Skip to main content

Singapura

Lebih 7,000 keluarga terima daging korban; 2,000 bungkus beriani kambing juga diagihkan

Lebih 4,800 keluarga berpendapatan rendah di 25 kawasan undi meraih manfaat daripada pengagihan daging korban tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 4,800 keluarga berpendapatan rendah di 25 kawasan undi meraih manfaat daripada pengagihan daging korban tahun ini.

Kesemuanya sebanyak 10,005 kilogram hasil ibadah korban yang diselenggarakan Jamiyah Singapura akan diagihkan.

Daging-daging tersebut diterbangkan dari Australia dan akan diagihkan tiga hujung minggu berturut-turut di pelbagai kawasan undi.

Kira-kira 140 bungkusan daging disediakan di setiap kawasan undi.

"Jumlah keluarga berpendapatan rendah yang akan menerima daging korban tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu sekitar 4,700 isi rumah atau keluarga," kata Naib Presiden Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin.

“”
(Gambar: Jamiyah Singapura)
Pada Ahad (16 Jul), agihan diadakan di GRC Jurong, GRC West Coast and SMC Bukit Batok.

Para penerima di GRC Jurong misalnya mula berkumpul seawal 10 pagi lagi untuk membawa pulang daging seberat dua kilogram itu.

Mereka juga bersyukur dengan rezeki yang diberikan itu.

"Gaji saya hanya cukup untuk masak dua, tiga hari. Tetapi kalau ada ini, sekurang-kurangnya ada bantuan sedikit untuk kita yang memerlukan," kata salah seorang penerima, Encik Mohd Rizal Mohd Zatt.

Seorang penerima bukan Melayu Cik Chan Woon Hoe, turut berkongsi kegembiraan: "Saya akan memasak kari dengan daging ini. Dengan ini saya dapat menjimatkan wang, tidak perlu membeli hidangan ini."

Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong Rahayu Mahzam dan Shawn Huang menyaksikan pengagihan daging korban di dewan serbaguna di Tah Ching Road.

"Ini adalah satu ibadah bagi kita tapi cara kita berkongsi apa yang kita ada dengan masyarakat yang memerlukan dan juga daripada pelbagai bangsa dan agama. Ini adalah sesuatu yang menandakan betapa tingginya nilai kita sebagai satu masyarakat.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang amat penting yang harus kita terus terapkan. Saya gembira ada usaha sebegini untuk terus mendakap masyarakat," kata Cik Rahayu yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang.

“”
(Gambar: Jamiyah Singapura)
Encik Huang menambah: "Ia adalah penting untuk pelbagai pertubuhan bekerjasama. Saya harap kita dapat teruskan berbuat demikian di masa hadapan."

Para sukarelawan menghantar selebihnya ke rumah-rumah penduduk susah di sekitar kawasan tersebut

2,000 BUNGKUS BERIANI DIAGIHKAN KEPADA KELUARGA SUSAH

Sementara itu, sekitar 2,000 bungkus Nasi Beriani kambing turut diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah di merata negara.

Ia merupakan inisiatif syarikat pelancongan, TravelConnect.sg dan yang ketiga diadakan.

“”
(Gambar: TravelConnect.sg)
Para relawan dari Vision21, Kampong Boyz, Shakira Pte Ltd, Imtidad Employment dana PusaraCare.sg membantu dari segi pembungkusan dan penghantaran.

Daging-daging yang digunakan untuk memasak beriani kambing itu juga disumbangkan penderma yang melakukan ibadah korban tahun ini.

“Pada tiap-tiap tahun kami dapat menyumbangkan tenaga, ini memberikan senyuman pada mereka. Pada tahun ini kelainan yang ada pada kami iaitu hasil sumbangan juga diagihkan bersama Masjid Sultan sebanyak 300 bungkus untuk mereka agihkan kepada mereka yang memerlukan," kata Pengarah TravelConnect.sg Ustaz Nafis Rahman.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita