebook/Dr Maliki Osman)

Diterbitkan : 05 Jun 2021 10:18PM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 10:24PM

SINGAPURA: Lebih 80 peratus pelajar peringkat tahun akhir di madrasah-madrasah tempatan sudahpun mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Perangkaan itu didedahkan oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman pada Sabtu (5 Jun), setelah mengunjungi salah sebuah pusat vaksinasi di Hab Tampines Kita siang tadi.

Menulis di Facebooknya, Dr Maliki yang juga Menteri Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Pertahanan, berkata lebih 1,500 pelajar madrasah yang berusia 12 tahun ke atas sudah menerima undangan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sebagai sebahagian daripada usaha negara ini untuk menjaga keselamatan sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi dan juga masyarakat lebih luas.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 31 Mei lalu mengumumkan dalam perutusannya kepada seluruh negara bahawa program vaksinasi akan diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak kumpulan usia, termasuk para pelajar berusia 12 tahun ke atas.

Pada Sabtu, Dr Maliki berkata: "Saya berbesar hati setelah mendapat tahu bahawa para pelajar madrasah kita telah memberikan respons yang positif dan menempah slot vaksinasi masing-masing.

"Bagi kohort pelajar madrasah yang akan tamat sekolah dan diundang untuk menempah slot, saya gembira mendapat tahu lebih 80 peratus sudah berbuat demikian."

Dalam video yang dimuat naik bersama dengan catatan di Facebook itu, Dr Maliki turut menjelaskan bahawa kohort-kohort pelajar itu merujuk kepada mereka yang bakal menduduki Peperiksaan GCE Peringkat N dan O dan juga mereka dari peringkat Pra-U 2.

"Ini amat menggalakkan kerana ia menunjukkan para pelajar dan ibu bapa mereka menghargai dan memahami betapa pentingnya vaksinasi dalam perjuangan kita untuk melawan COVID-19," tambah Dr Maliki.

Dalam pada itu, Dr Maliki menggesa lebih ramai pelajar yang layak supaya mendaftarkan diri bagi program vaksinasi.

Para pelajar dan ibu bapa mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai program vaksinasi boleh mengajukan soalan mereka kepada para guru atau Kementerian Kesihatan (MOH).

"Ini adalah cara kita untuk melindungi bukan saja para pelajar dan institusi pendidikan kita, tetapi juga keluarga kita dan masyarakat secara amnya," tekan Dr Maliki.

"Bersama kita dapat mengatasi dan mengalahkan virus ini," tulis Dr Maliki sebelum mengakhiri catatannya itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan