Skip to main content

Singapura

Lebih 7,000 habuan diagihkan kepada keluarga memerlukan dalam edisi ke-2 Habuan Harapan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semangat memberi terus semarak Ramadan ini, dengan lebih 7,000 habuan diagihkan kepada keluarga memerlukan di 27 kawasan undi.

Acara Habuan Harapan 2025, yang berlangsung pada Sabtu (8 Mac) di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, merupakan edisi kedua yang dianjurkan oleh Community Chest dan kumpulan sukarelawan Heartwarmers, dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Setiap keluarga menerima sampul duit raya, barangan keperluan, serta snek untuk melengkapkan persiapan Hari Raya mereka.

Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee, serta Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli, turut hadir untuk memberi sokongan kepada lebih 600 sukarelawan yang terlibat dalam acara tersebut.

Penganjur acara, Community Chest, berharap dapat menarik lebih ramai penyumbang tetap demi merancakkan budaya menyumbang.
Para relawan bergotong-royong membungkus Habuan Harapan 2025. (Gambar: Community Chest)
"Ini kali kedua Community Chest dan kerabat seperti MUIS menyatukan masyarakat untuk sama-sama menderma, menjadi relawan, dan menyumbang semula dengan menyokong individu dan komuniti menerusi inisiatif Habuan Harapan," ujar Pengarah Urusan Community Chest, Encik Jack Lim.

"Tiada sumbangan yang terlalu kecil. $10 sehari dapat membantu pemulihan bagi dewasa yang berkeperluan khas. $25 sehari adalah kos memberi kaunseling kepada belia berisiko, dan $50 sehari menyokong sebuah keluarga berpendapatan rendah," tambah beliau.

Dalam ucapannya, Encik Masagos melahirkan rasa syukur dan gembira melihat sifat murah hati masyarakat Melayu/Islam yang menyerlah, terutama dalam menjayakan inisiatif membantu keluarga yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Menteri MSF & Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli (tengah) menyampaikan pakej perayaan kepada penduduk Tampines sebagai sebahagian daripada sambutan Ramadan di Habuan Harapan 2025. (Gambar: Community Chest)
Beliau meluahkan rasa terharu apabila menyaksikan para relawan membungkus dan mengagihkan beg-beg Ramadan kepada keluarga yang lebih memerlukan di seluruh Singapura.

"Tentunya, ini bakal meringankan beban dan membawa keceriaan kepada mereka di samping menyebarkan sifat rahmah dan ihsan sesama kita," ujar Encik Masagos.

Baginya, beg-beg yang diagih-agihkan ke serata Singapura itu bukan sekadar habuan perayaan, tetapi juga simbol perpaduan, belas ihsan, dan komitmen masyarakat untuk saling menyokong.
Para relawan bergotong-royong membungkus Habuan Harapan 2025. (Gambar: Community Chest)
"Satu lagi contoh sifat murah hati masyarakat Melayu/Islam ialah sambutan hangat terhadap pelan pembinaan dua masjid baru di Tampines North dan Tengah. Saya bersyukur kerana masyarakat kita terus bersatu hati memberi sokongan padu kepada usaha-usaha untuk menambah dan mempertingkatkan prasarana kita seperti pembinaan masjid baru serta projek peningkatan masjid-masjid lama," katanya.

Encik Masagos menambah, selain menderma secara langsung dan menjadi sukarelawan masjid, masyarakat juga menyumbang melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF). Beliau menegaskan komitmennya untuk terus bekerja rapat dengan MUIS dan masyarakat Melayu/Islam demi memperkukuh Masyarakat Gemilang di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita