Lebih 760 kesalahan PMD dikesan pada Ogos; dengan 176 PMD disita
Sebanyak 761 kesalahan berkaitan dengan alat mobiliti peribadi (PMD) dikesan - dengan 176 PMD disita - pada Ogos, menurut LTA dalam catatan Facebook pada Jumaat (6 Sep).
(Gambar fail: Facebook/LTA)
SINGAPURA: Sebanyak 761 kesalahan berkaitan dengan alat mobiliti peribadi (PMD) dikesan - dengan 176 PMD disita - pada Ogos, menurut LTA dalam catatan Facebook pada Jumaat (6 Sep).
"Kebanyakan kesalahan yang dikesan adalah kesalahan berkaitan pendaftaran, menunggang PMD yang tidak didaftar dan menunggangnya di jalan raya," menurut LTA.
Kes-kes yang dilaporkan menerusi aplikasi MyTransport.SG membantu mengenal pasti lokasi-lokasi dengan banyak kesalahan sedemikian bagi operasi penguatkuasaan yang lebih tertumpu, yang dijalankan di beberapa lokasi termasuk Marina Bay Sands, Buangkok, Changi Village, Sentosa, Choa Chu Kang, Pasir Ris, Hougang, Woodlands, Telok Blangah dan Yishun, menurut LTA.
Pada Julai, LTA mengesan sebanyak 595 kesalahan dan menyita 222 PMD.
Sepanjang beberapa bulan lalu, LTA mengumumkan pelbagai insisiatif untuk mempromosikan dan menggalak penggunaan PMD yang lebih selamat.
LTA menyatakan bahawa pihaknya menjalankan sekurang-kurangnya 600 sesi Program Menunggang Dengan Selamat sepanjang tiga bulan lalu, manakala tenaga pasukan penguatkuasaan sudah meningkat kepada seramai 200 pegawai.
Pada April, LTA mewajibkan kesemua e-skuter berdaftar di bawah piawaian UL2272 untuk menjalani pemeriksaan. Sejak September 2018, LTA sudah menguatkuasakan piawai keselamatan UL2272 untuk mempertingkatkan tahap keselamatan terhadap kebakaran dan bahaya elektrikal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.