Skip to main content

Singapura

Lebih 73,000kg daging korban selesai diagihkan kepada sohibul korban SalamSG Korban; 60% didermakan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gerakan SalamSG (SSGM) selesai menjalankan pengagihan daging korban tahunannya kepada para penerima bantuan pada Sabtu (22 Jul).

Sejak awal Julai, lebih 73,000 kg daging korban diagihkan kepada para sohibul korban.

Hampir 60 peratus, atau kira-kira 42,000kg daripada daging korban itu, didermakan kepada masjid-masjid untuk dikongsi dengan para penerima Zakat, pekerja hijrahan dan golongan memerlukan.

Lebih 20,000 keluarga dan individu daripada golongan tersebut telah menerima daging korban yang didermakan para sohibul korban. Ia adalah sebahagian daripada usaha SSGM untuk menyebarkan rahmah dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan temanya “Suburkan Salam. Sebarkan Rahmah.”

Acara pengagihan daging korban yang terakhir itu diadakan pada Sabtu, dengan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut menghadirinya.
Gambar: MUIS
Beliau bersama dengan Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen dan sejumlah 50 sukarelawan masyarakat mengagihkan daging korban kepada para penerima bantuan Projek DIAN@M3 di Eunos Crescent.

Pemimpin-pemimpin Melayu/Islam turut mengambil bahagian dalam acara pengagihan tersebut, yang diadakan di beberapa lokasi yang lain.
Gambar: MUIS
Pada masa yang sama, sebilangan masjid bekerja rapat dengan para pengendali dormitori untuk mengagihkan kira-kira 4,500kg daging korban kepada pekerja hijrahan. Ia adalah sebahagian daripada penghargaan masyarakat terhadap jasa pekerja hijrahan dalam membangunkan Singapura.

Kesemua 5,227 ekor kambing untuk ibadah korban oleh 52 masjid di sini ditempah menerusi SalamSG Korban.Penyembelihan dilakukan di Australia pada 30 Jun lalu, dan dagingnya dibekukan dan diterbangkan ke Singapura untuk diagihkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha mendampingi lebih banyak golongan yang memerlukan, SSGM dan masjid-masjid telah bekerja rapat dengan pelbagai pertubuhan dan agensi. Ini termasuk M³@bandar, Projek DIAN @M³, Comlink, rangkaian pemulihan MMO, dan pekerja hijrahan.

Sejak ketibaan kumpulan pertama daging korban di Singapura pada 1 Julai, Pengendali Korban Sah (AKO) menghantar daging tersebut kepada kesemua sohibul korban. Beberapa acara pengagihan juga dikendalikan oleh masjid, dengan disokong ratusan sukarelawan masyarakat. Mereka menyingsing lengan untuk menghantar daging korban yang segar itu kepada golongan yang memerlukan.

Ini termasuk acara pengagihan yang berlangsung pada 15 Julai lalu. Masjid-masjid di merata Singapura, dengan sokongan SSGM dan sukarelawan masyarakat, menyelaraskan acara pengagihan untuk menghantar daging korban kepada masyarakat termasuk penerima zakat. Sebilangan keluarga juga menerima barangan tambahan, seperti pek barangan runcit dan makanan yang telah dimasak, yang dikongsi oleh beberapa rakan kongsi masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita