Lebih 80% kanak-kanak tamat KMM@CC tidak perlu ikuti program sokongan Matematik di sekolah rendah
Sebanyak 425 keluarga yang selesai menjalani program eKelasMatematika@CC (eKMM@CC) dan program Kelas Siap Sekolah (KSS) antara Jun dengan Oktober 2021 diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil yang diadakan secara maya pada Ahad (5 Dis).
(Gambar: MENDAKI)
SINGAPURA: Sebanyak 425 keluarga yang selesai menjalani program eKelasMatematika@CC (eKMM@CC) dan program Kelas Siap Sekolah (KSS) antara Jun dengan Oktober 2021 diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil yang diadakan secara maya pada Ahad (5 Dis).
Program itu bertujuan melengkapkan ibu bapa dengan kemahiran membantu pembelajaran anak mereka dalam konsep numerasi asas.
Majlis penyampaian sijil disertai Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Demikian menurut MENDAKI dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ucapan pembukaannya, Dr Faishal memuji ibu bapa kerana mengambil langkah-langkah untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan sebagai guru, pembimbing dan rakan belajar untuk membantu anak-anak mereka dari segi pembelajaran dan pembangunan mereka.
"Saya percaya dengan mengukuhkan hubungan keluarga akan bantu membentuk dan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak yang sedang membesar untuk menjadi yang terbaik.
"Adalah penting untuk memberi asas kukuh kepada anak kecil kita, dengan menghantar mereka ke prasekolah selama sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum mereka menyertai pendidikan sekolah rendah.
"Ini bagi memastikan mereka mempunyai permulaan yang baik dalam kehidupan serta lebih pilihan yang baik di masa hadapan," kata Dr Faishal.
LEBIH 80% PESERTA KMM@CC BERSEDIA BAGI PELAJARAN MATEMATIK DI DARJAH 1
Sejak dimulakan pada 2018, jumlah peserta program KMM@CC bertambah setiap tahun iaitu daripada hampir 100 murid pada 2018 kepada hampir 1,600 kanak-kanak dari Januari 2021 hingga Oktober 2021.
Secara keseluruhannya, 5,200 kanak-kanak dan ibu bapa sudah meraih manfaat daripada program eKMM@CC dan KMM@CC sejak 2018, menurut Dr Faishal.
Seramai 84 kanak-kanak pula sudah meraih manfaat daripada program perintis Kelas Siap Sekolah yang bermula pada Jun 2021.
Menurut Dr Faishal, lebih 80 peratus murid yang selesai menjalani KMM@CC dari 2018 hingga 2020 tidak perlu menyertai Program Sokongan Pembelajaran Matematik.
Ini bermakna mereka dianggap bersedia untuk mempelajari Matematik di Darjah Satu.
Cik Rapeah Ahmad, 48 tahun antara peserta yang mengambil bahagian dalam program eKMM@CC bersama anak bongsunya, Izhar Ul Haq, lima tahun.
Cik Rapeah Ahmad bersama anak bongsunya, Izhar Ul Haq. (Gambar: MENDAKI)
"Program eKMM ini membantu saya mempelajari kemahiran dan pengetahuan baru yang dapat membantu saya mengajar anak saya di rumah.
"Saya juga berbesar hati kerana dapat mendaftarkan anak saya dalam program KSS untuk membantunya menimba kemahiran lain selain daripada Matematik, seperti kemahiran celik huruf untuk membantu dalam persiapan melangkah ke Darjah 1," kata Cik Rapeah.
Program KMM@CC dan eKMM dibuka kepada keluarga yang mempunyai anak prasekolah berusia antara 4 dengan 6 tahun.
Mereka yang berminat boleh menghubungi MENDAKI bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang program dan pendaftaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.