Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 80% murid PSLE dapat masuk sekolah menengah daripada 3 pilihan pertama mereka

Secara keseluruhannya, lebih 90% murid yang menduduki PSLE tahun ini berhasil mendapat tempat di salah satu daripada enam sekolah pilihan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 80% murid PSLE dapat masuk sekolah menengah daripada 3 pilihan pertama mereka

Murid-murid dalam kuarantin menduduki PSLE di bilik berasingan. (Gambar: MOE)

Diterbitkan : 22 Dec 2021 11:26AM Dikemas Kini : 22 Dec 2021 11:26AM

SINGAPURA: Murid-murid yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini menerima keputusan bagi pemilihan sekolah menengah mereka pada Rabu (22 Dis), dengan lebih 80 peratus daripada mereka berjaya mendapat tempat di sekolah menengah daripada tiga pilihan pertama masing-masing.

Para murid boleh memilih sehingga enam sekolah menengah yang menjadi pilihan mereka. Secara keseluruhannya, lebih 90 peratus murid yang menduduki PSLE tahun ini berhasil mendapat tempat di salah satu daripada enam sekolah pilihan mereka, umum Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan medianya pada Rabu.
Ini adalah kohort pertama murid yang diberikan markah dan ditempatkan ke dalam sekolah menengah di bawah sistem baru.

Menurut MOE, keputusan pemilihan sekolah menengah di bawah sistem Peringkat Pencapaian (AL) yang baru itu adalah setanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

Di bawah sistem baru itu, murid-murid akan terus diterima masuk ke sekolah menengah dan aliran kursus (ekspres, normal akademik dan normal teknikal) berdasarkan prestasi keseluruhan PSLE mereka.

Bagaimanapun, sekiranya dua atau lebih murid mempunyai Skor PSLE yang sama dan status kerakyatan yang sama, maka murid yang menyenaraikan sesebuah sekolah lebih tinggi daripada sekolah-sekolah menengah yang lain dalam senarai pilihannya akan diberikan keutamaan, jelas MOE.

“Para murid tidak perlu melaporkan diri dengan serta-merta ke sekolah menengah mereka selepas menerima keputusan S1 mereka,” menurut kementerian itu.

“Sebaliknya, para murid seharusnya merujuk kepada laman web sekolah mereka mulai 22 Dis 2021 untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti panduan tentang pembelian buku dan uniform sekolah secara online, senarai buku dan butiran-butiran lain.”

Ibu bapa yang mendaftar di portal Parents Gateway juga akan menerima panduan daripada pihak sekolah menengah.

Murid-murid yang tidak dapat melaporkan diri ke sekolah menengah mereka pada 4 Jan - hari pertama penggal sekolah yang baru - boleh menghubungi pihak sekolah untuk mengesahkan bahawa mereka akan mengambil tempat dalam sekolah tersebut. Pihak sekolah kemudiannya akan mengekalkan tempat itu untuk mereka.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa